18 Jan 2010

Masih Cauviniskah DAP?

Meskipun setiausaha agung DAP terus berusaha mempromosikan agar ia lebih kelihatan sebagai parti pelbagai kaum, perwakilan kalangan Melayu jelas tidak ketara ketika berlangsungnya konvensyen kebangsaan hari ini.

Perwakilan kaum Melayu nampak ‘tenggelam’ dalam lautan lebih 1,200 orang yang menghadiri konvensyen sehari di Syuen Hotel di sini.

Setiausaha agung Lim Guan Eng mengakui hakikat ini dengan menjelaskan bukan tugas mudah bagi DAP untuk menarik orang Melayu menyertai parti itu.

“Kami masih berusaha untuk menyangkal propaganda negatif terhadap kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadi kami memerlukan lebih banyak masa (dalam mencapai matlamat ini),” katanya.

“Saya juga berpendapat bahawa ia persoalan tentang pilihan... ada parti-parti lain yang kemungkinan menjadi tarikan orang Melayu,” tambah Lim.

Menurut setiausaha pengelola kebangsaan DAP Teresa Kok, parti itu hanya mempunyai lebih 1,000 ahli kalangan Melayu iaitu satu peratus daripada keseluruhan anggota di seluruh negara.

DAP merasakan kekurangan ini selepas mencapai prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya Mac 2008 khususnya di negeri Perak.

Banyak cawangan diketuai orang Melayu dikatakan mula ditubuhkan di negeri itu.

Bagaimanapun Lim menjelaskan DAP sedang merekodkan kemajuan dalam mendaftar lebih ramai ahli daripada kalangan orang Melayu, situasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Kami mencatatkan kemajuan tetapi bukan mudah apabila anda mempunyai, kemungkinan, apa yang dilihat sebagai pilihan-pilihan menarik seperti parti PKR dan PAS.

“Lebih-lebih lagi kami tidak mahu bersaing dengan sekutu kami sendiri,” katanya.

Lim menambah apa yang lebih penting adalah mempunyai lebih ramai ahli dalam Pakatan Rakyat secara keseluruhan.

“Kami adalah dalam satu keluarga, jadi ia bukan satu masalah. Kami tidak mahu melihat pada diskriminasi tetapi kami mahu melihat pada manfaat (pada akhirnya).

“Apa yang penting adalah prinsip kita dan dasar kami dan sama ada ia bermanfaat kepada semua,” katanya.

Malah DAP juga pernah dilabelkan sebagai parti masyarakat Cina yang didominasi kaum lelaki semata-mata, imej yang cuba dikikis oleh parti itu khususnya selepas keputusan pilihan raya umum 2008.

Dalam ucapan pembukaannya pagi tadi Lim mengetengahkan konsep “Malaysia Sederhana”, mengajak semua komponen dalam Pakatan Rakyat memperjuangkan asas kesederhanaan, seimbang dan amalkan toleransi.

Di sebalik usaha DAP ini, rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS yang sebelum ini dianggap sebagai parti ekstremis, kini mula mengamalkan keterbukaan dan kesederhanaan, mengatasi DAP pula.

Minggu lalu PAS telah meluluskan draf perlembagaan untuk menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS menjadi Dewan Perhimpunan Penyokong PAS, yang kini mempunyai 20,000 ahli bukan Islam.

Dewan ini akan dilancarkan April ini. -MI

Ulasan GB

Menyentuh tentang penyertaan orang Melayu di dalam DAP, mengingatkan saya tentang satu majlis forum anjuran mahasiswa di sebuah IPT kira-kira hampir tiga dekad yang lalu.

Saya diberikan penghormatan untuk menjadi seorang pengerusi kepada majlis berkenaan. Panelisnya Mohd. Sabu, semasa itu seorang aktivis Pemuda PAS dengan seorang lagi pemimpin DAP berbangsa Melayu dari Teluk Intan, Fadzlan Yahya nmanya, yang pada ketika itu beliau ialah ADUN Pasir Berdamar.

GB terlupa tentang isu apa yang dibincangkan pada forum berkenaan, tetapi yang nyata, sewaktu GB memperkenalkan YB Fadzlan kepada majlis, beliau telah diboo oleh sebilangan mahasiswa. Fadzlan tidak lansung menampakkan wajah resah atau cemas. Beliau amat menyedari tentang sikap "orang Melayu" ketika itu yang skeptikal terhadap parti DAP, yang rata-rata berpersepsi bahawa ia adalah parti cauvinis Cina.

Sewaktu Fadzlan sedang menyampaikan hujjah, Mohd Sabu menulis sekeping kertas kepada saya, "Fadzlan Sosialis!".

Saya hanya mampu senyum dan semasa soal-jawab, mahasiswa/i lebih suka mengajukan soalan kepada Mohd Sabu. Sebagai pengurusi yang sepatutnya bertindak "impartial", saya membuka ruang kepada Fadzlan untuk memberikan pendapatnya walaupun tiada soalan yang dikemukakan kepadanya. Saya terpaksa mencipta soalan dan bertanya kepada Fadzlan.

"Mengapa Fadzlan memilih DAP sebagai platform memperjuangkan hak rakyat?"

Fadzlan dengan tenang menyatakan bahawa beliau lebih suka berpolitik dengan kaum asing. Apatah lagi kawasannya didominasi oleh lebih 90% kaum Cina. Kesediaan DAP menerimanya sebagai wakil untuk kawasannya membuktikan persepsi bahawa DAP sebagai parti cauvinis Cina tidak tepat.

Masa berlalu, dan kini, DAP sebagai sekutu di dalam Pakatan Rakyat telah lebih diterima oleh rakyat berbangsa Melayu. Kehadiran pemimpin-pmimpin DAP di dalam setiap kali pilihanraya kcil yang ditandingi oleh PAS membuktikan bahawa DAP mula mengorak langkah untuk menjadi mereka sebuah parti yang lebih diterima oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

PAS dan PKR menerima DAP dengan hati terbuka, dan yang pasti ialah "keikhlasan" di dalam perjuangan tiga parti berkenaan menjadikan PR sebagai satu kuasa baru yang bakal menumbangkan Barisan Nasional yang hampir pupus itu.

UMNO sedaya upaya menghasut masyarakat Melayu supaya menolak DAP. Tetapi usaha UMNO tidak banyak mendatangkan kejayaan apabila UMNO yang perjuangannya berteraskan kepada perkauman Melayu sudah berada di pinggir jurang kemusnahan.

Islam mengajar "Melayu" supaya tidak menjadikan "kebencian kepada sesuatu kumpulan menyebabkan kita tidak berlaku adil. Kita disuruh berlaku adil kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa."

Dengan sebab itu juga, Mursyidul Am PAS boleh berucap di rostrum DAP. Lim Guan Eng boleh menyumbangkan sebuah LCD besar kepada PAS untuk PRK Kuala Terengganu tahun lalu. Itu semua menyakitkan lagi hati UMNO yang memang berpenyakit.

1Malaysia - UMNO BN berslogan. Pakatan Rakyat yang melaksanakannya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya orang Melayu berada dalam dilema berikutan dengan dakyah yang dimainkan oleh UBN yang meniupkan api perkauman tu!

Tanpa Nama berkata...

hebat juga akhi GB ni.
orang lama rupanya.