29 Sep 2009

Era Najib Altantuya : BN Tiada Calon Wibawa, Letak Isa Samad Di Bagan Pinang

Sebagaimana yang dijangka, Perdana Menteri Najib Razak memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Najib memilih seorang calon yang bersih dari rasuah politik bagi mengembalikan kredibiliti parti itu di mata rakyat.

Isa disabit atas kesalahan merasuah perwakilan untuk pemilihan Umno pada tahun 2004 dengan menganjurkan pertemuan dengan perwakilan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Beliau dilucutkan jawatan naib presiden dan digantung selama tiga tahun. Tempoh itu berakhir pada Jun tahun lalu.

Isa adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan dicalonkan untuk Bagan Pinang atas reputasinya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan untuk lebih dua dekad serta berpengalaman luas dalam politik negeri itu.

Dalam memilih Isa, Najib dilihat mengambil "jalan selamat" untuk memastikan Umno mengekalkan kerusi tradisinya itu dan tidak kalah pada pilihanraya kecil di Semenanjung untuk kali kelapan berturut-turut sejak pilihanraya umum 2008.

Umno-BN sebelum ini tewas pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Isa diletakkan di Bagan Pinang bersandarkan popularitinya di kalangan masyarakat tempatan di situ walaupun kepemimpinan Umno itu akan dilihat sekali lagi sebagai tidak serius dalam membersihkan parti itu daripada gejala politik wang.

Pemilihan Isa sebagai calon BN untuk Bagan Pinang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas tidak akan melancarkan serangan peribadi terhadap Tan Sri Isa Samad yang diumumkan sebagai calon Umno-Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar bagaimanapun berkata Umno dan Isa harus terima hakikat bahawa isu kewibawaan seseorang calon dan parti sendiri akan menjadi fokus pada setiap pilihanraya.

"Ya bagi saya itu adalah hak UMNO dan Barisan Nasional dan saya dari awal saya katakan kita tidak akan membangkitkan soal-soal peribadi tetapi yang kita bangkitkan ialah soal integriti di bawah seseorang yang seharusnya mesti dilihat sebagai orang yang cukup bersih".

Sebelum ini, ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menggesa Presiden Umno Najib Razak memilih seorang calon yang bersih dari rasuah politik bagi mengembalikan kredibiliti parti itu di mata rakyat.

Bagaimanapun Najib memilih jalan selamat dengan meletakkan Isa untuk bertanding kerana beliau popular di kawasan itu sungguhpun kredibilitinya tercalar.

"Hari ini yang membangkitkan isu calon Isa ini bukan siapa tetapi dari bekas Perdana Menteri dan bekas presiden UMNO yang begitu kuat mengecam jika UMNO dan Barisan Nasional memilih calon Isa sendiri" tambahnya.

"Terpulanglah kepada rakyat sekarang ini apabila rakyat melihat bahawa selama ini UMNO-Barisan Nasional bercakap soal integriti, soal kredibiliti tetapi ternyata sekarang ini mereka memilih calon yang tidak mempunyai integriti dan kredibiliti yang tinggi. Dan saya melihat bahawa inilah masa yang terbaik untuk rakyat di Bagan Pinang ini untuk menolak Barisan Nasional kerana Barisan Nasional sudah tidak ada calon lagi".

Malam ini PAS pula akan mengumumkan calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Pengumuman akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tentera tidak terima rasuah...perajurit menentang rasuah.

C++ berkata...

Bhai...

Satu pilihan yang paling tepat untuk UMNO/BN ... hehehe