19 Nov 2009

Era Najib Altantuya : SPRM Tiada Hak Soal Saksi Selepas Waktu Pejabat, Kata Mahkamah (updated)

Dalam keputusan yang dilihat sebagai signifikan, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyoal siasat mana-mana saksi selepas waktu pejabat.

Mahkamah juga memutuskan SPRM telah bertindak secara tidak sah apabila menyoal siasat ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah sepanjang malam di pejabat negeri Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam kira-kira empta bulan yang lalu.

Waktu pejabat yang dimaksudkan antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tan disoal siasat sehingga 2 pagi dan hanya kembali ke rumahnya pada waktu tengah hari keesokan hari.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu menjelaskan pengertian frasa “sehari ke sehari” yang menjadi pertikaian teras antara Tan dan SPRM “tidak boleh dianggap sebagai sepanjang hari” termasuk merakamkan kenyataan daripada saksi.

Mohamad Ariff berkata, SPRM kemungkinan sedar perkara ini apabila mereka mengarahkan Tan kembali untuk membantu siasatan susulan pada pukul 10 pagi Julai 20, yang termasuk dalam tempoh waktu pejabat normal.

Mahkamah Tinggi juga mengarahkan SPRM membayar ganti rugi dialami Tan ekoran “penahanan tidak sah” antara 9.45 malam Julai 15 hingga 2.53 pagi Julai 16.

Bagaimanapun jumlah itu termasuk kadar faedah akan ditentukan oleh pendaftar mahkamah.

Tan ditahan pada pukul 9 malam Julai 15 lalu, hari yang sama Teoh Beng Hock iaitu pembantu politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor turut ditahan tetapi kemudian ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam.

Tan memohon mendapatkan perisytiharan SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi dalam tempoh waktu pejabat.

Mohamad Arif menetapkan hari ini untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan peguam Karpal Singh mewakili Tan selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin mewakili defendan.

Dalam hujahnya sebelum ini, Karpal menegaskan, walaupun Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009 menyebut pegawai suruhanjaya yang menjalankan siasatan boleh memanggil sesiapa sahaja untuk memberi keterangan tetapi perkataan sehari ke sehari yang terdapat dalam seksyen tersebut perlu diperhalusi.

Beliau berpendapat SPRM seharusnya mengamalkan Peraturan 20 Peraturan Lokap dengan para banduan akan dimasukkan ke dalam lokap antara pukul 6.30 petang hingga 6.30 pagi.

Sementara itu, Noorin berhujah, maksud “sehari ke sehari” perlu dilihat dari segi istilah. Jelasnya, menurut buku “In Words, Phrases & Maxims Legally & Judicially Defined”, “sehari” mengikut kalendar Inggeris bermaksud ia bermula pada waktu tengah malam sehingga tengah malam hari yang berikutnya.

Tan, 39, menamakan Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan suruhanjaya tersebut sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif menuntut perisytiharan bahawa seseorang yang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 hanya boleh direkodkan pernyataan sebagai saksi dalam waktu pejabat iaitu mulai pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan bukannya selepas tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut perisytiharan bahawa defendan telah bertindak bertentangan dengan peruntukkan Seksyen 30(3)(a) akta tersebut.

Tan kelihatan gembira semasa keputusan itu diumumkan.

Kata Tan, beliau memfailkan saman dengan harapan agar SPRM berhenti daripada menyoal siasat seseorang pada waktu-waktu pelik selepas tempoh waktu pejabat khususnya selepas apa yang dilalui oleh Teoh.

“Ini keputusan baik untuk semua rakyat Malaysia,” kata Tan.

Tidak diketahui sama ada SPRM akan mengemukakan rayuan ataupun sebaliknya.

Sementara peguam-peguam mewakili SPRM tidak menyatakan sama ada akan membuat rayuan, Karpal merasakan pihak berkenaan akan membuat rayuan memandangkan keputusan hari ini membawa implikasi ke atas pihak berkuasa lain.

Karpal berkata mereka mempunyai masa sebulan untuk mengemukakan rayuan. -MI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SPRM mungkin kena gelapkan semua bangunannya, dan jalankan siasatan dalam gelap, supaya kejahatannya tak terserlah