6 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Dialog Isu Kuil Dicemari Kekecohan

Majlis dialog berhubung isu pemindahan kuil di Shah Alam, dicemari dengan kekecohan yang dicetuskan oleh beberapa "orang luar" dan pihak yang terbabit dalam tunjuk perasaan membantah pemindahan kuil itu dengan mengheret kepala lembu pada minggu lalu.

Beberapa orang melemparkan kata-kata kesat kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam dan enggan memberi kerjasama untuk memastikan penduduk Seksyen 23 dapat memberi maklum balas mereka secara teratur dan berdisplin pada dialog di Dewan Bankuet MBSA.

Penduduk Seksyen 23 sendiri terpaksa menghalau beberapa orang yang dikenal pasti bukan menetap di kawasan itu daripada majlis dialog berkenaan.

Kira-kira 337 penduduk dari Seksyen 23, hadir pada dialog awam ini yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Majlis ini bertujuan memberi penerangan dan mengumpul maklum balas berhubung cadangan kerajaan negeri memindahkan kuil Hindu berusia lebih 100 tahun dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Penduduk di Sekysen 19 telah merungut sekian lama bahawa kuil itu terletak hanya kira-kira 20 meter daripada kawasan perumahan dan menimbulkan pelbagai kemusykilan.
Kerajaan Barisan Nasional,_baik di Selangor mahupun di peringkat Persekutuan_akur dengan rungutan itu tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan untuk bertahun-tahun.

Setelah mengambil alih pemerintahan Selangor tahun lalu, Pakatan Rakyat mengemukakan cadangan untuk memindahkan kuil itu ke sebuah tapak industri di Seksyen 23 yang terletak kira-kira 200 meter daripada kawasan perumahan, dan bukan lagi 20 meter seperti di Sekysen 19.

Cadangan itu bingkas dieksplotasikan oleh Umno dan beberapa pemimpinnya yang kemudian mendalangi tunjuk perasaan dengan mengheret, memijak dan meludah kepala lembu di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Jumaat lalu.

Lembu adalah binatang suci dalam agama Hindu. Polis yang berada di tempat kejadian tidak bertindak untuk menghentikan penghinaan ke atas agama Hindu oleh juak-juak Umno itu.

Pada dialog hari ini, beberapa individu - termasuk mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan kepala lembu tempoh hari - mengajuk dan bertindak liar terhadap empat panelis, termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail.

“Kita tidak membuat keputusan apa-apa lagi dan kita dapati tentangan dari masyarakat cukup hebat, kita akan menerima juga beberapa cadangan,

“tetapi cadangan ini boleh dilaksanakan bila kedua-dua pihak bersetuju, bukan satu pihak, kita dapati pemilik rumah di kawasan itu tidak setuju, boleh pindah dimana-mana bila dua pihak bersetuju,” katanya.

Sebaik sahaja dialog bermula, individu terbabit naik atas kerusi masing-masing dan mencemuh panelis. Akhirnya 50 orang terpaksa diiring keluar oleh pegawai MBSA bagi membolehkan dialog itu diteruskan dengan aman.

Tidak lama kemudiannya, dewan kembali berantakan apabila individu tertentu menjerit-jerit apabila Khalid Samad dan Rodziah menjawab soalan penduduk.

Tindakan itu mengundang wakil penduduk India pula untuk membangkitkan isu-isu sensitif yang jelas membelakangi matlamat dialog berkenaan.

Menteri Besar Tan Sri Khalid kemudian dengan tegas mengarahkan supaya dialog itu ditamatkan bagi menghindar perlakuan yang tidak diingini.

“Ada permintaan saudara dengar sendiri, kita nak cari penyelesaian, saudara suruh sebab itu kita akan terima,

“Buat masa ini saya tidak mahu bincangkan perkara ini saya terima pandangan daripada saudara yang tadi, kalau kena beli tanah kita beli tanah, itu bukan perkara yang sukar,” katanya. -TVA


Dialog tidak bertamadun: Selangor tangguhkan pemindahan kuil


Majlis dialog anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Banquet, MBSA tengah hari tadi akhirnya menemui persefahaman sementara, apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan cadangan pemindahan kuil ke Seksyen 23, di sini ditangguhkan serta merta.

Khalid terpaksa berbuat demikian tengahari tadi, disebabkan desakan ekstrem serta perang mulut oleh segelintir hadirin yang menyertai dialog tersebut.

"Saya terpaksa menangguhkan cadangan itu (memindahkan kuil) disebabkan kebanyakan pemilik-pemilik rumah di situ tidak bersetuju.

"Saya menerima pandangan rakyat di Seksyen 23 dan kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian di Seksyen 19 (lokasi asal kuil) yang juga terdiri oleh penduduk Melayu (dan) Islam majoriti."

Tegasnya, PKNS diarahkan mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dijadikan tapak kuil yang baru, bagi memindahkan kuil lama dari Seksyen 19 kelak.

Jelasnya lagi, PKNS sewaktu Umno BN memerintah seharusnya menjelaskan kepada bakal penduduk (khususnya Melayu/Islam) Seksyen 19 tentang wujudnya kuil itu terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan.

Pembinaan kuil di Seksyen 19 oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu disifatkannya tidak sesuai, kerana terlalu dekat dengan surau di samping terlalu dekat dengan rumah penduduk di situ.

Ekoran itu, kerajaan Pakatan Rakyat cuba memindahkannya ke Seksyen 23, yang kedudukkannya lebih jauh dari kawasan surau serta perumahan penduduk Melayu.

Tambahnya lagi, pembinaan kuil itu juga untuk memenuhi hak penduduk minoriti beragama Hindu, di sini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut mewakili kerajaan menegaskan bahawa isu kuil di Seksyen 23 hanya suatu cadangan daipada PKNS sendiri, bukannya kerajaan negeri.

Beliau yang terus dipertikai ketika menjelaskan prosedur cadangan pemindahan kuil itu, menegaskan bahawa cadangan tapak pembinaan kuil yang baru itu jauh lebih sesuai kerana bukan sahaja jauh dari kawasan perumahan setempat, malah menyelesaikan masalah rakyat di Seksyen 19 yang terdiri dari penganut Islam dan Hindu.

Katanya lagi, "sekiranya kuil tidak boleh dibina di kawasan majoriti Melayu, bermakna tidak ada mana-mana tapak boleh dibina kuil di Shah Alam, semuanya (penduduk) majoriti Melayu. Islam tidak mengajar penganutnya menafikan hak penganut lain."

Beliau juga menasihatkan segelintir individu yang hadir agar berhenti mencemuh inisiatif kerajaan negeri serta penduduk bukan Islam.

"Kuil ini untuk penganut Hindu. Apa salahnya, kita menghormati keagamaan mereka. Allah (dan) Rasul tidak pernah mengajar umat Islam mencemuh (agama lain), apatah lagi menafikan hak penganut agama lain (dalam) mengamalkan kepercayaan mereka," katanya di majlis itu.

Beliau meminta hadirin menghayati potongan ayat al-Quran (108) dari Surah an-An'am yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudia, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan."

Sebelum pada itu, perang mulut berlaku antara segelintir yang hadir dengan pegawai-pegawai MBSA yang cuba menenangkan mereka.

Kelihatan segelintir itu mencemuh pemimpin kerajaan negeri; yang didakwa mereka tidak mendengar keluh-kesah penduduk tempatan.

Jamil Mohd Isa, yang juga mengakui bukan ahli Umno di sini, menegaskan bahawa cadangan memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, sebagai menambahkan masalah penduduk tempatan, bukannya menyelesaikan masalah orang-orang Melayu.

Turut menyertai aksi ekstrem itu, adalah Pengerusi Penaja Umno Cawangan Seksyen 23 sendiri, Haji Azmir Md Zain.

"Woi, kaulah pengkhianat-pengkhianat agama lah!" cemuhnya.

Cemuhan itu disorak oleh beberapa individu lain yang dipercayaai dari kenalan rapat Azmir.

Beliau juga mengancam akan membunuh Khalid Samad jika pergi ke kawasannya, Seksyen 23.

Beliau juga menghina dan mencemuh Khalid Ibrahim, MB yang dipilih oleh rakyat Selangor melalui pilihan raya yang sah itu.

K. Raja yang ditemui selepas selesai dialog berkata, "Persatuan Penduduk itu bukan mewakili semua pihak. Persatuan tidak pernah panggil kita (penganut Hindu) berbincang. Bagaimana (mereka) boleh kata itu mewakili (penduduk) Seksyen 23."

Ditanya mengapa tidak turut serta dalam dialog itu, beliau berkata, "Dia orang emosional, tidak ada toleransi dan hormat Menteri Besar, Khalid (Samad) dan YB yang lain. Macam mana kita nak berdislog? Ekstrem lah, saya pun tidak pernah jumpa (tindakan) seperti ini."

Ujarnya lagi, dalam dialog, sepatutnya perlu ada sikap memberi pandangan, dan mendengar pandangan. Bukannya, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kerajaan negeri.

Beliau juga mencadangkan kuil di Seksyen 19 yang sudah 26 tahun tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, diselesaikan oleh Khalid Ibrahim demi membuktikan kepemimpinan Pakatan rakyat mengamalkan keadilan untuk rakyat tanpa mengira status, kaum dan kepercayaan.

Pegawai Khas kepada Adun Batu 3, Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli mendakwa dirinya cuba dikasari dan dicabuli oleh segelintir yang hadir di luar MBSA, sebelum dialog tersebut berlangsung.

"Mereka cuba merampas video cam akak. Mereka kerumuni (mengepong) akak. Mereka takut akak rakam tindakan-tindakan tidak bertamadun mereka. Akak jadi takut, takut diapa-apakan mereka itu," jelasnya lagi.

Seorang respondan berita Harakahdaily 30 Ogos lalu, Suraya Samad (gambar) yang ditemui kemudian melahirkan rasa takut kerana dirinya didakwa talam dua muka.

Beliau menegaskan sekali lagi, kenyataannya sebelum ini bukanlah bertujuan memecah-belah masyarakat, tetapi pandangan peribadinya sahaja.

Beliau mendakwa beberapa kenyataan sebelum ini telah disalah anggap dan membuat beberapa penafian terbabit.

Turut menyertai dailog tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmood selaku pemerhati. Beliau menjelaskan keindahan ajaran Islam yang sebenar, bukannya seperti aksi provokasi sedemikian sebelum ini.

Beliau juga berharap penganut minoriti Hindu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dibina kuil.

Bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Khalid Ibrahim meminta semua pihak tidak memanjangkan isu tersebut.

Demi kepentingan rakyat tidak kira penganut agama Islam atau Hindu dan sebagainya, beliau menjelaskan bahawa segala kritikan dan cemuhan pagi tadi perlu dilihat secara terbuka; sebenarnya membantu kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat kelak.

Harakahdaily turut menemui beberapa peserta yang lantang mencemuh kepemimpinan negeri untuk mendapatkan inti bantahan mereka, tetapi kebanyakannya meminta wartawan bertemu sendiri dengan ketua mereka, Azmir.

Dalam kalangan mereka yang ekstrem juga mengugut wartawan supaya tidak membesar-besarkan isu perarakan kepala lembu yang segar berdarah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK yang menempatkan Pejabat Menteri Besar; 28 Ogos lalu.

Bersandarkan beberapa klip youtube sebelum ini, didapati beberapa pemimpin Umno mendalangi aksi ekstrem tersebut.

Bagaimanapun, hadirin yang menyertai dialog hari ini kebanyakannya mendakwa mereka bukan ahli Umno, tetapi penduduk tempatan Seksyen 23.

Dari insiden kepala lembu berdarah sehinggalah perang mulut yang berlaku hari ini merupakan suatu lagi cabaran rakyat Melaysia yang terdiri oleh pelbagai bangsa, agama dan taraf sosial; selepas negara mengecapi kemerdekaan kali ke-52 tahun.
-harakahdaily




2 ulasan:

CUPING MERAH berkata...

inilah yang dikatakan umno...

lebih kuah daripada sudu..

Abah berkata...

Nampak sangat tidak bertamadunnya segelintir penduduk Malaysia setelah 52 tahun Merdeka. Ini adalah hasil Manusia-manusia yang dilahirkan mengikut Acuan kefahaman UMNO@BN.