13 Nov 2010

Kak Wan, Beri Peluang Calon Untuk Bertanding Di dalam Suasana Telus, Adil Dan Berintegriti

Beri PKR peluang teruskan pemilihan pusat, kata Wan Azizah

PETALING JAYA, 12 Nov — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak mengambil tindakan menyelesaikan aduan mengenai kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan pusat sambil merayu agar diberikan peluang untuk meneruskan proses pengundian yang sedang berlangsung.

“Kita serah kepada JPP untuk mengenal pasti aduan dan masalah yang dikemukakan dalam pemilihan parti. Dakwaan kata JPP tidak ambil tindakan adalah tidak benar.

“JPP telah kenal pasti aduan tersebut dan kita harap parti diberi peluang untuk meneruskan pemilihan kali ini,” kata Presiden PKR selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Fauzi Abdul Rahman dan calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Badrul Hisham Shaharin di ibu pejabat PKR di sini.

Ia merupakan kenyataan rasmi pertama sejak kontroversi pemilihan pusat tercetus awal minggu ini, yang menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti.

Selain itu, seorang lagi calon mengemukakan memorandum memberi kata dua kepada parti agar menyelesaikan kesemua aduan termasuk membatalkan dan mengadakan semula pemilihan.

Bagaimanapun beliau pagi tadi memutuskan untuk kekal dalam saingan manakala JPP pula berkata pemilihan pusat akan diteruskan.

Kumpulan Badrul pula malam kelmarin mengadakan perhimpunan meluluskan enam resolusi antara lain melantik Fauzi, Pengerusi PKR Pahang dan membawa perutusan meminta pucuk kepimpinan parti menangguhkan pemilihan yang diadakan sekarang.

Resolusi yang diluluskan malam kelmarin termasuklah meminta agar media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan, pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod ke arah memperkasa anggota dan rakyat, memperakui pemilihan kali ini mempunyai banyak masalah, parti dengan segera memperberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat dan meminta semua calon atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan atau menarik diri daripada bertanding.

The Malaysian Insider difahamkan Dr Wan Azizah akan mengeluarkan kenyataan rasmi hasil pertemuan itu, esok.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Bendahari Agung PKR William Leong dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Dr Muhammad Nur Manuty, mewakili Biro Politik.

Biro Politik telah mengadakan mesyuarat khas malam kelmarin dan memutuskan pemilihan pusat akan diteruskan.

Sementara itu, Fauzi yang ditemui selepas menyerahkan resolusi kepada Dr Wan Azizah berkata pertemuan kira-kira satu jam itu adalah satu usaha lebih kepada untuk memperkukuhkan parti.

“Pertemuan ini berjalan dengan baik, saya hanya posmen bagi menghantar resolusi kepada beliau (Dr Wan Azizah).

“Resolusi yang dihantar itu lebih untuk membawa suara di peringkat akar umbi tentang masalah-masalah yang dialami, itu sahaja.

“Bagaiamanapun beliau mengakui bahawa parti ada kelemahan, tapi ia bukan alasan yang boleh membantutkan parti.

“Kita akan usaha mencari jalan penyelesaian,” kata beliau yang enggan mendedahkan isi kandungan resolusi yang diserahkan kepada Dr Wan Azizah hari ini.

Badrul Hisham dalam pertemuan yang dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” malam kelmarin melantik Fauzi sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.

Pertemuan yang disertai sekitar 200 ahli AMK, penyokong Badrul Hisham meluluskan enam resolusi — antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.

Badrul Hisham pula berkata, resolusi tersebut lebih untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti dalam menghadapi ancaman politik sedia ada.

“Kita hanya mahu memperkuatkan parti, cari jalan penyelesaian untuk memperkukuhkan parti. Tidak guna kalau kita menang jika parti lemah.

“Dalam pertemuan ini, saya melihat ada signal positif, jadi saya minta semua ahli tidak harus meletakkan jawatan, tarik diri tapi gunakan jawatan yang ada untuk memperkasakan parti.

“Dalam resolusi itu juga tiada tekanan terhadap presiden parti, tiada ugutan kepada parti, hanya niat untuk memperkasakan parti,” katanya.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua AMK masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,849 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,818 undi selepas 87 cabang mengadakan pengundian sehingga 7 November lalu.

Proses pengundian pemilihan pusat diteruskan hari ini buat hari keenam dan esok dan lusat untuk minggu ini.

Hari ini enam cabang melangsungkan pengundian, 41 esok dan 28 lagi Ahad ini.

Badrul Hisham ketika dihubungi kemudian memberitahu The Malaysian Insider bahawa “saya sifatkan pertemuan ini membawa harapan positif, ada tanda-tanda yang positif.”

“Walaupun tidak memutuskan sama ada pemilihan ditangguh atau tidak, kita boleh putuskan bahawa ia ada membawa petanda positif,” kata beliau.

“Bagaimanapun kita tunggu kenyataan rasmi Presiden, yang saya difahamkan akan dikeluarkan seawal pagi esok,” kata Badrul Hisham yang turut memberitahu, salah satu keputusan yang dicapai ialah “tiada sesiapa pun sama ada pemimpin ataupun calon harus meletakkan jawatan ataupun menarik diri daripada kedudukan mereka.”

Ketua PKR Rembau ini menjelaskan kesemua calon dan pemimpin parti perlu bersama parti demi memperkukuhkan kedudukan komponen Pakatan Rakyat ini. TMI


Ketua cabang di Perak dedah muslihat pastikan kemenangan Azmin

IPOH: Beberapa pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak, mengesahkan berlaku manipulasi undi dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Perkara itu diakui Ketua Cabang Tambun, Zulkifli Ibrahim; Ketua Cabang Bagan Datoh, Madhi Hassan dan Ketua Cabang Ipoh Barat, A Thinagaran.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan manipulasi itu dan menegaskan ia sudah diajukan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Zulkifli mendakwa, penyelewengan dalam pengundian itu menyebabkan pemilihan oleh akar umbi tidak menepati prinsip demokrasi tulen seperti matlamat asal pemilihan MPP.

Kepemimpinan cabang mendapati ada manipulasi undi dan perkara ini sudah dinyatakan dalam memorandum bantahan kepada kepemimpinan kebangsaan.

JPP mesti bertindak profesional dengan menangani bantahan seberapa segera," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Madhi pula berkata, pemimpin akar umbi turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem pemilihan MPP yang sudah di-ajukan kepada JPP.
Justeru, katanya, JPP mesti menangguhkan sementara proses pemilihan sehingga semua kelemahan berkenaan ditangani.

Setakat ini, kita beranggapan aduan kepada JPP tidak dilayan kerana mereka hanya berdiam diri, katanya.

Thinagaran pula berkata, kehendak akar umbi sekarang ialah JPP menangguhkan pemilihan MPP kerana menganggap JPP kurang efisyen berikutan kegagalan menangani bantahan mengenai manipulasi undi.

Katanya, JPP juga perlu serius dan telus dalam mengatasi setiap aduan yang dibuat oleh pemimpin akar umbi.

Akar umbi mahu melihat bukti mereka menjalankan pemilihan secara bersih dan telus, katanya. -BH


dibaca bersama

i. Amin Iskandar: Pemilihan PKR Nampak Mengarut, Sungguh Memalukan

ii. Presiden PKR Kena Tegas Atasi Konflik, Lantik Firma Audit Bebas Siasat

Ulasan GB

SEPATUTNYA DAN SEWAJIBNYA Pemilihan ditangguhkan. Bukan seorang bukan dua orang malah kini umum mengetahui bahawa Pemilihan PKR dihantui dengan manipulasi dan exploitasi oleh tangan-tangan ghaib dari pimpinan kanan parti untuk memenangkan calon-calo tertentu dengan hadirnya aduan-aduan penyelewengan di peringkat akar umbi.

Aduan sudah dibuat, 162 jumlahnya kata calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil, semalam Puan Presiden menyatakan ada 60 aduan. Angka yang berubah-ubah ini sudah cukup untuk membuktikan wujudnya sesuatu yang diragui, sama seperti lintang-pukangnya keputusan Pemilihan yang merupakan petanda buruk untuk PKR.

Kita tidak boleh terus menyapu sampah ke bawah karpet. Perlu jujur dan tegas untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Bukan untuk mengikut rentak dan gelombang ahli terbanyak yang histeria konon hanya ada usaha pihak tertentu untuk menghancurkan parti dari dalam, kononnya. Lansung tiada bukti. Memang betul ada usaha menghancurkan parti dari dalam, namun ia tidak lain dan tidak bukan adalah dari pucuk pimpinan PKR sendiri, bukan orang baru yang dicemburui kerana ingin bertanding jawatan penting parti. Buktinya banyak, dari awal penamaan calon sudah terlihat dan terpampang bukti yang amat nyata.

Apa-apa pun kepincangan parti, kita tidak boleh lagi menyalahkan orang lain. Sepertimana musibah menimpa diri, kita perlu muhasabah diri sendiri. Bukan menunjuk satu jari ke arah orang lain sedangkan empat jari sendiri menunjuk diri sendiri. Yang perlu disemak dan disiasat adalah organ parti sendiri bukan sekadar menuduh mengikut persangkaan oh sianu sianu hendak menghancurkan parti kerana cuba menjadi pengkhianat di dalam parti.

Parti Keadilan rakyat perlu memperlihatkan "keadilan" itu terlaksana, bukan sekadar melaksanakannya. Ia perlu dilihat sebagai parti yang berintegriti dan berkredibiliti sebagai sebuah parti yang boleh menunjangi Pakatan Rakyat di sebalik retorika "kerajaan menanti".

PKR akan kehilangan dominasinya di dalam PR selepas ini sekiranya Pemilihan diteruskan. Malah PKR akan ditolak oleh rakyat di dalam pilihanraya akan datang. Itu pandangan GB.

GB boleh dicaci dimaki oleh sekalian penyokong tegar Azmin, namun GB tidak akan berganjak untuk menyatakan kebenaran dan keadilan. Malah GB tidak ada kepentingan sedikit pun di dalam politik PKR, samada dari parti itu sendiri atau mana-mana individu di dalamnya.

1 ulasan:

Anak Sungai Derhaka berkata...

Salam Tuan... minta izin cnp komen tuan ni..