15 Mei 2010

Pembubaran DUN Kedah Hanya Mainan UMNO BN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi jaminan tidak akan menyembunyikan perkara sebenar dalam pentadbiran negeri termasuk ura-ura kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan bubar dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat kenyataan rasmi mengenai isu itu kerana akur pada suara majoriti sekiranya ia benar berlaku.

“Saya juga ada dengar khabar angin itu. Ingin saya tegaskan bahawa jika benar DUN akan bubar, saya tidak akan berselindung dan akan beri maklumat tepat dan umumkan bila DUN akan bubar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah mengulas khabar angin yang bertiup kencang di negeri ini konon empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk tiga Exco Pakatan Rakyat (PR) akan keluar parti dalam masa terdekat.

Mereka yang dikatakan akan berbuat demikian ialah S Manikumar (PKR - Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR - Sidam), Lim Soo Nee (PKR - Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Dakwaan ini timbul berikutan kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan PR di Perak akan berulang di Kedah dalam waktu terdekat.

Azizan berkata, bagi meredakan khabar angin itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan ceramah khas bertajuk ‘DUN Kedah Bubar?’ pada jam 9 malam 22 Mei ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, bagi menjelaskan isu berkenaan kepada rakyat.

“Saya akan menjelaskan pendirian dalam hal ini termasuk beberapa pemimpin PR Kedah serta ADUN yang didakwa akan lompat parti. Biar mereka sendiri beri penjelasan supaya rakyat tahu kedudukan sebenar mengenai desas desus yang mengaitkan nama mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menafikan desas-desus itu menimbulkan kegelisahan rakyat, termasuk senario politik yang berlaku di negeri PR Pakatan Rakyat yang lain.

Azizan percaya, apa yang berlaku hanya perang psikologi Barisan Nasional (BN) yang mahu memecah-belahkan PR Kedah melalui strategi dan fitnah.

“Saya andaikan ini mainan BN sebab mereka banyak kali gagal menjatuhkan Kerajaan Negeri melalui demonstrasi, bantahan yang kononnya mewakili rakyat termasuk membangkitkan soal bidang kuasa Sultan, namun tidak berjaya,” katanya.

Berikutan itu, Azizan menasihatkan BN supaya belajar menjadi pembangkang yang baik di negeri ini, dan sekiranya tidak dapat menyesuaikan diri, pihaknya bersedia berkongsi pengalaman.

“Mulai sekarang, pemimpin UMNO kenalah belajar menjadi pembangkang. Jangan tersasul, mereka bukan pemerintah lagi. Jangan asyik buat kenyataan yang merapu, kelak rakyat pun muak nak dengar,” katanya.

“Saya percaya sebab rakyat menolak BN ialah kerana sudah muak dengan perangai sebenar mereka,” katanya.

PR Kedah menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN dengan Pas peroleh 16 kerusi, PKR (3) dan DAP satu kerusi manakala BN mempunyai 13 kerusi serta dua wakil Bebas. -SH



4 ADUN PR setia, tidak goyah ajakan pembangkang

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Kedah tetap setia dengan Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan tidak akan goyah dengan tawaran pihak pembangkang yang mahu menumbangkan gabungan itu.

ADUN Kota Darulaman, Lee Guan Aik berkata, dakwaan yang mengatakan beliau mahu lompat parti bersama tiga lagi ADUN yang juga Exco Kerajaan Negeri adalah tidak benar sambil menyifatkannya sebagai khabar angin yang karut.

“Saya berdiri teguh menyokong kerajaan PR Kedah yang diterajui Pas. Segala tohmahan yang mengatakan akan ada pilihan raya negeri dalam masa terdekat mungkin strategi terdesak pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.:

Guan Aik tidak menafikan kemungkinan khabar angin itu disebarkan oleh Barisan Nasional (BN) yang tidak senang melihat kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri yang semakin disenangi rakyat.

ADUN Bukit Selambau yang juga Exco Kerajaan Negeri, S Manikumar berkata, apa yang disebarkan itu hanyalah khabar angin yang digembar-gemburkan pihak tertentu yang mahu melihat PKR Kedah hancur.

“Saya seorang yang tetap pendirian dan tidak mudah lupa budi rakyat yang mengundi saya dalam pilihan raya kecil lalu. Kenapa pula saya mahu lompat parti, sedangkan saya selesa dengan pentadbiran sedia ada,” katanya.

Manikumar berkata, desas desus yang menyebut dirinya akan mengikut jejak ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu sudah lama didengarnya dan sudah lali dengan tohmahan itu.

“Saya hanya akan berundur daripada dunia politik sekiranya tidak lagi mendapat kepuasan dalam tugas sebagai ADUN atau Exco termasuk diperkotak-katikkan pihak tertentu, namun tidak sesekali meninggalkan PKR,” katanya.

Beliau menasihatkan pihak terbabit yang mahu mengucar-ngacirkan keadaan supaya berhenti segera dan menerima hakikat pemerintah di Kedah adalah di bawah PR.

ADUN Kulim, Lim Soo Nee akan tetap setia pada PKR dan pendiriannya tidak mudah goyah hanya disebabkan tawaran wang ringgit mahupun jawatan tinggi.

“Saya tidak akan sesekali khianati amanah rakyat yang mengundi saya. Saya ingin tegaskan saya masih setia dengan PR,” katanya. -SH


1 ulasan:

mas ayu berkata...

umno diserang mimpi disiang hari.