22 Sep 2010

Kes Sosilawati: Lembu, Kambing Dikeluarkan, Polis Jamin Siasatan Siap 2 Minggu

Veterinar bawa keluar kambing, lembu

Gambar: Empat anggota Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor menangkap seekor daripada empat ekor lembu milik suspek kes utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini, hari ini. Turut ditangkap ialah lapan ekor kambing. foto: Bernama

BANTING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor membawa keluar binatang peliharaan milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya di Ladang Gadong, di sini, bagi mengelak haiwan itu terbiar.

Masing-masing empat lembu, kambing dan biri-biri dibawa keluar menggunakan satu lori dan tiga pacuan empat roda milik jabatan berkenaan sebelum dibawa ke satu lokasi tidak diketahui.

Bagaimanapun, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Selangor, Dr Abdul Latif Borhan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai tindakan itu.

Kelmarin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas empat merak India, tiga burung gembala kerbau, tiga tekukur dan seekor murai kampung milik suspek utama disangkarnya di Ladang Gadong. -HMetro


Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis jamin siasatan siap 2 minggu

KUALA LUMPUR: Siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu dijangka siap sepenuhnya dua minggu lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata kertas siasatan awal berhubung kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pagi semalam untuk diteliti, seterusnya persiapan untuk proses pendakwaan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) memberi jaminan proses siasatan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. Ini termasuk laporan lengkap DNA bagi membolehkan proses pendakwaan dimulakan secepat mungkin, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laman sosial Facebook PDRM di Bukit Aman di sini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti-Pengganas) PDRM, Datuk Muhamad Fuzi Harun dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun.

Hishamuddin berkata, proses mengenal pasti DNA sedang giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia dan ia dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.
Ujian DNA ini mengambil masa, namun saya dimaklumkan prosesnya berjalan lancar dan boleh membantu menyelesaikan kes ini.

Kita berharap kes ini dibawa segera ke mahkamah kerana ia sudah menarik perhatian banyak pihak, terutama orang ramai yang mengikuti perkembangannya sejak mula, katanya.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan, Noorhisham Mohammad, 38.

Hishamuddin secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian PDRM dan agensi berkaitan yang mengendalikan siasatan kes berkenaan, terutama daripada peringkat awal kehilangan Sosilawati bersama tiga individu yang membawa kepada pembongkaran kes pembunuhannya.

Masa yang diambil begitu cepat untuk membongkar kes ini. Cuma, pihak media perlu memahami keadaan dan prosedur siasatan.

Dalam kes Sosilawati, banyak laporan (media) yang kurang tepat sehingga menimbulkan spekulasi yang dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan dan pendakwaan, katanya.

Beliau turut mengingatkan media mengambil kira isu sensitiviti tertentu dalam setiap laporan berhubung perjalanan kes berkenaan agar tidak disalah tafsir hingga boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.-BH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Askm

Di Malaysia, bila anjing dah kelaparan dah mula makan kambing, baru nak bunuh, lepas tu baru nak selamatkan kambing dan lembu dari kelaparan di ladang...sedangkan kes ini bermula sejak sebelum hari raya. bayangkanlah betapa laparnya binatang tersebut.

Kalau di luar negara, apabila tuan binatang kena tangkap. binatang akan turut diselamatkan.

ini menunjukkan perkhidmatan di malaysia masih tahap lemah.

Pemerhati Bebas