18 Mei 2010

TGNA : Keputusan Di Sibu Petunjuk Rakyat Mual Dengan BN

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu sebagai salah satu petunjuk yang rakyat sudah terlalu mual dengan politik wang yang diamalkan oleh parti itu.

Nik Aziz berkata, UMNO dan BN perlu sedar tidak semua rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit seperti membeli ayam itik.

“Binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik. Saya berharap UMNO dan Barisan Nasional sedar, tidak semua manusia boleh dibeli.

“Taburlah berlian dari langit sekalipun, prinsip bukannya barang dagangan. Alhamdulilah, kami di Kelantan sudah kenal perangai budi UMNO,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Program Internet Thoyyibah di Kompleks Balai Islam dekat sini, semalam.

Beliau berkata, kaum Cina sudah jelas menolak BN seperti mana yang berlaku di Hulu Selangor ekoran laungan ketuanan Melayu yang bergema.

“Sedarkah UMNO ada hati yang terasa, ada sanubari yang terguris? Menjulang keris dan menciumnya di khalayak ramai sambil memekik Ketuanan Melayu seolah-olah Cina dan India bukan rakyat Malaysia, inikah politik yang nak dibawa oleh UMNO?

“Bukanlah saya anti Melayu, namun Melayu yang dilaungkan UMNO hanyalah slogan ‘buaya darat’ yang mencari mangsa untuk dibaham dan ia terbukti apabila royalti minyak kepada Kelantan dinafikan sedangkan Kelantan ialah negeri yang lebih 90 peratus rakyatnya Melayu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, langkah Pas menolak perpaduan dengan UMNO dan sebulat suara mengambil ketetapan untuk terus bersama-sama mengukuhkan Pakatan Rakyat adalah satu tindakan yang tepat. -SH


Nik Aziz: ‘Umno, BN beli undi macam beli ayam itik’

KOTA BARU, 17 Mei — Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat sudah terlalu mual dengan amalan politik wang Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan ia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu semalam.

“Rakyat sudah terlalu mual dengan politik wang (janji-janji pilihan raya),” kata Menteri Besar Kelantan ini.

“Umno dan BN membeli rakyat seperti membeli ayam itik, binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

BN memberikan janji projek pembangunan selain dana, antaranya RM5 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam terakhir kempen untuk mengatasi masalah banjir di Rejang Park.

Nik Aziz mengharapkan BN sedar kekalahan itu menjadi bukti bahawa tidak semua manusia boleh dibeli walaupun ditabur dengan berlian dari langit dengan berkata “prinsip bukannya barang dagangan.”

Sehubungan itu, beliau percaya realiti di Sibu malam tadi menjadi tamparan hebat kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu malam tadi berakhir dengan kejayaan Wong menewaskan calon BN, Robert Law Hui Yew dan Narawi Haron dari Bebas dengan majoriti 398 undi.

Narawi hilang wang pertaruhan.

Kemenangan Wong sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri setelah 28 tahun kerusi Parlimen berkenaan dikuasai BN. -TMI




Tiada ulasan: