23 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Pecat Pengerusi SPR Jika Benar Wujud Kes Pengundi Hantu

Pakatan Rakyat (PR) mahu kerajaan memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekiranya benar dakwaan wujud ‘kakitangan hantu’ dalam suruhanjaya itu yang yang bersubahat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pembangkang untuk memindahkan pengundi di beberapa negeri.

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, Barisan Nasional (BN) tidak perlu menjadikan isu ini sebagai satu bahan kempen dalam pilihan raya kecil ini.

“Sebagai contoh, dalam perlawanan bola sepak, kita tahu pengadil ini telah dibeli, takkan kita nak tunggu sehingga wisel penamat baru kita cakap dah ada bukti,” katanya kepada pemberita di Markas Angkatan Muda, semalam.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa wujud ‘kakitangan hantu’ dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersubahat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pembangkang untuk memindahkan pengundi di beberapa negeri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menggesa SPR menubuhkan satu suruhanjaya ataupun jawatankuasa khas bagi membersihkan isu pengundi hantu yang telah wujud pada pilihan raya lalu.

“Saya percaya SPR menjalankan tugas dengan telus, malah saya turut ada menerima aduan menyatakan dalam SPR ada dalang-dalang tertentu. Ada 'hantu' dalam kakitangan SPR yang membantu memindahkan pengundi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, sekiranya Khairy mempunyai bukti, beliau perlu mengemukakan laporan.

“Kita mahu beliau membuat laporan kerana sebelum ini kita telah mengemukakan laporan kita mahu satu pembersihan secara menyeluruh dalam pendaftaran pengundi," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya ada menjumpai dua buku yang menyerang kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim di Permatang Pasir, beliau berkata, setakat ini belum lagi.

“Buku tanpa penulis dan penerbitnya berjaya dikutip oleh anggota Angkatan Muda PKR di beberapa tempat tumpuan ramai di Petaling Jaya, Subang dan Damansara dua minggu lepas,” katanya. -SH

Tiada ulasan: