17 Dis 2010

Ahli Tabligh Mati Lemas Di Dungun

Ahli tabligh mati lemas

DUNGUN – “Dengan segala keringat yang ada, saya cuba menolaknya ke tepi beberapa kali, namun arus deras menyebabkan kami hanyut ke tengah semula. Seketika kemudian saya mengalami kekejangan otot menyebabkan saya terpaksa melepaskannya dari pelukan sebelum berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri.

“Akhirnya dia tenggelam dan hilang dari pandangan. Saya benar-benar terkilan kerana gagal menyelamatkannya.”

Demikian menurut Muhamad Sulaiman, 30-an, saksi kejadian yang turut berhadapan detik mencemaskan ketika cuba menyelamatkan rakannya, Bahaman Md Yusof, 26, daripada dihanyutkan ombak ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Batu Pelanduk, Kampung Kuala Abang, dekat sini, pagi semalam.

Muhamad berkata, tragedi yang mengorbankan nyawa sahabat karibnya itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mereka sedang mandi di tepi pantai setelah tiba bersama jemaah tabligh untuk aktiviti keagamaan di Masjid Kuala Abang.

Mayat mangsa ditemui jam 12.20 tengah hari semalam oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, untuk dibedah siasat.

“Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tu lah jgn mandi di musim nie...kat tgnu nie musim tak menentu dan amat merbahaya jika turun mandi bgi orng2 luar..kena peka dan faham ..tapi itu dah takdir seruan dan ajal si mati harap di rahmati allah