1 Jul 2010

PR Ada Hak Lantik Penasihat Undang-undang, SUK Dan Pegawai Kewangan Sendiri

Tukar Penasihat Undang-Undang, Kajian Selama Dua Tahun

Pakatan Rakyat sudah membuat kajian undang- undang selama dua tahun sebelum membuat keputusan melantik peguam bebas sebagai penasihat undang- undang negeri menggantikan peguam dari Jabatan Peguam Negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata Pakatan Rakyat mengambil keputusan demikian berdasarkan pengalaman mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, yang dinafi nasihat perundangan yang jujur.

“Kita kurang mendapat kerjasama dari penasihat undang-undang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Kita tak ambil tindakan segera ketika itu sebab kita kaji undang-undang.

"Adakah kerajaan negeri tertakluk pada undang-undang yang hanya boleh lantik peguam dari jabatan peguam Negara sahaja?

"Kita diberi nasihat bahawa kerajaan boleh lantik penasihat undang-undang sendiri, ini berkait dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya kepada TV Selangor.

Naib Presiden Pas, Sallehuddin Ayub berkata tindakan ini perlu lantaran penasihat undang- undang lantikan Pejabat Peguam Negara dikatakan memberi nasihat yang hanya menjurus kepada kepentingan kerajaan Persekutuan.

“Penasihat undang-undang negeri didapati tidak menjalankan tugas nasihat kepada kerajaan negeri sebab mereka dilantik oleh Peguam Negara. Jadi mereka terpaksa tunduk pada mereka.

"Contoh kes royalti Kelantan. Penasihat itu tidak bagi nasihat yang sepatutnya pada negeri. Sebab itulah kita hendak lantik peguam yang bukan Pejabat Peguam Negera supaya tiada jurang antara penasihat undang-undang dengan dgn kerajaan negeri,” katanya.

Azmin menegaskan Peguam Negara wajar menghormati keputusan Pakatan Rakyat.

“Sudah tentu Peguam Negara ada pandangan dia tersendiri. Tapi perkara ini kita tak ambil tindakan terburu-buru. Dua tahun kita teliti. Kita boleh lantik peguam sendiri untuk nasihat kita berkenaan undang-undang,” kata Azmin.

“Kita akan tunggu keputusan Pejabat Peguam Negara dulu. Kita hanya cadangkan semalam, dan kita akan tunggu jawapan dari Peguam Negara,” kata Salehuddin pula. -TVS


Aziz Bari: Tukar sekali SUK, pegawai kewangan

Pakatan Rakyat bukan sahaja disaran menggantikan penasihat undang-undang dengan peguam sendiri, sebaliknya gagasan itu turut dicadang melantik pegawai kewangan dan setiausaha kerajaan negeri pilihan mereka.

Hal ini disuarakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari.

Beliau yang dipetik oleh TV Selangor berkata ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," katanya.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh peguam negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

Tali barut

Mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari pejabat peguam negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan pusat.

"Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aziz, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Guna istana

Beliau bagaimanapun mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana.

"Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melengahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsesi perjanjian air sebagai dokumen awam. -mk

Tiada ulasan: