Walaupun perbuatan itu janggal, tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu dan ditolak bulat-bulat oleh Islam sebagai amalan syirik, namun kerana sudah dibudayakan, nampaknya sudah diterima rakyat. Kata orang yang tahu, sudah ada fatwa mengharamkan perbuatan itu, tetapi masih diteruskan kerana menghormati patung adalah sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia.
Adakah ini cocok dengan One Malaysia yang oleh seorang ustaz tentera yang jadi menteri dikatakan telah berfatwa memang One Malaysia itu cocok dengan Islam, ertinya mengikut ustaz ini One Malaysia itu serasi dengan Islam? Baik-baik bagi fatwa, tuan ustaz, supaya ustaz tidak keliru. Kami yang jahil tak mengapa kerana ramai tok guru yang boleh kami tanya fatwanya yang betul.
Kalau ikut kata seorang tok guru, perbuatan tunduk hormat kepada patung di Tugu Negara itu samalah dengan Firaun menyembah patung-patungnya. Cuma bezanya yang disembah Firaun itu patung anjing, kucing, buaya, dan lain-lain yang dianggap mulia oleh Firaun. Pendahuluan ini penting kerana ada kaitannya dengan cerita berikutnya.
Sekarang timbul cerita yang dibesar-besarkan, kononnya ada pemimpin PAS turut membakar lilin menghormati kematian seorang pekerja politik bukan Islam. Riuh seluruh negara mengecam dan mengutuk perbuatan itu. Seorang mufti dengan bangganya berkata para ulama dalam parti PAS membenarkan perbuatan melanggar akidah itu seperti tiada apa-apa, dibolehkan untuk kepentingan politik. Surat-surat khabar yang menggalakkan gosip, fitnah, pembohongan dan mengumpat, mengasak pembaca dengan tulisan-tulisan berapi-api mengutuk ulama dalam parti PAS.
Kezaliman yang berlaku ke atas pekerja politik yang didapati mati terbunuh selepas disoal-siasat oleh SPRM jadi tidak relevan lagi bagi akhbar-akhbar ini, kerana yang paling penting ketika ini ialah seorang bekas MB dari parti PAS turut membakar lilin bersama-sama ahli DAP.
Kesalahan itu sangat besar, tidak boleh dimaafkan, oleh itu, kata akhbar-akhbar ini, parti PAS mesti ditolak dalam PRU 13 nanti kerana mereka menerima perbuatan syirik untuk mendapat sokongan politik. Tidak seorang pun orang baik-baik ini, termasuk mufti, membangkitkan penyembahan patung di Tugu Negara. Perbuatan itu tidak syirik bagi mereka kerana dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia dan kerajaan sendiri sudah berbelanja banyak berhubung penyembahan patung di Tugu Negara itu.
Sebenarnya orang tidak sedar, di bawah slogan One Malaysia, memberi penghormatan kepada pahlawan negara yang banyak berjasa itu merupakan salah satu amalan penting negara, oleh itu Tugu Negara bukan patung yang disembah, tetapi hanya batu-batu yang diukir berwajah manusia sedang mempertahankan negara.
Kata kerajaan, rakyat sudah terima amalan itu sebagai amalan yang digalakkan dalam Rukunegara, oleh itu tidak timbul soal syirik atau tidak. Tidakkah dalam One Malaysia yang membenarkan perbuatan itu, meletakkan Perlembagaan Negara sebagai undang-undang tertinggi negara? Kata mereka, termasuk para mufti mereka, Rukunegara dan Perlembagaan Negara adalah lambang kekuatan One Malaysia, yang telah menerima kedudukan Islam sebagai agama orang Islam yang mendapat simpati kerajaan, oleh itu ditulis dalam Perlembagaan Malaysia bahawa “Islam adalah agama rasmi Malaysia”. Di mana pula ada tertulis membakar lilin itu sebahagian daripada amalan Perlembagaan Malaysia? Tidak ada, oleh itu perbuatan itu salah dan tidak patut diamalkan di Malaysia. Orang Islam ditegah membakar lilin atau membakar kemenyan bila ada kematian. -
Mereka hanya dibenarkan membakar lilin bila api elektrik terputus. Tetapi perbuatan itu tidak diwajibkan, kerana tidak ada dalam Perlembagaan Malaysia. Walau bagaimanapun, lilin yang dicucuk di atas kek hari jadi boleh dibakar dan dihembuskan sambil bertepuk tangan. Itu bagus kerana dibuat oleh PM sendiri dan para menteri, juga oleh budak-budak sekolah dan anak-anak kecil di tadika. Berasaskan hujah-hujah ini, sahlah membakar lilin yang dilakukan oleh Datuk Seri Muhammad Nizar bekas MB Perak itu bukan amalan Malaysia, oleh itu bertentangan dengan Perlembagaan, maka dengan itu tidak boleh dibuat oleh rakyat Malaysia kerana apa-apa juga niat hendak mengenang orang mati itu salah mengikut Perlembagaan dan semangat One Malaysia.
Adapun membina tugu dan tunduk hormat kepada patung manusia yang tidak pun berwajah Melayu adalah amalan Malaysia dan sesuai dengan semangat One Malaysia yang mengikut fatwa ustaz menteri sesuai pula dengan Islam, yakni One Malaysia itu, yang menerima dengan baik pemujaan tugu dan amalan tunduk hormat kepada patung itu adalah sesuai dengan Islam dan telah pun dipraktikkan oleh Islam sejak sekian lama menurut pandangan ustaz menteri. Itulah ajaran para pemimpin UMNO yang telah memerintah Malaysia selama 52 tahun. -[24/7/2009] Mohd. Affandi Hassan
1 ulasan:
hahaha den dapat gambar dajib bakaq pelita kat blog ambo... ada sape2 nk komen? hehehe
Catat Ulasan