17 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Inkues, Peguam Teoh Persoal Kebenaran Fakta Insiden Dalam Tandas

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau terdengar ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah memarahi Teoh dengan suara yang kuat dan tinggi di dalam tandas pejabat SPRM Selangor, beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika beliau mengiringi Tan ke tandas.

"Sewaktu Tan masuk ke dalam tandas, saya berdiri di luar pintu tandas dan tidak lama selepas itu seorang lelaki Cina yang berseluar putih dan berbaju gelap (Teoh) datang dari arah bertentangan saya dan terus memasuki tandas yang sama.

"Ketika saya pusing nak berjalan semula ke arah pantry saya terdengar suara Tan memarahi lelaki berbaju gelap dan berseluar putih dalam bahasa Mandarin dengan menyebut 'ni lor' iaitu 'awaklah' dalam nada kuat dan tinggi.

"Bagaimanapun saya tidak mendengar respons atau jawapan daripada seorang lagi lelaki itu (Teoh)," katanya.

Bulkani kemudian menjelaskan beliau memahami bahasa Mandarin kerana pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dari darjah satu sehingga darjah enam.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia berapa lama insiden itu berlaku, saksi itu berkata beliau hanya berada di luar tandas kira-kira dua minit sebelum berjalan ke pantri untuk menghabiskan makanan yang ditinggalkannya ketika mengiringi Tan ke tandas.

Seterusnya saksi ke-22 itu berkata kira-kira lima minit selepas insiden itu, beliau melihat Tan berjalan melepasi pantri dan beliau tidak bertanyakan apa-apa (mengenai insiden dalam tandas) kepada ahli majlis itu.

Ketika ditanya Hock Chuan bagaimana beliau boleh mengetahui bahawa lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu adalah Teoh, Bulkani berkata beliau dapat mengecam Teoh setelah beberapa kali melihat gambar Teoh disiarkan di televisyen ekoran penemuan mayat mangsa di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

"Selepas beberapa hari televisyen tunjuk gambar Teoh, kemudian baru saya teringat dialah lelaki yang saya terjumpa di tandas yang memakai seluar putih dan berbaju hitam," katanya, sambil menambah selepas insiden di tandas itu beliau tidak lagi berjumpa Teoh sehinggalah mangsa ditemui mati pada hari yang sama.

Terdahulu, Bulkani berkata beliau dan dua lagi pegawai SPRM ditugaskan untuk mengiringi Tan dari rumahnya di Balakong ke pejabat SPRM Selangor bagi tujuan membantu satu siasatan.

Ketika disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, sama ada beliau mengetahui berapa ramai yang keluar atau masuk tandas ketika insiden itu berlaku, Bulkani berkata beliau tidak tahu kerana tidak masuk ke dalam tandas dan tidak menunggu lama di luar tandas.

"Jadi kamu tidak lihat siapa yang bersuara kerana kamu tidak masuk dan berada lama di luar tandas?" soal Gobind dan Bulkani menjawab: "Ya, tetapi saya anggap itu suara Tan, suara lain saya tidak dengar."


Gobind: Tan menafikan mengenai insiden itu dan saya cadangkan kamu tidak tahu siapa sebenarnya yang bersuara kepada lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu (Teoh).

Bulkani: "Saya yang bawa Tan ke tandas."

Kepada soalan Gobind sama ada beliau terlibat dalam kumpulan yang menyoal siasat Tan pada malam 15 Julai, Bulkani berkata beliau tidak terlibat, cuma ada bertanyakan beberapa soalan kepada Tan di bilik ping-pong bersama seorang lagi pegawai SPRM.

Gobind: Saya cadangkan yang segala kenyataan kamu tentang insiden di tandas itu adalah penipuan semata-mata.

Bulkani: "Saya tidak tipu".

Sementara itu, penolong kanan penguasa SPRM Selangor Raymond Nion John Timban dalam keterangannya pada prosiding hari ke-21, berkata beliau ada ternampak Teoh bersama seorang lelaki Cina di ruang tamu bahagian pendidikan masyarakat di pejabat SPRM Selangor, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 16 Julai lepas.

"Masa itu saya tidak tahu siapa lelaki Cina itu kerana dia adalah orang luar dan semasa saya nampak Teoh bersama lelaki Cina itu tiada pegawai SPRM bersama mereka," katanya.

Seterusnya, saksi ke-23 itu berkata beliau sekali lagi ternampak Teoh sedang baring seorang diri di atas sofa di depan bilik penolong kanan penguasa SPRM Selangor Mohd Nadzri Ibrahim semasa beliau ingin meninggalkan pejabat kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai).

Kepada soalan Hock Chuan sama ada beliau terlibat dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri Selangor oleh majikan Teoh, Yong, Raymond berkata beliau hanya terlibat pada peringkat permulaan kerana perlu mengendalikan dua kes lain yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Klang.

Ketika disoal Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mengendalikan inkues, sama ada beliau ada ternampak sesiapa melalui pejabatnya sepanjang berada di pejabat SPRM Selangor, Raymond berkata beliau ada melihat Mohd Nadzri, pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail dan Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim lalu di depan pejabatnya kira-kira pukul 5.45 pagi (16 Julai) tetapi tidak mengingati mereka menghala ke arah mana.

Prosiding inkues bersambung 29 Sept.

Tiada ulasan: