17 Mei 2010

Kemenangan Di Sibu Percepatkan PR Ke Putrajaya

Tembus kubu BN di Sarawak
DAP menang, majoriti 398 undi


DAP-PR berjaya membuat kejutan di PRK Sibu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi bahawa kemenangan memihak kepada DAP dengan majoriti 398 undi. DAP-PR meraih 18,845 undi, mengatasi SUPP-BN yang memperolehi 18,447 undi. Calon bebas pula mencatat 232 undi, sementara terdapat 208 undi rosak, dan 190 undi yang tidak dikembalikan.

Daripada 110 peti undi biasa, calon DAP, Richard Wong Ho Leng memenangi 18,775 undi, di samping calon BN, Robert Lau Hui Yew memperolehi 16,124 undi. Calon bebas, Narawi Haron hanya mendapat 196 undi. Dengan kata lain, DAP mendahului dengan majoriti 2,651 untuk undi biasa.

Bagaimanapun, undi pos yang dikira dan diumumkan pada saat akhir jelas menyebelahi BN, dengan BN 2,323 undi, DAP 70 undi, calon bebas 36 undi, 208 undi rosak dan 190 undi yang tidak dikembalikan.


"Tipu! Tipu! Tipu!"

Pengumuman rasmi SPR yang ditundakan sehingga kira-kira jam 11 malam, mencungkil keraguan dan ketidakpuasan penyokong DAP-Pakatan Rakyat. Tiga jam sebelum ini, pemimpin dan penyokong PR berada dalam keresahan. Desas-desus dikhabarkan bahawa undi mungkin dikira semula, dan pemimpin DAP-PR khuatir bahawa undi pos akan menggagalkan kemenangan DAP.

Lebih-lebih lagi, kadar pengundian dikatakan lebih tinggi daripada yang diumumkan sebelum ini, iaitu 70% berbanding 59.86%. Keadaan ini mengundang kesangsian, lalu sekumpulan penduduk Sibu berhimpun di luar Dewan Suarah, melaungkan "Tipu! Tipu! Tipu!"

Biarpun hujan turun dengan lebat, penduduk Sibu ini sanggup menunggu di luar bangunan, menyuarakan apa yang terpendam dalam hati mereka, "Kami mahu perubahan!"

Kemungkinan menang

Lebih awal lagi, DAP-PR dikhabarkan memenangi PRK Sibu dengan 665 undi majoriti. Pemimpin Pakatan Rakyat telah mengumumkan kemenangan bagi pihak DAP, sementara pemimpin BN dilaporkan telah meninggalkan dewan.

Pada jam 8 malam, DAP-Pakatan Rakyat dilaporkan semakin hampir untuk mencipta keajaiban dalam PRK Sibu apabila secara tidak rasmi mendahului SUPP-BN dengan 3,944 undi majoriti, setelah 103 daripada 110 peti undi dikira. Sungguhpun demikian, DAP-PR tetap berhati-hati memandangkan undi pos yang mencecah 2,809 undi masih belum dikira.

Terdapat 54,695 orang pengundi mendaftar, termasuk 2,537 pengundi pos di kawasan pengundian Sibu. 36,389 orang (atau 66.7%) daripadanya adalah pengundi Cina, sementara Iban dan Melanau membawa jumlah 12,050 (22.1%), 5,740 (10.5%) orang Melayu, 54 orang India (0.01%) dan kaum yang lain, 289 orang (0.53%).

PRU ke-12 pada tahun 2008 menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang berakhir dengan kemenangan kepada Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi), dengan majoriti 3,235 undi. Richard Wong Ho Leng dari DAP mendapat 15,903 undi dan Lim Chin Chuang dari PKR (812 undi). Kadar pengundian mencatat 67.77%, dengan 526 undi rosak.

Suasana pilihan raya

PRK yang ke-11 ini mencipta rekodnya, apabila ia mencatat kemenangan kelapan untuk PR selepas tsunami politik pada PRU ke-12. PRK Sibu merupakan ujian pertama kepada DAP secara khususnya selepas 8 Mac 2008, lantas memberi kemenangan yang menambah satu lagi kerusi untuk parti ini di Dewan Rakyat. Sebelum ini, PRK DUN Batang Ai, masih memihak kepada BN, membawa kesimpulan pada ketika itu bahawa Malaysia Timur tetap kubu BN.

Dengan kemenangan ini, PR akan bertahan pada 77 kerusi dalam parlimen.

PRK Sibu sebelum ini tidak "mengghairahkan" buat PR, khususnya selepas kekalahan PKR-PR di PRK Hulu Selangor yang berlangsung pada April lalu. Majoriti 3,235 undi pada PRU ke-12 menampakkan peluang yang tipis untuk DAP-PR.

Bagaimanapun, suasana PRK yang agak tenang sebelum ini, memacu pada kemuncaknya apabila perhimpunan DAP-PR di depan Hotel Paramount semalam berjaya menarik kehadiran kira-kira 15 ribu orang. Sungguhpun dibasahi hujan yang tidak kurang lebatnya, namun orang ramai tetap berada di situ untuk mengikuti ceramah politik pemimpin PR.

Sementara itu, aktiviti anjuran BN di Rejang Park kelihatan suram berbanding PR apabila hanya berjaya menarik kehadiran kira-kira seribu orang.

Antara isu yang dibangkitkan oleh PR termasuklah masalah tanah, kebanjiran, kemudahan infrastruktur yang serba kurang, dan isu penggunaan kalimah Islam. SUPP-BN pula, menyerang DAP dengan isu Negara Islam kerana kerjasamanya dengan PAS, pada masa yang sama menyeru agar pengundi mengenang budi bekas wakil rakyat, mendiang Robert Lau Hoi Chew. -MR

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya itu yg betul dan benar Putrajaya sudah dalam gemgaman Pakatan Rakyat

Tanpa Nama berkata...

pakatan rakyat akan hapus insuran kenderaan lebih 15 tahun jika kePutrajaya..BN hanya nak kaji???