1 Feb 2010

Raub Ghani Terlepas Dari Tindakan Hina Mahkamah

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani (gambar), yang membuat laporan polis terhadap pakar patologi Thailand berhubung pendedahan laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock tidak akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu setelah menolak permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai berkenaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip Rajanasunand atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik bekas setiausaha politik itu, kepada akhbar tabloid tempatan, Suara Keadilan.

"Dalam kes ini, Raub telah pun membuat laporan polis dan siasatan dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan itu, bagaimanapun kuasa untuk mendakwa adalah terletak pada Peguam Negara dan pihak Peguam Negara telah berpuas hati tiada kes terhadap Dr Pornthip," kata koroner.

Koroner Azmil berkata, beliau turut mengambil kira hujahan panjang lebar yang diberikan peguam Karpal Singh, bagi Meng Kee serta peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM pada 15 dan 22 Januari lalu, sebelum membuat keputusan itu. -Bernama

Tiada ulasan: