1 Okt 2009

Nizar Atau Zambry MB Perak Diketahui 5 Nov

Pertikaian berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah dijangka didengar di Mahkamah Persekutuan pada 5 November.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang disakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di Putrajaya memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak, bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP- PKR-PAS, dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang Menteri Besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar. - Bernama

1 ulasan:

Adzam Shah berkata...

Salam! Kenapa masih nak tuntut melalui mahkamah sedangkan ianya tidak akan berakhir. Siapa sah MB akan diketahui pada 5 Nov, lepas tu akan ada lagi satu rayuan demi rayuan demia rayuan oleh Zambry, Nizar, Zambry, Nizar. Kekadang dalam perang dan pertempuran, ada strategi dan taktik yang membenarkan pengunduran. Pengunduran bukan apabila dah kalah tetapi pengunduran sebagai satu taktik untuk bersedia membuat serangan. Berundur ke satu kawasan/keadaan pertahanan. Buat masa sekarang biarlah pihak yang "menang" leka dengan kemenangan dan bersedia untuk perang besar PRU13 (itu pun kalau benar-benar yakin kuasa pemilihan di tangan pengundi). Kalau masih tidak yakin pengundi akan tetap dengan PR, maknanya ada yang tidak kena dengan PR. Apa yang masih tidak kena? Wakilnya? Perjuangannya? Janjinya? Apa nak tuntut?