17 Mac 2010

BN Bawa Agenda Lapuk, PR Lebih Wibawa

Ketika Ahli Parlimen Bagan Serai, Nibong Tebal dan Bayan Baru, belot meninggalkan amanah rakyat, beliau nekad menyertai perjuangan rakyat dengan menyertai KEADILAN. Datuk Kalakau Untol bekas Timbalan Menteri Buroh boleh dilabelkan sebagai tanda aras peralihan rakyat Sabah yang sekian lama menyokong Barisan Nasional. Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berpeluang mewawancara beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang tekadnya bersama Pakatan Rakyat dan alasan mengapa rakyat Sabah harus mengubah pilihan politik mereka.

S:Apakah reaksi rakyat Sabah mengenai Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri?

Apabila Perdana Menteri mengutarakan Gagasan 1Malaysia, rakyat Sabah melihat ia agenda yang lapuk sebab perkara ini telah berlaku lebih awal di Sabah. Mereka boleh duduk dalam satu meja sama ada di khalayak atau di rumah.

Kedua, di setiap keluarga, perkahwinan campur adalah satu perkara biasa di Sabah. Macam saya, keluarga saya mempunyai 13 adik-beradik, separuh daripada mereka berkahwin dengan orang Islam. Saya kira adalah satu acuan masyarakat kepercayaan, yang kita boleh terima kepelbagaian kepercayaan, budaya dan sebagainya.

Mengutarakan 1Malaysia ialah satu kelapukan agenda, lebih daripada itu, ia diisi oleh satu kesongsangan pengisian di mana satu set peraturan di semenanjung, satu set peraturan di Sabah.

Tidak ada realiti yang dibawa Najib sebab pengisian itu mempunyai kesongsangan. Saya rasa ia gagal.

S: Sabah sebuah negeri yang amat kaya tetapi selepas lebih empat dekad, kenapa Sabah masih lagi berada pada tahap antara negeri yang termiskin dalam Gagasan Malaysia?

Pertama ialah, apa yang direncanakan lebih awal, tidak dijalankan dan didukung Kerajaan Persekutuan sepenuhnya. Sebab itu rakyat Sabah kini melihat dan berharap perjanjian asal penubuhan negara ini disemak semula. Konvensyen Pakatan Rakyat yang terbaru pada tahun lepas antara lain dalam resolusinya ialah, bersetuju untuk menyemak semula perjanjian penubuhan Malaysia dan ini hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, menubuhkan kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

S: Kenapa Datuk menekan bahawa perlunya Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Kerajaan Pusat?

Cuba lihat antara perkara yang begitu parah dan bermasalah ialah, kehadiran pendatang tanpa izin (PATI), di mana bilangannya sama ramai dengan penduduk asal di Sabah. Bagaimana boleh perkara ini berlarutan selamanya sedangkan rakyat Sabah mengharapkan perkara ini diselesaikan.

Seperti yang dilaporkan dalam Suara Keadilan, 70,000 rakyat Rohingya diberi kerakyatan dan keistimewaan dan hak yang sama di negeri ini. Jika ini berlaku, bagaimana kami mengharapkan masalah PATI ini dapat diselesaikan.

Hanya dengan penubuhan Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan masalah itu. Perkara kerakyatan ini berlaku di Amerika, dan bahagian lain di dunia. Tetapi kita pergi kepada prosedur yang betul, bukan tangkap muat untuk mengekalkan kedudukan dalam koridor kuasa. Ini wajar diperbetulkan demi masa depan generasi muda di negara kita.

S: Apakah itu sebabnya menyertai KEADILAN dan aspek lain yang menarik perhatian Datuk?

Satu persetujuan dalam resolusi mengkaji dasar penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, Ingat apabila Allahyarham Tun Donald Stephen mengutarakan perkara ini bersama pimpinan beliau pada tahun 1965.Apa yang terjadi? Beliau dipecat daripada Kerajaan Persekutuan. Tun Datuk Mustapha Harun pada 1970an mengutarakan perkara ini, meminta supaya dikaji perjanjian sama ada rakyat Sabah mendapat keistimewaan sepertimana yang dijanjikan dalam perjanjian asal. Apa yang terjadi? Beliau juga dipecat daripada kerajaan.

Kemudian apabila generasi muda mahu menimbulkan perkara 20 perjanjian ini, yang selalu dijawab, jangan sentuh perkara ini, sensitif. Tetapi itulah dasar BN.

Pakatan Rakyat tahun lepas dalam konvensyennya telah bersetuju mengkaji perkara ini dan memberikan autonomi di negeri ini seperti yang dijanjikan. Inilah perkara yang akan saya tawarkan untuk menjelajah di seluruh negeri bagi merakyatkan dasar yang dibuat Pakatan Rakyat. Saya berharap ada penerimaan, ada keterbukaan untuk mengangkat agenda ini.

S: Adakah itu bermaksud kerajaan BN selama ini bersikap keras dan hanya mengeksploitasi kekayaan Negeri Sabah?

Saya rasa ya. Saya tidak akan menuduh secara melulu tetapi ruang perkara itu perlu diperbesarkan. Ruang yang terbaik adalah dalam platform PR kerana dasarnya itu sanggup membincangkan perjanjian asal.
S: Apakah benar dakwaan dan harapan Najib mengatakan bahawa Sabah ialah 'simpanan tetap' kepada BN. Sejauh mana kebenarannya?

Saya rasa Najib tidak akan terkejut apabila keputusan rakyat nanti dan dia harus lihat antara negeri di seluruh Malaysia yang kerap menukar kerajaan ialah Sabah-empat kali.

Tanggapan bahawa fixed deposit ini tanggapan beliau. Dulu Parti Bersatu Sabah (PBS) hanya melawan kerajaan negeri dan seluruh negara datang membantu, juga BN tewas. Sekarang, hampir separuh negeri di semenanjung menerima Pakatan Rakyat. Saya rasa rakyat Sabah dahulu dihambat oleh sindrom kesetiaan membuta dan membisu, tetapi sekarang keadaannya sudah berubah.

S: Apa pandangan Datuk setelah kemenangan besar Pakatan Rakyat di Semenanjung, kini BN seolah-olah mahu menumpukan perhatian di Sabah dan Sarawak?

Rakyat di Sabah telah membuat keputusan, pada pilihan raya akan datang mereka akan mengundi Pakatan Rakyat kerana mereka melihat dasar Pakatan Rakyat yang mahu melihat semula perjanjian asal dan pemberian autonomi kepada Sabah dan Sarawak.

S: Apakah kesan jika melihat PM yang kerap kali datang ke Sabah dan Sarawak?

Kita telah menunggu selama 4 atau lima tahun, tetapi dia tidak melakukan apa pun. Lihat, ia mengambil masa 46 tahun untuk Kerajaan Pusat bersetuju mengatakan 16 September ialah penubuhan negara Malaysia.

Saya sendiri apabila menganjurkan sambutan hari Malaysia, dikerumuni helikopter polis di mana-mana, di rumah saya. Mereka tidak memberikan permit. Datuk Awang Adek mengatakan Sabah masuk Malaysia. Itu kenyataan yang salah. Sabah, Sarawak dan Tanah Besar Semenanjung sama bersetuju menubuh Malaysia.

Inilah yang harus dirakyatkan, merakyatkan fakta sejarah supaya generasi muda Malaysia benar-benar memahami budaya, sejarah dan sosial kontrak masa depan negara.

S: Apakah harapan yang Datuk letakkan di atas bahu Pakatan Rakyat, sama ada untuk menubuhkan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Apa pula perubahan besar sejurus selepas penubuhan kerajaan baru?

Saya merasakan pada PRU-13 ini, Pakatan Rakyat mampu merubah keadaan, menuju ke sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

Pertama, menstrukturkan semula 'separation of power', kedua, benar-benar melahirkan dasar yang melihat kepada semua kaum bukan hanya pada kaum-kaum tertentu yang mewujudkan satu lakaran dasar yang adil.

Kita mahu peguam prihatin mengenai keadilan, doktor prihatin tentang kesihatan awam. Kerasukan di kalangan pimpinan mesti dihapuskan. Kita mahu menarik pelabur, sistem kehakiman kita perlu diletak pada tahap yang lebih baik. Saya rasa Pakatan Rakyat ialah landasan yang betul.

S: Apakah masa depan BN sebagai tonggak kuasa di negara ini?

Saya melihat BN ini harimau yang sedang nazak dan dia akan bertindak semacam bomba, ada api, ada air, dia padam. Saya yakin pada PRU-13 nanti, banyak parti komponen akan keluar untuk bersama Pakatan Rakyat ke arah penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru.-SK

Tiada ulasan: