10 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Mahkamah Tolak Permohonan SPRM Untuk Semakan Saksi

Permohonan semakan yang difailkan SPRM berhubung keputusan koroner Azmil Muntapha Abas terhadap satu laporan polis yang dibuat suspek T. Sivanesan digunakan dalam inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock, ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Petaling Jaya hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Yeoh Wee Siam memutuskan demikian setelah mendapati koroner tidak melakukan sebarang kesilapan, khilaf atau perkara yang tidak betul dalam keputusannya.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan supaya inkues diteruskan setelah menolak permohonan Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Keterangan T.Sivanesan, lelaki yang mendakwa didera pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya didengar dalam prosiding inkues awal pagi semalam, tertangguh tiga jam berikutan pertikaian antara peguam-peguam terlibat mengenai isu kehadiran saksi itu ke mahkamah.

Ekoran itu, SPRM telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan koroner yang membenarkan laporan polis oleh Sivanesan mengenai dakwaan itu dikemukakan dalam prosiding inkues dan keputusan membenarkan saksi itu memberi keterangannya di mahkamah bagi membantu siasatan punca kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Abdul Razak hari ini meminta koroner menyemak semula keputusannya semalam atas alasan bahawa laporan polis itu akan memberi implikasi yang boleh memprejudiskan siasatan polis dan SPRM dalam kes itu jika ia dikemukakan.

Hujahan Abdul Razak itu dibantah Gobind dan Malik yang mahu supaya keputusan mahkamah semalam dipatuhi, dan bukannya membangkitkan isu baru memandangkan kesemua pihak telahpun diberi peluang untuk menghujahkan perkara itu semalam.

Gobind: "Apa yang dilakukan oleh peguam (Abdul Razak) ini bukan sahaja membuang masa, malah ia merupakan penghinaan mahkamah. Koroner telahpun memutuskan isi kandungan laporan itu relevan dan menetapkan tiga skop yang perlu dipatuhi semua pihak dalam soal balas saksi (Sivanesan), oleh itu kita semua perlu menghormati dan menerima perintah mahkamah ini."

Malik: "Pihak-pihak telah berhujah panjang lebar semalam dan perkara ini telah diputuskan, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghujahkan semula isu ini dan menukar keputusannya."

Abdul Razak: "Ini adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah dengan cuba membawa masuk dokumen yang meragukan dan mendengar keterangan seorang saksi yang tidak dirakam percakapannya oleh pihak polis."

Peguam itu juga mendakwa Gobind sengaja mendedahkan saksinya itu kepada umum dengan membenarkan beliau berada dalam mahkamah hari ini, dan bukannya di sebuah bilik khas untuk saksi, sebelum dipanggil memberi keterangan.

Gobind: "Beliau cakap apa ini? Saya bosan mendengar perkara mengarut daripada Abdul Razak. Saya hairan mahkamah boleh melayan benda mengarut ini. Apa salahnya saksi saya duduk di mahkamah ini? Saya tak boleh kemukakan laporan, saya tak boleh kemukakan saksi, apa semua ini?

Setelah hujahan kesemua pihak didengar, koroner kemudian memutuskan untuk membenarkan Sivanesan dipanggil memberi keterangan dan membenarkan laporan polis saksi itu dikemukakan dalam prosiding tersebut.

Sivanesan dalam akuanya melakar imej grafik pengalaman di kurung dalam sebuah bilik gelap. Dikerumuni beberapa lelaki, dia dipukul dengan batang besi, ditumbuk, ditendang, dibogelkan dan dirotan di bahagian kemaluan sehingga pengsan.

Tiada ulasan: