19 Mei 2010

Tumbang Di Sibu: BN Belum Sedar Dari Lamunan

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) belum lagi sedar dari lamunan kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu Ahad lalu yang menyaksikan pertarungan sengit di antara calon DAP Wong Ho Leng dan calon SUPP Robert Lau Hui Yew.

Mereka masih berputar-putar mencari punca apakah sebab kekalahan itu dan ada di antara mereka yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan dan sokongan yang semakin terhakis.

Mereka mengeluarkan kenyataan bersifat rempah ratus, memujuk diri sendiri dan ada yang sedang mengkaji apakah keperluan masyarakat Sibu sebenar.


Kenyataan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berbentuk retorik kerana menyifatkan kemenangan DAP itu bukan isyarat kepada permulaan penguasaan parti pembangkang di Sarawak.

"Jangan sangka apabila seekor ayam berkokok maka ertinya hari sudah siang," katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

Masyarakat Sibu tidak boleh "dibeli"

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, BN akan melakukan pembaharuan terhadap jentera pilihan raya parti itu yang kini didapati kurang bertenaga, dan tidak kreatif, sebagai persediaan pada pilihan raya umum yang akan datang.

Menurut beliau, DAP berkempen secara agresif dan menggunakan isu-isu yang sensitif serta banyak mengadakan program dan perjumpaan.

Najib sepatutnya hairan kenapa rakyat Sibu tidak termakan dengan "gula-gula" yang ditaburkannya menjelang PRK itu.

Seperti mana berleluasanya politik wang di Hulu Selangor tempuh hari, Najib memberi wang tunai RM600 untuk setiap pintu di rumah panjang disamping memberi RM5 juta untuk sekolah-sekolah rendah Cina, RM5 juta untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina dan RM10 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh Kristian.

Masyarakat Cina di Sibu khususnya sudah mencapai kematangan berpolitik dan tidak boleh "dibeli" dengan wang seperti mana yang ditunjukkan oleh pengundi-pengundi Cina di Rasa, Hulu Selangor.

Mereka memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat, Dato’ Zaid Ibrahim walaupun Najib menyogok RM3 juta untuk sekolah kebangsaan Cina di situ sehari menjelangnya hari mengundi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan BN melakukan bedah siasat segera bagi mengenal pasti punca utama calonnya tewas.

"Umno memang kecewa dengan kekalahan itu, tetapi kita menerima keputusan berkenaan secara terbuka. Walaupun kalah tipis, BN perlu melakukan bedah siasat yang boleh dijadikan panduan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujar Naib Presiden Umno itu.

BN terus berjanji untuk menunaikan janji-janji yang dibuat menjelangnya sesuatu pilihan raya dan begitu juga di Sibu. Kegemaran para pemimpin BN untuk berjanji dengan projek pembangunan membuat rakyat menjadi muak kerana banyak janji yang tidak ditunaikan.

"BN akan tetap menunaikan janji-janji yang telah diumumkan oleh kerajaan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil Sibu," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, dirinya sendiri atau mana-mana pemimpin BN sebelum ini akan ditunaikan.

Bagaimanapun SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) agak lebih berterus terang tentang kekalahan ini. Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, lebih daripada 50 peratus pengundi didapati tidak gembira dengan parti tersebut.

"Ini adalah pilihan rakyat dan kita mesti terima keputusan ini. Sekarang kita mesti mengambil tahu kenapa rakyat tidak senang dengan kita," ujar beliau.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu menandakan tsunami politik telah melanda negeri Sarawak dan diharap tsunami akan tiba di pantai Sabah tidak lama lagi bagi membawa perubahan dan memperkenalkan politik baru. -FMT


BN Sarawak tak panik

Barisan Nasional (BN) tidak panik dengan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Sibu 16 Mei lalu, kata Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Amar Adenan Satem (bawah, kiri) di Kuching hari ini.

Beliau ketika dalam usul perbahasan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berkata ia tidak akan memberi kesan kepada BN sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

"Hanya dengan menang di Sibu, BN masih lagi menguasai dewan (DUN) dan pembangkang masih kekal di kerusi pembangkang di dewan ini," kata Adenan (BN-Tanjung Datu).

Kata Adenan pembangkang yang menang dengan majoriti kecil 398 undi telah banyak menabur janji kepada rakyat di Sibu pada pilihan raya kecil lalu dan BN mahu melihat sejauh mana mereka dapat melaksanakannya.

Jelasnya BN akan memantau dengan lebih dekat apa yang boleh pembangkang buat untuk rakyat Sibu dalam tempoh dua tahun lagi.

- Bernama


Tiada ulasan: