14 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Salleh Man Calon PAS Permatang Pasir

PAS mengumumkan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir minggu depan.

Salleh, 52, pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, Mac 2008.

Namanya diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir dekat sini sebentar tadi.

Kerusi itu disandang oleh wakil PAS, Datuk Hamdan Abdul Rahman, yang telah meninggal dunia hujung bulan lalu.

Kira-kira lima jam terdahulu Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan akan menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Rohaizat, 38, merupakan penasihat undang-undang dan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996.

Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Permatang Pasir dekat sini kira-kira 5.30 petang tadi.

"Setelah ambil kira pandangan semua pihak, calon yang paling layak, boleh diterima rakyat, setelah dibincang dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kini berada di luar negara, didapati calon yang paling sesuai ialah Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman," kata beliau ketika mengumumkan nama calon dan melancarkan jentera BN di pusat gerakan induk BN di Bukit Merah, Permatang Pauh dekat sini petang ini.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Permatang Pasir dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. -mstar


BIODATA MOHD SALLEH MAN

Ustaz Mohd Saleh Man dilahirkan di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai pada 16hb, Februari 1954. Kini beliau mempunyai seorang isteri, Puan Siti Fatimah Othman dan hasil perkongsian hidup mereka berdua beliau dianugerahkan lima orang cahaya mata.

Berpendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Permatang Buluh, Kepala Batas kemudian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas. Selepas belajar di situ, beliau beralih arah ke Madrasah Khariah Islamiah, Pokok Sena pada tahun 1970-78 untuk mendalami ilmu agama.

Kemudian ke Maktab PGAS, Guar Perahu, Bukit Mertajam dan seterusnya ke Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan dalam bidang Syariah. Selepas itu menyambung pelajaran ke Akademi Islam Univesiti Malaya (UM) dalam jurusan yang sama sehingga memperolehi ijazah.

Dalam karier politik pula beliau bermula sebagai Ketua Pemuda PAS Cawangan Sungai Dua setelah kembali dari belajar pada tahun 1986 dan seterusnya menjawat jawatan Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor.

Selang beberapa penggal beliau diberikan kepercayaan pula menerajui PAS Tasek Gelugor sebagai Yang DiPertua (YDP).

Beliau juga pernah diberikan amanah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri dan seterusnya sebagai Timbalan Pesuruhjaya pada awal 1990 an.

Ustaz Saleh Man juga merupakan tokoh yang rapat dengan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman maka tidak hairan beliau sanggup jatuh bangun bersama PAS walaupun kalah dalam setiap pilihan raya umum yang bermula pada 1986 (Dun Sungai Dua), 1990 (Sungai Dua), 1996 (Parlimen Tasek Gelugor/Dun Permatang Berangan), 2004 (Pinang Tunggal) 2008 (Sungai Dua).





Tiada ulasan: