25 Jul 2009

Pasca Manek Urai : Apa Kisah Tentang Kelab Penyokong PAS?

Sekalipun sudah hampir dua bulan Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 berlalu dengan ucapan dasar Presiden Parti menyatakan Kelab Penyokong PAS akan diinstitusikan menerusi pindaan perlembagaan PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam PAS, namun hingga kini usaha ke arah itu menampakkan seperti tidak ada kesungguhan parti memperkasakan kelab berkenaan.

Kita menjadi hairan dengan sikap PAS yang terlalu lemah dewasa ini apa tah lagi semenjak isu "Kerajaan Perpaduan" yang menimbulkan bahana yang tidak kecil kepada parti, PAS seperti kehilangan halatuju dan tidak menentu di dalam menentukan arus perjuangannya.

Masyarakan bukan-Islam yang pada setiap kali pilihanraya kecil diadakan begitu bersemangat, tetapi seperti ianya tidak dihargai oleh parti yang melanbat-lambat proses menginstitusikan Kelab Penyokong PAS sepertimana yang diwarwarkan di dalam muktamar yang lalu.

Hal ini begitu mengecewakan kepada bukan sahaja ahli-ahli kelab, namun kepada ahli PAS seluruhnya betapa pimpinan yang telah diberikan mandat untuk memimpin parti seperti lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan diri dari kepentingan parti dan jemaah.

Sekalipun deklarasi dari Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009, di Dewan Majlis Daerah Klang pada bulan Mei lalu telah menyatakan satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan bagi melihat aspek yang memungkinkan kelab itu diserap sebagai sayap parti dalam tempoh setahun, namun perjalanannya seperti akan mengambil masa 10 tahun untuk di materialisasikan.

Kita hairan mengapa ia perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat kajian sedemikian sekalipun dikatakan ia menyentuh soal perlembagaan namun tidak bererti ianya perlu dilengahkan dengan mengambil kira senario politik yang kian robust dan temponya yang bergerak cepat tanpa mengambilkira keadaan gelombang politik yang tidak pedulikan pasang surutnya air di lautan.

Di era digital ini sepatutnya hal-hal memperkemaskan jentera parti sudah dapat disempurnakan dengan memendekkan jarak waktu yang dahulunya terpaksa mengambil masa yang panjang, tetapi PAS masih seperti berada di dalam era teknologi lapuk dengan mentaliti kuno dengan ketidak-upayaannya menangani masalah dalam waktu yang singkat.

Ini memberikan impak negatif kepada perjuangan. Pemimpin PAS perlu dikejutkan dari lenanya supaya meletakkan mereka yang berwibawa di barisan depan agar PAS dapat bersaing seiring sejalan dengan rakan-rakan di dalam komponen Pakatan Rakyat yang lain.

Aktiviti-aktiviti parti terlalu superficial sifatnya dengan penumpuan kepada program ceramah yang kerap dipersoalkan keberkesanannya kerana keputusan Manek Urai menjelaskan sekalipun program ceramah PAS dihadiri oleh 5,000 orang dan ceramah parti lawan di kampung bersebelahan hanya dihadiri 50 orang, kita hanya mampu meraih 65 undi majoriti.

PAS perlu kreatif dan innovatif. PAS perlu menampilkan aktiviti yang lebih berkualiti dengan memikirkan peningkatan dari sudut memperkasakan ahli khususnya dan mensejahterakan rakyat amnya.

Telah berlalu hari-hari dimana perancangan dan pengurusan parti hanya dilakukan di saat menjelangnya pilihanraya, tetapi kerja untuk parti perlu dilakukan pada setiap saat yang tiba di dalam kehidupan seharian kita.

Procrastinasi (perbuatan melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan) adalah merbahaya supaya nanti jangan dijadikan diri seperti buaya-buaya yang disuruh beratur diketuk kepalanya oleh sang kancil untuk dia memakan buah di seberang lautan.

Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.


Tiada ulasan: