22 Okt 2010

Perwakilan UMNO Salahkan "Pemimpin Dahulu" Sebabkan Melayu Pulau Pinang Kritikal

Keadaan orang Melayu pulau Pinang kini kritikal, kata wakil Umno negeri

Keadaan orang Melayu di Pulau Pinang sangat kritikal terutama dalam isu pemilikan tanah dan ketika ini kira-kira 7,000 penduduk negeri berhadapan dengan risiko diusir dari rumah yang mereka duduki, demikian menurut wakil Umno Pulau Pinang Mohamad Farid Saad.

Beliau yang mendedahkan hasil maklum balas kajian Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang dikumpul dari 13 ketua bahagian berkata, penduduk dari 60 perkampungan di Pulau Pinang didapati akan kehilangan tempat tinggal kerana tanah rumah yang didiami sekarang bukan milik mereka.

Katanya kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP dilihat semakin melampau apabila mereka mula membuka tanah yang selama ini dipertahan, untuk dibangunkan, dan beliau memberi contoh satu lot tanah yang di Sungai Burung yang dikhaskan untuk sawah dikeluarkan dari gazet, dan satu lagi kes yang membabitkan sebahagian daripada Taman Negeri yang dibuka untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan.

"Kes ini akan membuka laluan kepada pembukaan kawasan-kawasan lain dari kategori yang sama. Ini semua adalah penyalahgunaan kuasa yang mesti dihentikan," kata Anggota Umno Bahagian Balik Pulau itu ketika membahaskan usul ucapan presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Mohamad Farid berkata apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang merupakan contoh kes pengusiran melalui polisi dasar, selain berlakunya pengusiran secara fizikal, psikologi dan terang-terangan.

Mohamad Farid berkata kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk menghalang pembangunan di kawasan yang digazet, seperti kawasan-kawasan yang sensitif dalam menjaga alam sekitar di semua negeri.

"Jika tidak, lebih cepatlah orang Melayu diusir. Hari ini tanah milik orang Melayu di daerah timur laut hanyalah 1.16 peratus saja, tanah di Balik Pulau hanya 15.07 peratus, di Seberang Perai 44.2 peratus, Seberang Perai Tengah 23.5 peratus dan di Seberang Perai Selatan 18.09 peratus sahaja milik orang Melayu," katanya dan menambah ketika ini hanya 20.41 peratus sahaja tanah di Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah milik orang Melayu.

Beliau berkata orang Melayu sudah lama bertapak di Pulau Pinang, tetapi hari ini, sedikit demi sedikit tanah yang dimiliki turun temurun dijual dan bertukar tangan.

Menurutnya jika generasi dahulu boleh bertolak ansur, generasi baru tidak ada lagi belas kasihan, di mana yang ada kini hanyalah 'you keluar dari sini, kalau tak puas hati jumpa di mahkamah nanti'.

Mohamad Farid berkata hakikat yang perlu diterima ialah keadaan ini berpunca daripada kealpaan "pemimpin dahulu".

--Bernama

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila BN perintah pulau pinang kenapa mereka tak selesaikan masaalah?

Tanpa Nama berkata...

kenapa bila Nizar perintah beberapa bulan beri hak milik tanah, UMNO rampas kuasa?

Lim Pulau Balik berkata...

Salahnya Melayu jugak, jangan dok salah orang lain........

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin Melayu Islam (UMNO) Pulau Pinang baru sedar ke? Sebelum ini ketika berkuasa bersama Gerakan mengapa tak nak ambil tindakan? Maklumlah ketika itu asyik dan syok dengan wang dan kuasa. Bila tak tak ada kuasa barulah "ada otak sikit" kononnya nak tolong nak orang Melayu. Ini jadi satu pengajaran yang baik untuk masa akan datang.

Tanpa Nama berkata...

Kalau P Pinang tak jatuh ke tangan PR cerita ni senyap saja. Dasar UMNO/BN MUNAFIK!!!

pepe81 berkata...

tak perlu lagi bg ruang pada umno/bn ni lagi,.,mereka hanya pentingkan isi perut dan juak2 je,..,salah orang nampak walau sebesar kuman,.,tapi salah sendiri sebesar gajah pun tidak mahu mengaku,.,sudah lah MELAYU,.,.BE END kan saja mereka nanti,.,PRU13,.,..

Tanpa Nama berkata...

itulah namanya umno.. bila tengah ada kuasa ... tak sedar diri... lepas tu bila dah tak ada kuasa.. habis pekong didada dibukanya... meludah ke langit jatoh balik ke muka sendiri.... ha... ha... ha...

Cumi Manzui berkata...

"Sedih, sedih, sedih, .......
Baru dekat 2 tahun DAP memerintah sudah mampu menghabiskan begitu banyak tanah rezab Melayu kita. Hebat DAP, sungguh Hebat."
Benarkah DAP begitu hebat?
Begitulah bicara puak munafikun. Depa yang dok khianat pada bangsa sendiri tapi asyik dok salahkan bangsa lain. Sebijik macam Tun Che Det ala Kutty.
Pada firasat AKU, hanya tanah Melayu yang hilang dan bukannya tanah UMNO kot. Entahlah, susah nak berbicara rasional dengan puak munafikun.