Tiada kena-mengena dengan kami...itu perebutan kuasa dalaman parti semata-mata," demikianlah luahan rakyat biasa terhadap kemelut MCA ketika ditemuramah Mandarin 7 (buletin ntv7), semalam.
Kemelut MCA diberi liputan yang luas dalam media bahasa Cina, dari imbasan sejarah pergelutan kuasa MCA, hinggalah analisa senario politik terkini, misalnya sokongan siapa yang mendahului. Namun, andaian bahawa seluruh masyarakat Cina berprihatin tentang MCA nyata tidak tepat, apabila temuramah ntv7 yang tersiar semalam menunjukkan sebahagian besar komuniti Cina semakin muak dengan apa yang berlaku dalam MCA.
Dari sinis ke alpa
Demikianlah perubahan sikap masyarakat Cina sebelum dan selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Masyarakat Cina walaupun bersifat kritikal, sinis terhadap MCA selama ini, tetap akur kepada realiti bahawa MCA merupakan parti komponen utama dalam kerajaan, yang kononnya "memperjuangkan kepentingan orang Cina".
Namun, selepas PRU ke-12, segala-galanya berubah. Masyarakat Cina merasakan kepentingan kaum tersebut juga terbela, walaupun tanpa kehadiran MCA. Malah, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan di beberapa negeri, misalnya Perak, komuniti Cina merasakan hak mereka lebih terbela berbanding zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Perubahan psikologi ini telah diterjemahkan ke dalam undi pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, memperlihatkan 85% pengundi Cina mencurahkan undi mereka kepada seorang calon PAS, Mohd. Nizar Jamaluddin. Malam 7 April 2009 ini merupakan petunjuk yang paling nyata, bukan sahaja penolakan komuniti Cina terhadap UMNO, tetapi juga terburainya propaganda daripada MCA terhadap PAS.
Kewujudan MCA semakin hilang relevannya, malah kehadirannya kadang-kala mencungkil rasa "jijik" dari komuniti Cina sendiri, misalnya Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mah Han Soon yang terlibat dalam rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak. Mah Han Soon menjadi sasaran kedua yang dipersalahkan masyarakat Cina selepas Hee Yit Foong, bekas ADUN DAP yang melompat parti.
Chua dakwa Ong panggilnya "anjing"
Pergelutan MCA berlanjutan setelah "dinasti Ong Ka Ting" menutup kedai, apabila Presiden barunya, Ong Tee Keat berbalah dengan timbalannya, Chua Soi Lek. Dalam detik saat MCA meronta-ronta untuk memberi nafas baru kepada parti yang hampir lemas itu, letupan diledakkan Ong sendiri dengan memecat Chua dari partinya.
Namun, apa pula alasan sebenarnya pemecatan ini? Dalam persepsi kebanyakan orang, Chua dipecat hanya kerana terlibat dalam skandal seks yang terdedah pada akhir tahun 2007. Tetapi, Chua adalah Timbalan Presiden yang dipilih oleh 1,115 orang perwakilan, selepas mengetahui keterlibatan Chua dalam skandal tersebut.
Tohmahan dilemparkan secara liar sebermulanya perbalahan ini. Chua digelar sebagai "doktor oral seks" dalam laman web yang dilihat pro-Ong, malah semalam Chua mendakwa bahawa Ong memanggil dirinya "anjing" di depan perwakilan MCA. Ong pula tidak terlepas dari cemuhan, dikaitkan dengan skandal yang bukan sahaja melibatkan wang, tetapi juga seks.
Gagal menggarap imaginasi bukan-Cina
Jadi, laporan ntv7 semalam mungkin tepat, apabila rakyat biasa semakin muak dengan kemelut parti ini. Secara terus-terang mereka mengaku bahawa pergelutan ini tidak kena-mengena dengan kepentingan diri mereka, memandangkan masalah yang paling mendesak sekarang ialah krisis ekonomi, dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Jikalau masyarakat Cina turut muak dengan MCA, apa pula masyarakat bukan Cina?
Daripada reaksi pemimpin parti komponen BN, misalnya UMNO, nyata MCA hanya penting untuk menjaga kepentingan BN. Sekiranya dihalusi hujah mereka, tiada penyelesaian yang disyorkan, cuma berharap "diselesaikan secepat mungkin agar tidak menjejaskan BN".
Dengan kata lain, MCA hanya penting untuk mereka yang mengambil berat kepentingan BN, tanpa mengambil kira siapa yang dinobatkan atau siapa yang digulingkan. MCA begitu "asing" untuk mereka kerana kejatuhan Ong mahupun Chua tidak memberi apa-apa makna untuk kebanyakan bukan Cina.
Senario sedemikian merupakan krisis yang lebih besar untuk MCA, kerana tiada pemimpin dari kalangan MCA yang mampu menggarap imaginasi bukan Cina. Tiada pemimpin MCA yang betul-betul diterima semua kaum, dan diiktiraf sebagai pemimpin rakyat Malaysia.
Berbanding dengan pemimpin kaum Cina dalam PR, misalnya, imej Tian Chua sebagai pejuang reformasi terpahat dalam ingatan masyarakat Melayu sejak tahun 1998 lagi. Malah, Lim Guan Eng antara pemimpin DAP yang paling disenangi masyarakat Melayu setelah beliau dipenjara kerana "membantu" seorang anak gadis Melayu bawah umur 15 tahun.
Bukan itu sahaja, lapisan pemimpin muda berkaum Cina PR semakin menonjol selepas PRU ke-12, antaranya speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang berjaya memartabatkan DUN dan mereformasikan sistem legislatif. 【Reformasi Sistem Legislatif】
Relevan MCA terhakis
Lebih-lebih lagi, model politik baru yang dianjurkan PR telah memberi ruang yang secukupnya, bukan hanya untuk memperjuangkan kepentingan orang Cina, tetapi penggubalan dasar yang mengambil kira semua kaum, dan pemantapan sistem demokrasi. Justeru itu, kepercayaan terbina bukan sahaja antara pemimpin dalam PR, malah antara rakyat dengan pemimpin.
Memandangkan kelebihan sedemikian yang dikongsi bersama PR, MCA semakin tidak relevan bukan sahaja kepada komuniti Cina khususnya, malah masyarakat Malaysia pada keseluruhannya. Ong Tee Keat mungkin terkenal dengan ketegasannya dalam siasatan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), namun apakah pemimpin seperti Liow Tiong Lai, Kong Cho Ha, Ng Yen Yen, Wee Ka Siong dan lain-lain tertonjol sebagai pemimpin Malaysia?
Maka pergelutan ini memperlihatkan bagaimana gelanggang politik MCA semakin mengecut, berbanding dengan parti komponen dalam PR yang semakin berkembang luas. Pengecutan gelanggang politik ini masih tidak disedari sesetengah pemimpin MCA, dan apabila dicelarukan pula dengan pergelutan kuasa yang bersinambungan, maka kita dapat menjangkakan penonton akan beredar, sebelum pentas dipenuhi dengan sampah-sarap yang bertaburan.
Oleh: Lim Hong Siang
( Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu)

1 ulasan:
Rakyat johor tak muak ker dengan MCA ini kerana MCA menang kerusi banyak hanya di johor lepas nin kena fikirlah
Catat Ulasan