25 Okt 2010

UMNO Berdepan Dengan Cah Keting Di Galas

Hapuskan budaya ‘cah keting’, kata Khairy

GUA MUSANG, 24 Okt — Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta agar budaya “cah keting” atau cantas-mencantas dihapuskan dan berharap ia tidak akan berlaku pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata budaya itu yang sering dikaitkan dengan Umno Kelantan, perlu dihapuskan segera kerana ia berupaya merosakkan imej parti dan Barisan Nasional (BN).

“Saya dapat jaminan daripada Ketua Pemuda Gua Musang Bazlan Baharuddin bahawa Pemuda akan sokong siapa sahaja calon mewakili BN untuk pilihan raya kali ini, dan tidak mahu budaya cah keting dipraktikkan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Projek Perumahan Rakyat di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, telah dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 4 Nov depan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Pemuda akan menggerakkan jenteranya dengan lebih aktif bagi menarik pengundi muda menyokong BN menerusi pendekatan isu tempatan, berbanding “serangan peribadi” terhadap calon pembangkang.

Bagaimanapun, beliau berkata Pemuda akan sentiasa memantau ceramah parti lawan bagi mengenal pasti bentuk serangan peribadi terhadap calon BN, selain melihat sama ada janji mereka kepada rakyat di Kelantan telah ditunaikan atau tidak. — Bernama

Ulasan GB

Hanya beberapa jam calon BN untuk Galas diumumkan, Ketua Pemuda UMNO meminta supaya budaya “cah keting” atau cantas-mencantas dihapuskan dan berharap ia tidak akan berlaku pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ia seperti satu respons dari pemerhatian Khairy terhadap apa yang berlaku di Galas.

Apatah lagi "permintaan" itu dibuat secara terbuka. Maka dengan sendirinya orang semua sudah boleh membuat kesimpulan, memang sah cah keting berlaku di sana.

Bila melihat kepada calon BN yang dikemukakan untuk Galas, setiap orang termasuk dari kalangan UMNO bersetuju cah keting itu tak dapat dielakkan.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum,

Suka aku dengar kata-kata KJ tu, macam itulah semangat seorang Pemuda patutnya. Bukan Pemuda saja, yang atas-atas kamu dan di bawah pun mesti bersatu menyokong anak muda ini, termasuk ibu dan putri sekali. Orang kampungku kat Rembau tu kata sekarang ni KJ dah baik. Aku anggok memang dia tu baik, hanya dulu tu orang kata dia salah pilih sijil.

Sijilnya banyak tapi surat nikah yang satu tu juga yang dipilih sebagai bukti kepintarannya. Ucapan KJ pun dah pandai selit perkatan ARAB. Tak macam dulu Ana ente ni Nuar sahaja yang pakai, tak mainlah. Baru padan bila C-K tu terkena kat diri sendiri. Masa kamu di Tingkat-4 dulu banyak juga cerita cantas-mencantas ini kami dengar berlaku.

Syukurlah kau dah sedar. Marilah singgah ke pondok PKR sekejap. Wan, Nuar, Khalid, Zaid, Azmin, Chegu .. GB pun ada. Banyak lagi tak tersebut boleh sama menyambut, semua abang-adik ini bes-bes belaka. Dan kalau campur KAMU bersatu sudah pasti HEBAT sekali. Kau pun dah kata tak boleh harapkan undi Melayu saja nanti akan apa jadinya. Lagi pun kamu dah banyak duit tak perlu nak sogok-suap lagi. Pastinya tak perlu bawa kotak nak loncat-loncat sana sini. Fikir-fikirkanlah.

Tanpa Nama berkata...

Kebaikan bermusim seorang ahli politik. Sama seperti manisnya wajah dan bibir si penjual barang. Akhirnya rakyat dan pengguna juga yang tertipu.

Bukti seseorang itu memang hendak jadi baik, dia kena tinggalkan 'sarang kejahatan' yang digelumanginya selama ini. Mana mungkin seorang yang ingin bersih tetapi masih seronok bahkan membanggakan 'tong taik' yang didiaminya.

Jangan berperangai munafik, takut-takut jadi munafik yang sebenar.
Sebab itu dalam ajaran Islam, Iman itu selain diucap oleh lidah, kena dibenarkan oleh hati lalu dibuktikan pula oleh sikap dan perbuatan. Lahir batin kena selari.

Para pengundi di Galas dan Batu Sapi kena faham betul-betul sesiapa yang berperangai dan bersikap seperti para munafikin yang bergelandangan dalam berbagai wadah, wajah dan bentuk.