29 Mac 2010

Tidak dakwa Chua, peguam negara amal "double standard"

Peguam Negara Abdul Gani Patail dituduh bersikap "double standard" berikutan keputusannya tidak mendakwa presiden MCA yang baru dilantik, Dr Chua Soi Lek kerana perlakuan seks melampau.

"Tuduhan salah laku Chua di bawah Seksyen 337B Kanun Keseksaan, adalah peruntukan undang-undang sama yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kerana dituduh meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan," kata peguam Sankara Nair.

"Meskipun beberapa laporan polis telah dibuat (tentang kes Chua ini) dan terdapat bukti-bukti yang sah, peguam negara enggan mendakwa Chua," kata Sankara yang mewakili Anwar dalam kes pertuduhan liwat itu.

Dalam satu kenyataannya, Sankara berkata, "ini merupakan satu bentuk diskriminasi tahap tertinggi dan jelas Gani bersikap berat sebelah."

Katanya, terdapat bukti dalam bentuk video, yang dimiliki orang ramai, menunjukkan bekas menteri kesihatan itu terlibat dalam perlakuan seks "oral" dengan seorang wanita.

Beliau (Chua) telah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang telah pun dewasa.

Sankara juga berkata, Chua mengakui secara terbuka bahawa orang dalam video itu adalah beliau sendiri dan kemudian meletakkan jawatan sebagai menteri.

Beliau berkata, seks "oral" secara sukarela atau tidak ada beza dengan perlakuan liwat dan oleh itu beliau menggesa peguam negara menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.

Semalam, Chua memenangi kerusi presiden MCA dengan mencatat 901 undi.

Beliau menewaskan bekas presiden Ong Ka Ting yang meraih 833 undi dan penyadang presiden Ong Tee Keat dengan 578 undi. -FMT

Tiada ulasan: