20 Okt 2010

Tunang Rozaliya Tampil Buat Aduan Polis

Tunang gadis hilang tampil buat aduan

KUANTAN: Mohd Helmi Mohd Noor yang kehilangan tunangnya, Rozaliya Mat Lazim, sejak Rabu lalu selepas membeli kelengkapan perkahwinan di Pasar Kuantan, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu petang semalam.

Beliau yang berasal dari Johor Bahru dan bekerja di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu hadir ke IPD Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha yang mengesahkan perkara itu berkata, polis mengambil masa lebih dua jam bagi merekodkan semua keterangan Mohd Helmi, 24, berikutan kes terbabit semakin banyak menimbulkan keraguan.

Katanya, keterangan itu penting selepas keluarga Rozaliya mendakwa gadis terbabit disembunyikan tunangnya itu.

“Kita memandang serius kes ini dan melihat semua aspek termasuk sama ada mempunyai unsur jenayah penculikan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zulkifli berkata, beberapa anggotanya pergi ke rumah Rozaliya di peringkat satu Bandar Cheneh Baru, Kemaman untuk bertemu ibu gadis berkenaan, Sabariah Mansor, 42, petang semalam bagi mengumpul maklumat kes itu.

“Ini disebabkan keluarganya enggan datang ke IPD Kuantan bagi memberi kerjasama,” katanya di sini, semalam.

Kehilangan Rozaliya, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini dengan Mohd Helmi mendapat perhatian ramai dan polis meminta mereka yang melihat gadis terbabit segera menghubungi talian 09-5132222 atau bilik gerakan 09-5142999.

Mohd Helmi yang juga Pegawai FELDA ketika ditemui di Kemaman, berkata anggapan kononnya dia cuba menyembunyikan diri dan mengelak daripada keluarga Rozaliya, tidak benar sama sekali.

“Saya memang ada menerima SMS daripada Rozaliya kira-kira jam 3.40 petang berbunyi 'Awak cepat sikit k. Masa nak g (pergi) ambil duit ada dua orang macam ikut saya. Saya takut’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu atas nasihat keluarga dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, hasrat Sabariah untuk ke bandar Kuantan bagi mencari anak perempuannya yang hilang sejak enam hari lalu, tidak kesampaian apabila dia dipatuk seekor ular berdekatan rumahnya, malam kelmarin.

“Ketika hendak ke rumah jiran sebelah rumah untuk meminta pertolongan membeli makanan di kedai berdekatan untuk anak yang ditinggalkan di rumah sebelum saya ke Kuantan, tiba-tiba kaki sebelah kanan terasa sakit digigit atau disengat sesuatu sehingga menyebabkan saya tersentak,” katanya.

Dia kemudian dipapah saudara mara sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) kira-kira jam 10 malam, selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad dan dibenar pulang tengah hari semalam.

“Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat mencari Rozaliya akibat dipatuk ular. Saya berdoa kejadian ini bukan petanda tidak baik mengenai anak saya,” katanya.-BH


Ibu Rozaliya dipatuk ular

KEMAMAN – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa Sabariah Mansor, 42, ibu kepada bakal pengantin yang hilang, Rozaliya Mat Lazim, 20, apabila dia kini terpaksa menanggung kesakitan selepas dipatuk ular malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam ketika Sabariah bersama keluarganya baru pulang daripada menemui seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Kemaman untuk mencari anak perempuannya yang hilang.

Rozaliya yang dijadualkan berkahwin pada 12 November ini hilang sejak 13 Oktober lalu ketika keluar membeli barangan keperluan perkahwinan di Kuantan.

Menurut Sabariah, setiba di rumah, kaki kanannya tiba-tiba terasa sakit seperti digigit sesuatu ketika hendak menaiki tangga untuk masuk ke rumah.

Selepas diperiksa, katanya, ada kesan darah di kaki dan dia ternampak kelibat seekor ular dipercayai ular sawa tikus bergerak pantas keluar dari kawasan rumahnya.

“Akibat dipatuk ular, kaki saya bengkak dan bertukar menjadi kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam. -kosmo


Tiada ulasan: