19 Dis 2009

Hari Ini, Satu Sejarah Bakal Tercipta Di dalam Arena Politik Negara...

Hari ini, 19 Disember 2009 membuka tirai baru dalam judul politik tanahair.

Buat pertama kalinya, 1,500 perwakilan dari tiga parti dari jalur politik berlainan akan berhimpun dibawah satu bumbung untuk memeterai wadah umum perjuangan gagasan Pakatan Rakyat.

Mereka akan meluluskan rangka kerja dasar yang dikongsi bersama komponen gagasan ini yang akan menjadi mercu gerakan mereka menumbangkan Barisan Nasional dan membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Sesungguhnya pembentukan dokumen umum ini yang dirumuskan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP adalah satu pencapaian yang menakjubkan.

Meliputi prinsip bersama ketiga-tiga parti itu - Pas dari jalur Islamik, DAP yang cenderung kepada demokrasi sosial dan PKR yang menuruti arus liberal - rangkakerja ini adalah satu anjakan baru mengukuhkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif untuk rakyat.

Apa yang akan dicanangkan kepada perwakilan di Persidangan Kebangsaan Pakatan Rakyat adalah matlamat bersama menuju kerajaan yang lebih baik untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Di kalangan pemerhati politik, persidangan ini adalah sejarah baru politik negara, dengan para perwakilan berkongsi pengalaman bekerja dalam satu barisan sejak 21 bulan yang lepas dan cuba membentuk gagasan majmuk yang benar-benar berwibawa.

Perikatan yang dibentuk secara mendadak oleh PKR, Pas dan DAP ini mengejutkan ramai pihak dengan kejayaan menumbangkan kekuatan dua-pertiga BN pada Mac 2008. Gagasan ini turut berkuasa di lima dari 13 negeri di Malaysia.

Namun semenjak itu Pakatan Rakyat bergelut untuk menampilkan gagasan itu sebagai satu ketumbukan yang ampuh menentang BN dan aparatus gagasan perkauman itu keatas media arus perdana, agensi kerajaan dan perbendaharaan negara.

Gerombolan pengkritik dari BN tidak membuang masa menonjolkan kepincangan dalam dokumen satu wadah ini, mendakwa bahawa pakatan pembangkang di Malaysia tidak mempunyai rekod menyamai prestasi BN mengurustadbir Malaysia, mahupun kewibawaan untuk memulihkan masalah-masalah runcing dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Disebalik usaha pengkritik di ruang maya dan arus media perdana untuk meremehkan dokumen satu wadah ini, Selangor bagaimanapun bersedia untuk menganjurkan persidangan ini dan memuatkan perwakilan dari seluruh negara khususnya dari Sabah dan Sarawak.

Ucaptama dan amanat penting akan disampaikan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Persidangan ini juga akan menyaksikan logo bersama Pakatan Rakyat. Logo ini memaparkan tiga daun palem yang mewakili tiga parti dalam Pakatan Rakyat. Daun palem ini mengelilingi lima kelopak bunga mewakili Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusuns.

Lagu tema persidangan ini ialah Angai Pendawai, karya Ito dari Blues Gang. -TVS

8:00 pagi : Pendaftaran bagi wakil media di Tingkat 4, Auditorium MBSA.

9:00 pagi : Pembukaan

9:15 pagi: Ucapan Perdana Ketiga Pimpinan Tertinggi dan Perasmian Bersama Konvensyen - Saudara Anwar Ibrahim (Ketua Umum KeADILan), Saudara Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) & Saudara Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS).

10:15 pagi : Rehat

10:45 pagi : Pidato Dasar Pakatan Rakyat (dipengerusikan YAB Khalid Ibrahim) - Saudara Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS), Saudara Tony Pua (Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP), Saudara Sivarasa Rasiah (Naib Presiden PKR) dan Perbahasan oleh 2 perwakilan setiap parti.

12:45 tgh : Makan tengahari di Laman MBSA.

1:45 tgh : Sambungan perbahasan oleh 3 perwakilan setiap parti (dipengerusikan Saudara Teng Chang Khim).

3:30 ptg : Majlis Penutup (dipengerusikan Saudara Wan Abdul Rahim Wan Abdullah).

Rumusan oleh 3 Pimpinan : Karpal Singh (Pengerusi Kebangsaan DAP), Nik Abdul Aziz Nik Mat (Murshidul Am PAS), Anwar Ibrahim (Ketua Umum KeADILan).

5:00 ptg : Majlis bersurai. Sidang media di Tingkat 3


Konvensyen PR: Satu Pengukuhan perjuangan

Angin Pendamai atau Winds of Peace, yang dicipta oleh penyanyi Blues Gang, Ito, akan bergema pada konvensyen pertama Pakatan Rakyat (PR) esok.

Mampukah Angin Pendamai yang menjadi tema lagu konvensyen esok menjadi titik permulaan kepada penyatuan perjuangan dan matlamat berdasarkan polisi bersama sebagai langkah pertama ke arah menerajui kerajaan pusat selepas PRU13?

Resolusi yang bakal diumumkan pada konvensyen esok hasil perbincangan pelbagai peringkat beberapa bulan lalu untuk menghasilkan satu rangka persefahaman bersama, sudah boleh dianggap satu pencapaian.

Dan hari ini, 1,500 perwakilan dari ketiga-tiga parti yang berbeza ideologi – PAS, PKR dan DAP – yang menjadi pendokong PR akan menentukan hala tuju gagasan itu dalam memperlengkapkan diri sebagai ’bakal’ peneraju kerajaan persekutuan.

Jika dikaji keputusan PRU12 secara halus, kejayaan PR yang menghilangkan majoriti 2/3 BN di parlimen dan memenangi 5 negeri, tidak termasuk Wilayah Kuala Lumpur yang hampir disapu bersih oleh PR, dicapai bukan berteraskan satu landasan perjuangan yang sekata.

Mereka bergerak atas sentimen me’nyah’kan 2/3 majoriti parlimen BN kerana bimbang dengan pelbagai penyelewengan yang diamalkan oleh Umno-BN hingga sudah membarah, bimbang-bimbang negara akan muflis.

Usaha ke arah menyelaraskan perjuangan diteruskan. Sedikit demi sedikit, tapi dengan penuh keyakinan, mereka merapatkan jurang perbezaan yang ada bersandarkan kesedaran membina sebuah negara yang komited untuk rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara yang memuji kecekapan pentadbiran PR di empat negeri yang di perintahnya, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, membuktikan ketelusan, kecekapan dan integriti PR sebagai kerajaan yang sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Kesan daripada PRU12, memperlihatkan kemunculan pakatan pembangkang mampu memainkan peranan “mengawasi dan menegur” terhadap pentadbiran Umno-BNl dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Di sebalik kejayaan tersebut, PAS, PKR dan DAP dan terus mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka.

Tanpa bergerak pada satu landasan perjuangan bersama, PR sudah mampu membuktikan kewibawaan, sekalipun tidak dinafikan ada kelemahan-kelemahan yang sering digunakan oleh media arus perdana untuk melaga-lagakan gagasan itu.

Namun tempoh setahun setengah pemerintahan sejak PRU12 Mac tahun lalu, ia boleh dianggap pencapaian yang jauh lebih baik berbanding Umno-BN yang sudah menerajui negara ini selama 52 tahun.

Maka konvensyen sulung PR esok pastinya dinanti dengan penuh debaran, tapi lebih kepada satu harapan di kalangan rakyat yang mahukan perubahan untuk melihat ‘negara yang komited’ untuk rakyat.

Ramai tidak mengharapkan semua perjuangan dan ideologi akan dapat di ’selaraskan’ mengikut satu landasan bersama. Tapi sedikit kemajuan hasil konvensyen itu sudah cukup untuk menjadi titik permulaan meletakkan PR di landasan yang betul untuk terus bergerak atas polisi bersama dengan konsep ketuanan rakyat.

Adalah diharapkan selepas konvensyen sulung ini, PR yang kini memiliki 82 kerusi Parlimen berbanding 137 BN, mampu menghayun langkah pertama menggantikan BN. Bukankah destinasi PR ke Parlimen sebagai kerajaan persekutuan bermula dengan langkah yang pertama? -FMT


Tiada ulasan: