30 Jan 2010

Khalid Berjaya Buktikan Hassan Ali Bersalah

Khalid: Jawatan tak penting.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad belum membuat keputusan sama ada akan merayu terhadap keputusan Jawatan Kuasa Disiplin PAS yang mengantung jawatannya dalam parti selama 6 bulan.

Antara jawatan itu, termasuk YDP kawasan Shah Alam dan ahli Lujnah Politik PAS Pusat.

Khalid yang menulis di blognya berkata dia sememangnya tidak pernah mementingkan jawatan.

“Ada atau tidak, sama sahaja bagi saya. Yang penting, perjuangan perlu diteruskan. Kalau bukan sebagai seorang 'Jeneral', maka sebagai seorang askar biasa. Kalau Khalid Al-Walid suatu ketika dahulu pun sanggup, mengapa tidak Khalid Samad?” katanya.

Khalid berkata dia menerima penggantungan itu dengan hati terbuka.

Katanya lagi, ramai yang tidak menyedari pada hakikatnya matlamatnya bagi mendedahkan kepincangan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali telah tercapai.

“Tindakan Dato PJ (Pesuruhjaya PAS) selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar salah dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejas PR Selangor. Beliau tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi,” katanya.


Khalid juga berikrar dasar perkukuhkan Pakatan Rakyat akan dipertahankan selagi mana PAS bersama gabungan itu.

Beliau juga mengingatkan bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin hampir dan menyeru semua supaya bersatu mengasak Umno sehingga mereka tersungkur. -malaysiakini


Keputusan JK Displin

Jawatan Kuasa Disiplin PAS telah mengambil keputusan untuk mengantung jawatan-jawatan dalam parti yang sedang saya sandang selama 6 bulan. Jawatan berkenaan adalah sebagai YDP kawasan Shah Alam dan sebagai ahli Lujnah Politik PAS Pusat. Sebenarnya, saya sememangnya tidak pernah mementingkan jawatan. Ada atau tidak, sama sahaja bagi saya. Yang penting, perjuangan perlu diteruskan. Kalau bukan sebagai seorang 'Jeneral', maka sebagai seorang askar biasa. Kalau Khalid Al-Walid suatu ketika dahulu pun sanggup, mengapa tidak Khalid Samad?

Ada juga yang bertanya tidakkah saya merasa kecewa? Mengapa pula saya perlu merasa kecewa? Keputusan sudah dibuat dan insyaAllah saya terima dengan hati terbuka. Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minima saya telah pun tercapai. Tindakan Dato PJ selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar SALAH dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejas PR Selangor. Beliau tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi. Ahli BPPNS harap ambil perhatian tentang perkara ini.

Ya betul, jawatan saya digantung tetapi itu tidak sepenting mendapat kata dua berhubung sikap dan tindakan Dato PJ selama ini. Jawatan digantung 6 bulan. Dasar perkukuhkan PR akan dipertahankan selagi mana PAS bersama PR.

Harap semua faham, saya dikenakan tindakan kerana cara saya menegur Dato PJ dianggap memudaratkan PAS. Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil. Budaya wala' terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali berhadapan perbalahan secara terbuka. Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena. Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi. Kalau terus dengan cara lamanya, saya tidak akan menyanggahnya lagi. Saya sendiri yang akan buat Laporan kepada JK Disiplin. Seperti yang dibuatnya terhadap saya dalam kes ini. Itu caranya dan kita lihat pula sejauhmana kesungguhan amaran yang diberi.

Apabila menentukan sesuatu tindakan, saya telah diajar melakukan 'risk analisis' terlebih dahulu. Risikonya diketahui dan saya mengambil risiko tersebut kerana ada peluang yang baik untuk mencapai hasil. Seperti yang dijangka saya diadu kepada JK disiplin. Saya tidak mengadunya kepada JK Disiplin, pihak lain yang berbuat demikian. Risiko diambil dengan penuh sedar. Kesan datang melanda kita terima kerana memang telah dijangka. Namun hasilnya turut diraih.

PAS sememangnya mementingkan disiplin ahli, ketaatan kepada pemimpin, thiqah dan wala'. Saya tahu semua itu, tetapi semua telah saya usahakan. Bukan semakin baik, semakin parah. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali melakukan apa yang pasti sukar diterima parti. Walaupun berasas tetapi akan dilihat melanggar disiplin. Ketua pemanah meninggalkan Bukit Uhud. Yang membantah dan menghalang dianggap melanggar disiplin jemaah kerana membantah dengan cara yang kasar.

Ada pula yang bertanya, adakah saya akan merayu? Saya masih belum lagi memutuskannya. Mungkin tidak. Seperti Saidatina Aisyah dalam kisah fitnah terhadapnya. Memadai dengan saya meyakini bahawa saya bertindak demi PAS dan PR. Lagipun, seperti yang telah saya nyatakan, jawatan itu tidak penting. Hendak merayu buat apa? PRU 13 semakin hampir. Bersama kita terus asak UMNO sehingga mereka tersungkur. Itu prioriti kita yang perlu dilakukan tanpa adanya kenyataan-kenyataan yang akhirnya akan menyulitkan diri kita sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Ulasan GB

Tahniah YB Khalid.

Sikap Khalid Al-Walid dijadikan contoh. Memang relevan. Jawatan tidak penting bagi seorang pejuang tulen.

Tak macam pengerusi J/K Disiplin itu sendiri, baru dapat jawatan dah jadi "kaduk naik junjung", kata seorang pimpinan PAS. Dah mula tunjuk kuasa dan buat kenyataan-kenyataan macam PAS dia seorang yang punya.

Walaupun keputusan jelas tidak adil, namun sekurang-kurangnya Khalid berjaya dedahkan kesalahan Hassan Ali.

Bala akan menimpa PAS tak lama lagi akibat daripada tindakan yang zalim dan tidak adil di dalam jemaah. Allah pasti akan membersihkan jemaahNya. Allah pasti sayang kepada mereka yang berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan. Allah telah mewajibkan diriNya membantu para pembantu agamaNya.

Tetapi apabila bala menimpa, ia merata. Ia tidak hanya ditimpakan kepada pesalah. Itu sebab perjuangan mesti diteruskan, terutama membersihkan parti dari mereka yang oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz sifatkan "pemimpin bermasalah dalam parti".



8 ulasan:

Jebon berkata...

Alhamdulillah...

Inilah contoh maklumbalas dari seorang PEJUANG tulen.

Mari kita sama-sama tunggu maklumbalas dari PETUALANG tulen pulak.

Unknown berkata...

Kpd: _Buloh A/S

Maaf, komen anda tidak dpt disiarkan kerana anda menuduh saya mendoakan bala.

Saya tidak mendoakan bala. Saya menyatakan "Bala akan menimpa PAS tak lama lagi akibat daripada tindakan yang zalim dan tidak adil di dalam jemaah."

Itu adalah sunnatullah.

Ampang berkata...

pada ana, jgn lah kata sebegitu..setiap kata2 adalah doa..walaupun sekadar "menyatakan"

doakan lah perubahan yang positif, bkn meminta bala yang menggambarkan seolah2 memohon kehancuran jemaah, walau mereka melakukan kesalahan.

kita doakan mereka nampak kebenaran, dan tak ulang kesilapan. terima teguran dgn terbuka bro...

Unknown berkata...

Ampang tak faham apa itu sunnatullah....

Sunnatullah ialah apa yg ditetapkan oleh Allah. Hukum sebab-akibat.

Sebab tidak ada keadilan, akibatnya turun bala Allah.

Itu hukum universal, peraturan alam, dalam ugama lain disebut karma, dalam Islam disebut sunnatullah.

Kalau tak nak bala, maka jalankan keadilan.

ismadi berkata...

alhamdulillah.tahniah pejuang tulen yang berkata benar tiada jawatan bukan noktah perjuangan.Allahu Akbar!Allahu Akbar!Allahu Akbar!

Martoiriat berkata...

Salam GB..
Syabas MP khalid Samad. Memang
jawatan dan Pangkat tidak penting.
Yang penting biar kita mempunyai
semangat yg murni dan prinsip dlm
perjuangan ini. Jika kita ada jawatan pun dgn tidak ada prinsip
dan semangat juang, segala2nya terkulai layu..

Dulu pernah saya katakan disini..
bahawa sebesar mana pun sarban dan
sepanjang mana pun jubah tapi
perjuangan tanpa keimanan..ahkhir
nya.. wang..pangkat..dan harta juga
yg dicari..

Saya tetap menyokong MP Khalid,
semoga cita2mu utk menegakkan
kebenaran dan keadilan akan terlaksana. Tuhan tetap menyebelahi
orang2 yg benar,biarpun tidak hari
ini tapi hari esok tidak ada siapa
yg tahu.. Kita tunggu dan lihat
sejauh mana puak2 UG ini akan
melakukan kerja2 donggeng..biarlah
Hasan Ali dgn pangkat dan jawatanya
. Kita sama2 tunggu PRU 13 ini.

Tanpa Nama berkata...

Kami akan sentiasa bersama YB khalid, smg sabar mendepani segala ujian. Kami kenal siapa YG khalid sbg org lama dlm PAS, dan kami kenal hasan ali sbg org baru dlm PAS.
Kami kenal keperitan YB khalid bermula dari bawah, kami juga kenal apalah sgt penderitaan hasan ali yg baru join PAS..

Tanpa Nama berkata...

Saya doakan YB Khalid Samad terus bersabar.Tahniah YB!Sekurang-kurangnya perjuangan YB memberi inspirasi baru kepada ahli-ahli PAS mengenali 'sepak-terajang'politik yang ikhlas kerana Allah walau ada ketikanya diri sendiri menjadi mangsa.Tapi ingat YB Khalid bukan seorang diri!