26 Mei 2010

Anak Samy Vellu: UMNO Gunakan Pembunuhan Politik Pecahbelahkan MIC


S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mempertahankan tuduhannya kelmarin bahawa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC termasuk kini menyokong kempen puak anti-Presiden MIC.

“Apa yang saya perkatakan adalah isi hati orang bukan Melayu, dalam hal ini yang membabitkan ahli-ahli MIC dan masyarakat India... untuk itu, jika Tan Sri Muhyiddin mengatakan saya biadap, saya dilabelkan biadap, biarkan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Australia.

“Saya masih berpegang kepada apa yang saya cakap (kelmarin),” kata beliau ringkas tengah malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Vell Paari kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Presiden Umno menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari, anggota terbaru yang dilantik menyertai Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya.

Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Mengulas lanjut pendiriannya ketika dihubungi pagi ini, Vell Paari berkata, beliau tiada masalah untuk memohon maaf kepada kepimpinan Umno jika apa yang diperkatakan itu sesuatu yang salah dan dibuat secara sembarangan dan tanpa alasan munasabah.

“Saya seorang yang berpendirian untuk mengatakan sesuatu itu betul jika betul, dan jika salah tetap salah... oleh itu jika ada kesilapan, saya akan mengaku ia sebagai satu kesilapan, dan akan memohon maaf.

“Begitu juga dalam keadaan ini, jika apa yang dikatakan itu (tuduhan ke atas Umno) adalah salah, adalah kesilapan, saya sanggup memohon maaf. Tetapi kita kena tahu apa yang sebenarnya berlaku sepanjang dua tahun lalu?” kata beliau sambil menambah, wujud banyak perkara yang menyinggung dan menguris perasaan ahli-ahli MIC dan masyarakat India.

“Adakalanya perkara-perkara itu menyebabkan wujud satu persepsi MIC tidak berbuat apa-apa sehingga mereka mendakwa kepimpinan tidak buat kerja,” katanya.

Sambil mendakwa reaksi Umno dan pemimpin parti itu sejak dua hari lalu sebagai sesuatu yang memang telah dijangkakan, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings ini, sayap pelaburan MIC itu menambah, “mereka hanya tersinggung dengan satu perkataan yang saya gunakan iaitu Umno menjadi punca kepada masalah dalaman MIC.”

“Saya minta mereka, tolonglah... mereka perlu meletakkan diri mereka dalam kasut MIC dan melihat isu yang berlaku dari perspektif MIC,” katanya.

“Tolong lihat pada keperitan dan keseksaan yang masyarakat India lalui apabila kerajaan melaksanakan sesetengah dasar yang tidak adil... saya lihat pada perkara-perkara ini yang tidak menfaatkan masyarakat India... jadi saya menyampaikan apa yang terpendam dalam hati mereka,” katanya.

Melabelkan orang India pendatang, pengemis.... bukankah ini semua menyinggung perasaan mereka? Adakah mereka datang ke sini (Malaysia) sebagai pengemis?

“Jangan pandang sepi undi masyarakat India, yang mula kembali kepada BN,” katanya lagi.

“Jika perkara ini tidak diambil kira, jangan salahkan kami apabila mereka mengundi pihak lain (dalam pilihan raya),” kata beliau.

“Saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan dalam politik,” katanya menjawab dakwaan bahawa beliau adalah pihak yang ada kepentingan dalam parti dan sebab itu membuat tuduhan sedemikian.

Vell Paari menambah, sepanjang dua tahun lalu “banyak pihak luar telah dibenarkan menggunakan nama Umno dan Perdana Menteri untuk menyerang MIC dan kepimpinannya.

“Laporan-laporan media khususnya media online dengan jelas menggunakan nama Umno sejak dua tahun lalu, mereka menyerang kami (MIC)... mengapa Umno tidak muncul dengan menafikan dakwaan-dakwaan sedemikian?

“Umno diam apabila wujud laporan-laporan macam itu, menyebabkan orang ramai membuat persepsi bahawa Umno di belakang mahu menjatuhkan ayah saya (Samy Vellu) dari MIC.

“Mengapa sekarang apabila saya mengatakan Umno digunakan (oleh kumpulan Mugilan), mereka marah dengan saya
... oleh itu, sekali lagi saya hendak mengatakan bahawa jika dakwaan saya itu tidak betul, saya sedia memohon maaf.

“Sekarang Tan Sri Muhyiddin sudah menafikan Umno tidak terlibat, bagus... oleh itu, apa yang saya mahukan ialah mereka telah menafikan perkara ini dari dulu lagi, yang ia tidak terlibat sebagaimana dilaporkan oleh media dan orang-orang tertentu sebelum ini,” katanya.

Mengenai pandangan bahawa beliau menyerang Umno kerana merupakan anak kepada Presiden MIC, Vell Paari berpendapat, “hanya saya, sebagai seorang anak (lelaki), faham sumbangan dan cabaran dilalui oleh ayah saya (Samy Vellu) dalam memimpin MIC.”

“Apakah saya seorang anak tidak boleh mempertahankan ayah saya? Apabila Tun Dr. Mahathir diserang, siapa yang mempertahankan beliau, anak beliau (Datuk) Mukhriz, siapa yang keluar parti (Umno) bersama Dr. Mahathir? Anak dan isteri beliau.

“Jadi, hanya seorang anak yang berada dekat dengan mereka (ayah) dan faham perjalanan politik ayah mereka,” katanya lagi.

Malah Vell Paari juga menyenaraikan alasan keperitan dilalui MIC apabila Umno dikatakan mahu meletakkan V. Mugilan yang dipecat minggu lalu sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor berbanding Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang disyorkan oleh MIC.

Selain itu katanya, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. Subramaniam yang juga Naib Presiden terpaksa melalui situasi sunggguh ‘sukar’ apabila kerajaan memutuskan mengubah sistem pengambilan subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“MIC, Palanivel dan Subramaniam... semua melalui situasi yang pahit, tetapi mereka tidak faham kedudukan kami,
” katanya.

Dasar baru mengehadkan subjek peperiksaan SPM didakwa menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat India. -TMI

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul,memang UMNO yang tubuh makhal sakhti masa pilihanraya bagan pinang

Tanpa Nama berkata...

UMNO yang menentukan semua calon BN dimalaysia sekarang, parti lain hanya boneka

Martoiriat berkata...

Yes.. Umnolah yg menentukan calun2 dalam pilihanraya kecil, sama ada dari MIC atau MCA. Contohnya mudah di Prk Hulu Selangor. Presiden MIC hanya pilih calun2.. tapi yg tentukan ialah Umno. Kalau tak percaya tanya Samy Vellu sendiri..

Tanpa Nama berkata...

samy vellu dah tak larat jadi kuda membawa UMNO yang berat dengan wang rakyat yang diseleweng