12 Sep 2010

Perkembangan Terkini Pembunuhan Sosilawati

Mayat dibakar di ladang ayam

Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.

Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.

Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.

Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.

Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.

Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah. -kosmo


Sosilawati: Polis Bawa Suspek Ke Tempat Kejadian Di Tanjong Sepat

BANTING, 12 Sept (Bernama) -- Pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat sini bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Terdapat spekulasi mayat mereka dibakar.

Seorang sepupu Sosilawati, yang ditemui di rumahnya di Gombak, berkata polis ada menghubungi mereka tengah hari ini memaklumkan kemungkinan mayat jutawan itu ditemui di Tanjong Sepat.

"Mungkin kena buat DNA untuk sahkan itu mayat Datuk," kata Elias yang enggan menyatakan nama penuhnya.

Bekas suami pertama Sosilawati yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki rumah Sosilawati kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. -- BERNAMA



Rakyat kecam tindakan bunuh dan bakar

Laporan media yang mengaitkan penemuan empat mayat di kawasan Morib dengan kehilangan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain belum dipastikan, tetapi rakyat jelata mula mengecam tindakan membunuh kemudian membakar mayat mangsa.

Mereka yang mengikuti berita ini sejak awal pagi tadi, walaupun belum disahkan identiti mereka oleh polis, menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang sungguh kejam dan amat keji.

Rata-rata kesemua pembaca mengutuk tindakan itu khususnya ketika rakyat Malaysia khususnya umat Islam menyambut Aidilfitri.

Mereka berpendapat bahawa tidak kisah siapa yang menjadi mangsa pembunuhan di Morib, jika pun benar, tindakan itu tidak wajar dilakukan oleh manusia yang waras.

Negara pernah dikejutkan dengan perbuatan membunuh dan kemudian mayat dibakar ataupun diletupkan. Ini termasuk kes bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Kumpulan Utusan.

Empat tahun lalu wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pula dibunuh dan mayatnya kemudian diletupkan.


Penulis blog syahrilkadir yang memetik laporan media hari ini menulis, “Al-Fatihah untuk semua mangsa.”

“Aku masih tak dapat bayangkan betapa kejamnya manusia yang melakukan perkara sebegini kepada semua mangsa, percayalah ini bukan kerja binatang, kerana binatang pun masih ada sifat belasnya!” kata penulis ini yang merupakan bekas wartawan akhbar harian.

Pengunjung laman web www.benashaari.com pula membawa pandangan pengunjung yang turut mengecam tindakan sedemikian dengan berkata “manusia semakin jahil.”

Seorang lagi penulis blog berkata, “aku tak tahu kenapa tapi jauh di sudut hati aku, aku harap empat mayat rentung itu tiada kaitan dengan misteri kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Aku berharap mereka semua masih hidup!”

Pengunjungnya pula berkata, “tak kiralah apa identiti empat mayat tersebut, motif apakah sampai perlu dibunuh dan dibakar. Kita semakin kejam!”

Sementara itu blog hizamirahim.blogspot.com pula membawa reaksi: “Inna lillah wa inna ‘ilaihi raji’un. Ya Allah! Biar betul?”

Laman denaihati,com yang mengumpulkan senarai mesej Twitter pula berkata, “dalam perbincangan aku dengan kenalan aku itu pun memang kami dah jangka sesuatu yang buruk telah berlaku tetapi aku sendiri tak berani pandai-pandai buat cerita selalgi belum disahkan oleh pihak berkuasa.”

“Kita tunggu dan doakan yang terbaik. Setiap kejadian pasti yang ditetapkan tuhan pasti ada sesuatu untuk kita semua pelajari.

“Apa yang belaku sangat menyedihkan terutama di bulan yang mulia Ramadan dan Syawal. Manusia sanggup buat apa sahaja demi WANG,” kata mesej itu.

Mesej dalam Twitter dari laman web itu pula berkata, “dunia sudah kiamat! Ya Allah, ampunilah dosa umatMu sekalian.”

Laporan Bernama menyebut sejak awal pagi ini pasukan forensik polis membuat siasatan di sebuah ladang pertanian bersepadu dekat Banting.

Polis telah menyekat laluan masuk ke Ladang Gadong, di Jalan Gadong, Tanjong Sepat sejak malam tadi dan tidak membenarkan media yang berkumpul di situ memasuki kawasan itu.

Salah seorang anggota polis yang bertugas memberitahu pemberita mereka diarahkan agar tidak membenarkan media masuk ke dalam kawasan itu.

Difahamkan pihak forensik dari Bukit Aman akan menjalankan siasatan ketika spekulasi kuat mengatakan bahawa keempat-empat mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibakar.

Menurut seorang penduduk di kawasan berhampiran, ladang itu menjalankan pertanian bersepadu seperti ternakan ayam, lembu dan penanaman longan.

Sejak tersebarnya khabar angin bahawa polis telah menjumpai mayat di situ, ramai wartawan, jurugambar dan krew TV berkejar ke ladang itu sejak tengah malam tadi tetapi tidak dibenarkan masuk ke kawasan ladang oleh pihak polis yang berkawal di luar jalan utama.

Sejak malam tadi, cubaan untuk mendapatkan pengesahan daripada para pegawai tertinggi polis sama ada di Bukit Aman, Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan Selangor gagal mendapat sebarang pengesahan.

Wartawan juga menerima pesanan ringkas daripada beberapa sumber bahawa seorang bergelar Datuk, seorang peguam dan tujuh lelaki yang bekerja di ladang itu telah ditahan untuk membantu siasatan tetapi ia juga tidak dapat disahkan.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. -TMI



Berita dan Ulasan Sebelum ini

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

media arus perdana BN hanya siar pembunuhan saja, tapi tak siar jenayah berleluasa pemerintah BN

Tanpa Nama berkata...

media arus perdana BN hanya siar pembunuhan saja, tapi tak siar jenayah berleluasa pemerintah BN

Tanpa Nama berkata...

kita lihatlah nanti, datuk mana yang terlibat, kalau orang2 politik bee end, kes akan dibiarkan menjadi persoalan kita semua....

Tanpa Nama berkata...

Yap..saya setuju dengan pendapat beberapa pihak..1/ Ada isu di sebalik beberapa kes bunuh high profail di Malaysia 2/ Kes bunuh di Malaysia sudah semakin 'daring' dan kejam 3/ Penjenayah masa kini bukan penjenayah biasa tapi berpelajaran tinggi, berwang dan mempunyai jaringan kuasa dengan dalaman 4/ Prevention tak ada,..da berlaku baru nak buat tindakan.