31 Okt 2009

Era Najib Altantuya : UMNO BN Guna Taktik Kotor

Barisan Nasional (BN) didakwa menggunakan taktik kotor untuk kembali memerintah di negeri yang ditawan pembangkang pada pilihan raya umum lalu dengan ‘memancing’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR), demikian lapor Sinar Harian.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub berkata, antara strategi yang digunakan ialah menyalurkan peruntukan kepada bekas pemimpin PR yang menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong (BN).

Menurutnya, strategi itu digunakan terhadap ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytihar dirinya wakil rakyat Bebas yang menyokong BN berkuat kuasa serta merta, kelmarin.

“Itu baru strategi awal, banyak lagi strategi yang dirangka oleh BN. Dalam situasi Badrul ini, BN bermurah hati beri bantuan. Selepas itu berusaha memerangkap Badrul masuk BN. Bila terperangkap, mereka akan ambil satu demi satu kerusi PR," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa BN bersedia memberikan bantuan atas sokongan beliau (Badrul) kepada BN bagi membangunkan secara bersama-sama kawasan yang diwakili Badrul.

Menurut Mustaffa Kamil, situasi yang sama tutut berlaku terhadap tiga ADUN di Perak iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) yang menjadi wakil rakyat Bebas dan beri sokongan kepada BN.

Katanya, PKR akan tetap berjalan seperti biasa kerana keputusan Badrul keluar parti bukanlah perkara mengejutkan.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan berkenaan berkata, BN tidak pernah menggunakan taktik kotor sebaliknya mereka berbuat demikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.

“Mereka sendiri yang menyokong, bukan paksaan atau ‘taktik kotor’ BN. Kita sentiasa mengalu-alukan sokongan mereka itu yang menyedari bahawa BN banyak berjasa dalam pelbagai bidang,” katanya.

1 ulasan:

Err berkata...

Dalam peperangan boleh pakai apa saja selagi tak melanggar undang2 peperangan.