Saya telah dijemput oleh Sdr Johari Shafie dan badan perhubungan Parti Keadilan Rakyat Perlis untuk berceramah di Kangar pada malam semalam (8 Ogos). Apa yang menarik hati saya adalah minat dan semangat yang ditunjukkan oleh KeADILan Perlis, walau pun setakat ini belum memenangi sebarang kerusi dan kini sedang dalam proses untuk menambah jumlah ahli.
Saya gembira melihat kesungguhan dan komitmen. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan Sdr Firdaus, seorang anak muda dari Pulau Pinang yang aktif dan berminat dalam politik. Memang cabaran besar dan tidak mudah bagi KeADILan untuk mencari pengaruh dalam masa yang singkat.
Tetapi saya melihat bahawa KeADILan semakin bertapak di hati rakyat hari demi sehari. Itulah masa depan KeADILan kerana daya tarikannya adalah “keadilan”. Bukan sahaja di Perlis tetapi di mana-mana juga, rakyat khususnya orang Melayu yang berkelayakan dan berpengalaman sudah “masak” benar dengan UMNO yang semakin celaru.
Mereka yang sedar sudah sedia untuk berhijrah mencari wadah perjuangan yang lebih sesuai untuk semua; malah lebih baik dari UMNO dalam menjamin hak dan kepentingan orang Melayu. Melayu dan bukan Melayu di bandar dan luar bandar kini menaruh harapan supaya KeADILan dapat memperjuangkan dasar yang konkrit dan bernas.
Malam saya di Kangar, saya berucap ringkas mengenai betapa mustahaknya kita mengutamakan isu-isu penting dalam mengukuhkan KeADILan di samping menjayakan Pakatan Rakyat. Dalam politik, memang tak boleh dielakkan, akan ada bermacam isu dan karenah pemimpin serta ahlinya. Kalau tak berhati-hati, kita boleh tenggelam dek kekalutan menyelesaikan tomahan, kehendak dan desakan pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Dalam keadaan yang kalut ini, kita sering lupa perkara-perkara yang mustahak serta perjuangan pokok kita. Bagi saya, itu cara yang merugikan.
Saya mencadangkan supaya kita semua dalam Pakatan Rakyat menentukan focus kita dan mengenal pasti perkara-perkara pokok yang boleh dan patut dipersetujui bersama.
Sesudah itu kita gubal dasar dan perancangan yang akan kita laksanakan apabila diberi mandate oleh rakyat untuk mentadbir negara nanti. Dengan cara ini rakyat boleh menilai parti atau gagasan mana yang lebih berupaya untuk menerajui kerajaan pusat. Jika kita tidak bergerak sekarang, sampai bila-bila pun kita akan terkandas dengan remeh politik.
Saya mencadangkan empat (4) perkara pokok, iaitu:
Pertama, Pakatan Rakyat mesti sanggup menyatu padukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. Pakatan rakyat mesti hidup dan kembalikan impian Tengku Abdul Rahman dan pemimpin kemerdekaan yang lain. BN telah gagal dalam hal ini. Pakatan mesti menolak amalan diskriminasi antara rakyat dengan menggubal satu undang-undang anti-diskriminasi. Ini sahajalah yang boleh menyelamat dan memajukan negara kita.
Perlu saya tegaskan bahawa cadangan ini tidak menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera secara khusus yang telah ditetapkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk diskriminasi yang tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan. Jangan kita dengar fitnah UMNO dan Utusan. Rakyat bukan Bumiputera sejak Merdeka tak pernah menuntut supaya Perkara 153 dihapuskan. Itu adalah persefahaman rakyat antara kaum di Malaysia.
Dengan itu, Pakatan Rakyat akan terus membela keistemewaan bumiputra dan dalam masa yang sama menjamin hak bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk memastikan orang Cina dan India tidak boleh mendiskriminasi orang Melayu, dan Melayu dan kerajaan Melayu tidak boleh mendiskriminasi Cina dan India serta kaum-kaum lain.
Maksudnya tiada siapa boleh buli atau tindas sesiapa kerana kita akan mempunyai undang-undang yang akan menghalang kezaliman itu. Hanya hal spesifik yang termaktub di bawah Perkara 153 akan terus dikekalkan. Kita tahu Perdana Menteri yang beria-ia dengan 1Malaysia tidak berani dan tidak sanggup menerajui UMNO untuk bersetuju dengan cadangan ini. Hanya Pakatan Rakyat akan mampu melaksanakannnya.
Kedua, Pakatan Rakyat mesti menggubal satu dasar ekonomi yang mempuyai ciri-ciri “safety net” iaitu menjamin perlindungan kepada rakyat berpendapatan rendah untuk memperolehi pendapatan yang cukup, kemudahan pemilikan tanah dan rumah, bekalan makanan dan kemudahan asas yang lebih baik dari apa yang dijanjikann oleh BN sekarang. Negara kita bukan negara miskin. Malah kita semua sepatutnya hidup makmur dan sejahtera kalau kita kurangkan pembaziran dan kebocoran kerana rasuah dan penyelewengan. Pakatan tetap komited untuk basmi rasuah kerana kita sedar negara akan mempunyai cukup wang bagi membiayai peruntukan-peruntukan ini.
Ketiga, Pakatan Rakyat mesti menggubal dasar pelajaran yang lebih sesuai dengan keperluan negara supaya orang Melayu dan kaum Bumiputera khususnya mempunyai bakat dan kemampuan untuk lebih mampu bersaing atau kompetitif. Saya lihat sistem pelajaran sekarang hanya menumpukan kuantiti dan bukan kualiti, selain Menteri yang selalu cakap besar sahaja. Antara cadangan saya ialah kajian yang menyeluruh untuk memperbaiki kelemahan mata pelajaran yang diajar, mutu guru dan tenaga pengajar termasuk dasar pemilihan kemasukan mereka untuk dilatih sebagai guru serta penglibatan ibu bapa dengan pihak sekolah untuk menentukan mutu pelajaran yang terbaik kepada anak-anak kita. Kita tahu bajet pelajaran amat besar tetapi ke mana perginya wang itu semua jika anak-anak kita masih tidak mendapat pendidikan yang baik di sekolah, kolej dan universiti. Rombakan besar-besaran perlu dibuat dari peringkat tadika hingga ke institut pengajian tinggi.
Keempat, Kerajaan Pakatan Rakyat mesti bebas dan tidak sentiasa menakutkan rakyat. Ia perlu bersikap terbuka dalam mendengar dan menerima kritikan rakyat. Ini hanya boleh berlaku dengan mewujudkan kerajaan yang demokratik dan bebas. Ini bererti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta melonggarkan peruntukan yang memberi terlalu banyak kuasa kepada pihak berkuasa seperti yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan banyak lagi undang-undang yang tidak mesra rakyat. Ini juga bererti institusi kerajaan seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Mahkamah perlu reformasi besar supaya mereka lebih adil, jujur, profesional dan berkemampuan untuk menjaga kepentingan rakyat. Hari ini kebanyakan institusi dilihat sebagai alat kerajaan dan bukannya badan melindungi rakyat. Negara yang berteraskan undang-undang atau mengamalkan “rule of law” mampu menggubal undang-undang yang adil dan saksama supaya rakyat dapat merasai dan memahami erti sebenar keluhuran undang-undang.Penubohan Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court juga perlu dipertimbangkan.
Saya yakin apabila Pakatan Rakyat bersetuju dengan matlamat pokok di atas, keyakinan orang ramai akan bertambah. Ia akan membuat para pemimpinnya sibuk berusaha mengisi matlamat tersebut dan tidak akan ada masa untuk bertengkar dalam hal yang remeh-temeh. Apabila kita tumpukan usaha kita kepada soal dasar dan pokok, maka mudahlah kita menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin dalam Pakatan. Dan UMNO sukarlah sadikit untok masok jarum. Dengan itu, rakyat terutamanya orang Melayu tidak akan mudah termakan fitnah UMNO dan Utusan yang kini rancak untuk memecahbelahkan perpaduan kita. Akhirnya rakyat sendiri akan menolak hasutan perkauman Utusan yang cuba membakar api perkauman Melayu.
Kalau kita tumpukan kepada perkara pokok, rakyat juga akan merasa selesa bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya parti “anti ISA” sahaja. Rakyat ingin melihat gabungan alternatif yang mampu memerintah dengan adil dan dalam masa yang sama memajukan negara kita. Rakyat mahu melihat bagaimana kita mampu menubuhkan kerajaan. Pakatan Rakyat mesti menjadi gagasan yang ada isi atau “substance” dengan dasar yang baik dan berani. Rakyat tidak mahu melihat Pakatan sebagai kumpulan yang hanya berkerjasama sewaktu pilihan raya, tetapi masing masing mempunyai perjuangan politik yang usang saperti UMNO. Mereka mahu melihat mulai sekarang bayangan dasar kerajaan Pakatan yang mampu mengisi dan menggantikan yang sedia ada. Pemerintahan negara secara UMNO dan BN sudah semakin tidak disukai ramai. Jadi kita dalam Pakatan perlu bertanggunggjawab menyahut seruan dan harapan rakyat. Kita buktikan Muhiyuddin salah bila dia kata Pakatan akan hancur tahun depan.
Saya bersyukur kerana pertemuan saya dengan kawan-kawan di Kangar pada malam itu banyak memberi saya inspirasi yang sebenarnya diilhamkan sendiri oleh rakyat yang mahukan perubahan baik untuk negara kita. Dari aspirasi rakyat, saya tahu mereka kadang-kadang bosan dengan telatah sesetengah pemimpin Pakatan tetapi jiwa mereka tetap mahu kepada kerajaan alternatif yang lebih baik dari UMNO dan BN. Inilah cabaran buat Pakatan. -myzaidibrahim
1 ulasan:
SAYA SOKONG DATO KITA AKAN IKUT APA YANG DATO BERIKAN SEMANGAT KEPADA KAMI. HIDUP PR HIDUP PKR
Catat Ulasan