1 Okt 2009

Inkues Teoh Beng Hock : Pemilik DNA Misteri DIketahui Esok

Pemilik DNA lelaki misteri yang dikesan pada tali pinggang dan blazer Teoh Beng Hock akan diketahui esok berikutan adanya penemuan terbaru ahli Kimia.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan perkara tersebut dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini dan beliau turut memberitahu bahawa ahli kimia, Dr Seah Lay Hong akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang lagi ahli kimia akan dipanggil untuk memberi pandangan terhadap hasil siasatan Dr Seah itu dan beliau juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan hasil siasatan.

Laporan terbaru ini merupakan hasil siasatan kali ketiga Dr Seah berkaitan perkara sama yang mana hasil sisatan sebelum ini gagal menemui lelaki misteri yang mempunyai kesan DNA pada kedua-dua tempat itu.

Dalam siasatan kedua, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Manakala pada siasatan pertama hanya melibatkan 102 tetapi kedua-duanya gagal menemui pemilik DNA misteri ini dan ia hanya dinamakan 'male 1'.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati, 16 Julai lepas di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan dakwaan salahguna wang oleh ahli majlis exco negeri.

Sementara itu abang Teoh, Beng Kee, 33, yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-24, memberitahu adiknya itu tidak mempunyai sebarang masalah kewangan walaupun menerima gaji bersih RM1,500 sahaja.

Malah katanya, adiknya itu juga tidak pernah mengadu mengenai sebarang masalah sebaliknya beliau adalah seorang yang penyayang serta suka membantu.

Beng Kee berkata, sekiranya Teoh mempunyai masalah beliau selalunya akan memberitahu kepada ahli keluarga.

Sebelum itu, Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertanya tentang tindakan Teoh yang ingin menyegerakan perkahwianan dengan teman wanitanya Soh Cher Wei kerana wanita itu telah mengandung, Beng Kee berkata: "Setuju"

Bagaimanapun Beng Kee tidak bersetuju bahawa Teoh mempunyai masalah kewangan ekoran majlis yang tergesa-gesa itu kerana Teoh mempunyai wang simpanan.

Majlis perkahwinan Teoh sepatutnya berlansung Sabtu ini (3 Oktober) dan pada 18 Julai (dua hari selepas kejadian) Teoh dan Soh perlu mendaftarkan perkahwinan mereka serta menghadiri majlis fotografi.

Selain itu Beng Kee yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mengakui tidak begitu rapat dengan Teoh dan jarang berhubung antara satu sama lain.

Beng Kee turut memberitahu bahawa Teoh tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarganya sama ada Teoh mempunyai sebab untuk membunuh diri, Beng Kee berkata: "Tiada."

Bakal pengapit di hari perkahwinan Teoh, Woo Chuan Sing, 30, yang memberi keterangan selepas Beng Kee turut memberitahu, bahawa rakannya itu tidak pernah bercerita tentang sebarang masalah kepadanya.

Katanya, Teoh yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di universiti dahulu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian (15 Julai), pada pukul 8.36 pagi, untuk mendapatkan jawapan mengenai undangan ke majlis perkahwinannya dan Woo berkata beliau hanya menjawab "akan hadir."

Tetapi sebelum itu Woo berkata Teoh telah menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)pada pukul 7 pagi untuk memaklumkan mengenai perkahwinan itu dan meminta beliau menjadi pengapitnya tetapi SMS itu tidak dibalas kerana masih tidur.

Selain perbualan itu, Woo berkata tiada lagi sebarang perbualan lain.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok. -Bernama

Tiada ulasan: