17 Mac 2010

Skandal Scorpene: Keengganan Kerajaan Dedahkan Kertas Putih Diselar

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar tindakan kerajaan yang enggan membentangkan kertas putih berhubung skandal kapal selam negara KD Tuanku Abd. Rahman.

Beliau berkata kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kononnya tiada keperluan untuk mengeluarkan kertas putih mengenai isu berkenaan.

Shamsul kesal kerana kerajaan Umno-BN yang tidak memberi penjelasan penuh kepada rakyat sebaliknya cuma mendakwa kapal selam itu hanya mengalami masalah teknikal.

“Saya rasa mudah sebenarnya, apa ruginya kepada negara sekiranya kertas putih disediakan untuk menjawap isu masalah kapal selam ini yang dibeli dengan menggunakan wang rakyat.

“Kerajaan tidak akan menanggung sebarang rugi sekiranya kalau melakukan siasatan menyeluruh dengan kaedah kertas putih dan saya percaya cadangan yang diberikan itu menunjukkan bahawa ahli-ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat memandang serius terhadap masalah yang dihadapi.”

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berpendirian tiada keperluan untuk mendapatkan khidmat penilai bebas antarabangsa bagi menjamin keselamatan kapal selam negara.

Sedangkan, beliau mengakui wujud masalah teknikal terhadap kapal selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman yang baru dibeli tetapi sudah dibaiki.

“Kerana pertamanya ianya bukan sekadar permasalahan teknikal tetapi ia melibatkan dua keadaan, satunya berkaitan dengan sistem pertahanan negara yang mana merupakan satu perkara yang cukup penting dalam memastikan kedaulatan negara.

“Keduanya sudah tentulah melibatkan pelaburan wang rakyat yang mencecah setengah bilion ringgit dengan pelbagai masalah dari segi komisyen dan tentulah melibatkan wang rakyat yang jauh begitu besar jumlahnya.”

Kerosakan mekanikal itu dikesan pada 17 Januari lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

Panglima Tentera Laut, Jen. Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.


Scorpene: Penilai Bebas Antarabangsa Perlu

Kenyataan Menteri Pertahanan bahawa negara tidak memerlukan penilai bebas antarabangsa bagi memastikan perjalanan dan ujian yang dilakukan terhadap kapal selam tersebut mengikut piawaian yang betul disangkal oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan pandangan penilai bebas antarabangsa itu amat perlu.

"Penilai ini sangat perlu kerana mereka lebih dahulu menggunakan kapal selam, jika kita menggunakan penilai dalam negeri pengetahuan kepakaran dalam kapal selam terlalu sedikit, sebab itu perlunya penilai antarabangsa.

"Kos proses pembaikan yang tidak sama antara RM270 juta dengan RM600 juta dan kita lihat kepada jawapan yang diberikan Menteri terbabit menyata RM270 juta adalah unjuran manakala RM600 juta adalah had maksimum harga tersebut, jadi itu perlunya penilai antarabangsa," kata Mahfuz.

Perbahasan yang tertumpu kepada masalah teknikal yang dihadapi kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman yang tidak boleh menyelam di bawah air disifatkan kegagalan Kerajaan dalam memastikan keupayaan sebenar kapal selam tersebut sebelum sebarang urusan dilakukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tiada keperluan untuk kerajaan mendapatkan khidmat penilai bebas antarabangsa bagi menjamin keselamatan kapal selam negara.

Katanya, masalah teknikal yang dialami kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman telah diatasi dan ujian keselamatan telah dilaksanakan.Mahfuz menyifatkan jawapan yang diberikan Menteri terbabit bahawa kos bagi menyelenggara kenderaan lama adalah lebih tinggi berbanding dengan kenderaan baru adalah tidak masuk akal.

"Kapal selam yang kita beli itu adalah yang baru mengapa perlu kos yang tinggi jadi sebab itu perlu penilaian antarabangsa bagi memastikan nilai tersebut adalah munasabah

"Proses penilai harus di lihat bagaimana barang yang dibekal mengikut harga yang sepatutnya dan kalau kos terlalu tinggi siasatan perlu dilakukan bagi mendapat jawapan yang sebenar tanpa ada sebarang penyelewengan. Apa yang penting perlu penyiasatan bebas dalam hal tersebut," tegas beliau.

Sebelum itu Ahmad Zahid memberitahu anggaran kos penyelenggaraan kedua-dua kapal selam tersebut berjumlah RM270 juta setahun tetapi tidak menyatakan jumlah kos pembaikan sebenar sebaliknya menyifatkannya sebagai jumlah kecil.

Namun Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata jumlah kontrak yang ditawarkan kerajaan kepada kontraktor adalah RM600 juta.

Menjawab persoalan ini, Ahmad Zahid berkata ia merupakan jumlah maksimun di mana kemungkinan kos anggaran yang dibuat kerajaan akan meningkat bersesuaian dengan usia kapal itu, kerajaan juga masih belum melantik kontraktor berkenaan kerana ia masih diperingkat rundingan.

Selain itu Ahmad Zahid menyatakan kerajaan sudah mempunyai perjanjian penyelenggaraan antara pembekal dan tidak mempunyai masalah jika timbul masalah teknikal terhadap kapal tersebut.

"Kita bersetuju dengan kenyataan tersebut tetapi kita perlu menilai apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut adakan ia menguntungkan kita atau tidak, disinilah perlunya kepakaran dan penilai bebas dalam memastikan kita tidak tertipu dengan perjanjian tersebut," katanya lagi. -SK




Tiada ulasan: