27 Mei 2010

Saman Jika Kerajaan Dan PDRM Minta Maaf Dan Gagal Bayar Pampasan Kepada Mangsa Peluru Sesat

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mendesak kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia memohon maaf dan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada mangsa peluru sesat yang tertembak dalam satu insiden di Kuala Selangor, awal bulan ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ke atas setiap warganya, mangsa perlu diberikan keadilan. Kita kesal terhadap kecuaian yang berlaku dan sikap pasif dari pemerintah berkenaan kes ini."

"Memohon maaf dan memberikan pampasan kepada mangsa atas kecuaian pihak berkuasa adalah prosedur normal di mana-mana negara," kata Dr Dzulkefly.

Dalam kejadian pada 9 Mei lalu, mangsa S Surentiran 22, sedang dalam perjalanan ke kedai runcit di Kampung Kuantan bersama abangnya, S Suresh apabila beliau melihat dua buah kereta peronda polis menuju kesebuah kawasan berhampiran.

Polis kemudian memberitahu yang mereka sedang menjalankan satu operasi dan meminta bantuannya untuk menangkap suspek.

Beliau enggan dan menjarakkan diri dari kawasan tersebut dengan berdiri di sebuah jambatan berhampiran.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan dan kemudiannya menyedari yang dirinya telah cedera akibat terkena peluru sesat.

Polis kemudian menghantarnya ke Hospital Tanjung Karang bagi mendapatkan rawatan.

Peguam K A Ramu yang mewakili Surentiran menjelaskan pihak polis sehingga hari ini tidak memberikan reaksi terhadap insiden tersebut.

Malah selepas kejadian, polis memberitahu kepada keluarganya, bahawa keadaan mangsa tidak kritikal kerana hanya terkena serpihan peluru dan dibenarkan keluar awal dari hospital.

Namun selepas pemeriksaan perubatan dibuat, Surentiran terpaksa ditahan di wad selama sembilan hari sehingga mengganggu tugasnya sebagai pekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor.

Kecederaan tersebut didapati agak serius kerana peluru tersebut menembusi dada kanannya dan mengambil masa untuk pulih.

Ramu memaklumkan laporan polis telah dibuat dan kini sedang menunggu panggilan daripada pegawai penyiasat untuk diambil keterangan.

Beliau akan turut menulis surat kepada Peguam Negara bagi memastikan kes ini diambil perhatian yang sewajarnya.

"Mangsa trauma dengan kejadian dan telah ditimpa kecacatan kekal. Dia hanya boleh melakukan kerja-kerja ringan. Jadi kami menuntut pampasan yang munasabah sesuai dengan kecederaan yang dialami dan juga kos-kos perubatannya," kata Ramu.

Beliau turut membayangkan akan memfailkan saman sekiranya pampasan tidak diberikan.

Tiada ulasan: