30 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Selamat Jalan Chua.. Belum lagi

Apabila Majlis Presiden MCA memecat Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Khamis lalu, umum tidak sangat melihat tindakan itu daripada sudut moral. Isunya bukan VCD berstatus ‘aduhai-aduhai’ yang tersebar kira-kira dua tahun lalu.

Lebih ramai yang bersetuju bahawa usaha membuang bekas Menteri Kesihatan itu adalah masalah dengan Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri. Bukanlah satu rahsia bahawa sejak Chua terpilih sebagai orang No 2 parti dalam pemilihan lalu, rasa tidak sebulu antara No1 dan No2 memang wujud.

Chua yang mengaku bersalah atas perlakuan seks itu sudah pun meletakkan semua jawatannya dalam parti juga dalam kerajaan. Dalam keadaan ‘terhina’ itu pun beliau masih popular dan menerima simpati apabila perwakilan memilihnya sebagai orang kedua penting dalam parti.

Chua yang terkenal dengan watak lemah lembut (tetapi tegas dan berani) tidak banyak cakap, mengetahui disenangi oleh sebilangan besar anggota parti peringkat akar umbi. Tentu sekali ini tidak menyenangkan Ong.

Ong beruntung sebab Chua ada kes yang boleh dihangatkan semula. Maka isu VCD seks yang dirakam rompak dan disebarkan itu adalah cara terbaik untuk orang tua itu dinyahkan dari parti. Selamat jalan, Dr Chua!

*BETULKAH selamat jalan? Belum pasti! Benar, di atas kertas orang tua itu sudah tidak ada kena mengena dengan parti terbesar kaum Cina itu. Sepatah kata Chua sendiri, dalam nada sayu: “Berikan saya peluang untuk menjadi orang tanpa parti”

Dengan status ‘orang tanpa parti itu’, ternyata belum membuatkan Ong boleh tidur lena. Masih ada kebimbangan dalam senyuman manis si No 1 Mungkin lebih bimbang dari sebelumnya.

Kebimbangan itu bukan tidak bersebab. Hakikatnya ialah hanya beberapa jam setelah Majlis Presiden menjatuhkan hukuman ‘pancung’, semangat atau ‘hantu’ orang tua itu mula meresap di segenap tempat.


Bukan semua anggota MCA suka tindakan Majlis Presiden. Suara-suara menentang sudah kedengaran. Ada gerakan memungut tanda tangan satu pertiga daripada 2,500 perwakilan untuk mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti.

Menurut Datuk Theng Book yang mengetuai Jawatankuasa ‘Selamatkan MCA’, EGM itu perlu diadakan untuk mengembalikan semula keanggotaan Chua, dan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Ong.

Sekiranya seminggu dua ini Theng Book berjaya dalam kempen memungut tanda tangan yang mencukupi, EGM itu akan diadakan. Ketika itu keadaan mungkin berubah: Kata-kata ‘selamat jalan!’ bukan lagi kepada Chua, tetapi kepada Ong!

* THENG Book hanyalah anggota biasa MCA Bahagian Puchong. Sekiranya usaha orang kecil itu sudah menggetar jantung No 1, ada lagi reaksi lebih membimbangkan, kali ini bukan dari anggota biasa.

Mula-mula enam bahagian MCA di negeri Johor meminta Biro Disiplin parti melucutkan sementara kuasa Presiden yang kini disandang oleh Ong.

Bahagian-bahagian Pontian, Tanjung Piai, Tebrau, Gelang Patah, Kota Tinggi dan Pulai berpendapat tindakan memecat Chua tidak adil. Timbalan Presiden itu dipilih oleh 1,115 perwakilan, tentulah tidak wajar sekiranya pemecatan itu dilakukan oleh hanya beberapa anggota dalam biro berkenaan.

Tidak sahaja mahu kuasa Presiden ditarik sementara, mereka juga mahu diadakan siasatan berhubung tuduhan kononnya MCA menerima derma RM10 juta, juga mengenai pengumpulan dana RM100 juta.

Ong sudah mengemukakan saman RM500 juta berhubung isu derma RM10 juta. Tetapi isu ini tetap akan digunakan oleh pihak lain dalam parti untuk mencederakan Ong. Sama seperti VCD, isu derma juga melibatkan soal maruah. Soalnya ialah maruah siapa yang mesti dipertahankan? Ini ada kena mengenai dengan MCA secara keseluruhan.

Selain enam bahagian di Johor, sepuluh bahagian parti itu di Kedah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemecatan Chua. Mereka mendesak EGM diadakan.

Mungkin sehari dua ini akan ada lagi bahagian-bahagian MCA seluruh negara menyuarakan tentangan yang sama. Tentu sekali suara-suara menentang seperti itu akan membuatkan tidur si No 1 diganggu mimpi-mimpi ‘hantu’.

*BELUM dapat dipastikan bagaimana penghujung drama separuh seram ‘hantu’ MCA. Bagaimanapun kemelut dalam kelambu yang melanda parti itu sudah memberi kesan di luar kelambu.

Sebagai teman sekatil asal dan paling lama dengan Barisan Nasional, krisis dalaman MCA tentu sekali menjejaskan BN. Memang yang terjadi adalah pergaduhan dalam kelambu MCA, tetapi sekiranya dibiarkan, ia akan mengoyak-rabakkan kelambu BN sendiri.

Pada ketika nyamuk tiruk dan nyamuk aedes membiak dan menyebarkan berbagai-bagai penyakit sekarang, semua orang kena menjaga kelambu supaya jangan koyak atau bocor. Sedikit sahaja kelambu bocor, aedes boleh masuk, dan semua yang di dalam kelambu mungkin terkena demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

Sebelum ini kita sering mendengar andaian dan tuduhan kononnya Pakatan Rakyat (PR) sedang dilanda krisis yang mungkin membawa kehancuran pakatan pembangkang itu. Kocak-kocak air yang terjadi dalam PKR, PAS dan DAP dianggap sebagai bunga-bunga perpecahan PR.

Sebenarnya apa yang terjadi dalam komponen BN pun tidak kurang kocaknya. Sebelum krisis dalam MCA, beberapa komponen lain BN pun dua kali lima juga. MIC bergaduh sama sendiri. PPP gaduh juga. Gerakan sudah hilang punca.

Tidak kira kelambu PR atau kelambu BN semua sudah koyak rabak. Bukan sahaja nyamuk tiruk dan nyamuk aedes boleh masuk, babi tonyok pun boleh meredah dalam kelambu. Kalau babi sudah masuk dalam kelambu maka bahayanya bukan setakat aedes malah H1N1. Percayalah kelambu bukan untuk H1N1, tetapi untuk B1N1.

Dengan kelambu-kelambu yang koyak rabak ini, ke mana sebenarnya Malaysia hendak dibawa?

* RABAK atau tidak, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 esok. Sebagai anak Malaysia jati, Tok berasa amat bangga kita sudah merdeka lebih setengah abad ini. Tok sayangkan negara ini, sumpah!

Sudah lebih 50 tahun menyedut udara merdeka, kita masih tidak habis-habis bercakap mengenai perpaduan, jati diri, nilai budi, patriotisma, dan lain-lain. Kita dikatakan masih gagal dalam benda-benda ini. Betulkah kita gagal?

Tok tidak fikir kita gagal dalam hal perpaduan. Sejak Tok kecil dulu tidak ada langsung masalah perpaduan kaum. Tok berkawan dengan Cina, India, Jawa, Minang, Punjabi dan lain-lain keturunan.

Bila Tok masuk universiti, pelajar Cina, India dan lain-lain kaum semua baik-baik. Kita makan sama di kantin, mentelaah sama di perpustakaan, bersukan sama. Malah ada kawan Tok bercinta dengan pasangan berlainan kaum. Tidak ada masalah.

Bila sudah kerja dan jadi orang tua, Tok tidak nampak ada perpecahan antara kaum. Kita boleh hidup dan bekerjasama dalam kebanyakan hal, saling hormat-menghormati.

Bila ada pilihan raya, kita pangkah calon yang kita suka, tanpa mengira dia Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayun dan lain-lain. Tidak ada masalah langsung. Tanpa kempen-kempen dan hubaya-hubaya pun kita memang sudah ‘ngam’ dan ‘kamceng’.

Ada pun yang kata bangsa kita hancur, bangsa kita berpecah, kaum-kaum tidak bersatu padu, bukan kita tetapi orang-orang politik sendiri. Orang-orang politik yang sibuk kata kita tidak bersatu padu. Jadi, jangan dengar sangat cakap orang politik. Kita teruskan hidup kita macam dulu-dulu. Beres!

* TOK hairan orang jadikan bendera untuk mengukur semangat patriotik. Sehingga ada andaian bahawa siapa yang tidak memasang Jalur Gemilang di rumah atau di kenderaan akan dianggap tidak patriotik.

Dangkal sangatlah kita sekiranya bendera dijadikan ukuran semangat cintakan negara. Tok tidak pernah pasang bendera di rumah. Pada kereta pun Tok tidak pasang bendera, ganggu pandangan hilang tumpuan masa memandu. Tetapi Tok tetap sayang negara ini.

Jangan bendera sahaja jadi ukuran semangat patriotik. Banyak lagi benda-benda dan nilai-nilai lain yang terserap dalam jiwa (tanpa orang paksa) dan menjadikan kita sayangkan negara bertuah ini.

Baru-baru ini Tok berpeluang masuk ke masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, masjid kedua dan terindah di Putrajaya. Hebat bukan main reka bentuknya. Tetapi, ada satu benda yang Tok kurang berkenan. Kompleks itu terbahagi kepada dua zon utama. Satu dinamakan kompleks masjid, satu zon lagi dinamakan ‘Kiblat Walk’.

Kenapa ‘Kiblat Walk’? Kenapa mesti guna perkataan Inggeris? Apakah tidak ada perkataan Melayu? Apakah salah sekiranya digunakan ‘Laluan Kiblat’, ‘Dataran Kiblat’ dan sebagainya? Kenapa mesti ‘walk’? Apakah hendak samakan dengan ‘Bintang Walk’?

Cukuplah istilah ‘presint’ dan lain-lain istilah asing digunakan di Putrajaya. Dalam masjid pilihlah istilah kita. Tukar ‘Kiblat Walk’. Ini pun ada kena mengena dengan semangat patriotik! - Tok Perak, SH

Tiada ulasan: