Setelah 40 hari saya menjadi ahli Parti Keadilaan Rakyat, saya merasa begitu bangga dan yakin tentang perjuangan parti ini. Saya telah mula bertemu dengan pemimpin dan ahli Keadilan di semua peringkat. Saya diterima dengan penuh hormat dan dijemput ke sana sini untuk berucap. Saya terharu dengan respons mereka.
Jelas komitmen dan kesungguhan mereka yang memberangsangkan. Mereka rajin dan penuh inisiatif dan mempunyai semangat yakin diri yang tinggi. Mereka percaya bahawa Keadilan adalah wadah politik yang sesuai untuk memperjuangkan dasar yang baik untuk negara; demi kebaikan semua rakyat, dalam semua bidang. Parti Keadilan bukanlah parti untuk menjaga Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dilaungkan oleh propagandis UMNO. Maklumlah parti mereka hanya untuk kepentingan pemimpin besar sahaja.
Pengalaman yang sama menarik kepada saya ialah menyedari bagaimana kuatnya hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Kekuatan ini timbul dari keinginan ahli-ahli Keadilan, PAS dan DAP yang mahu melihat Pakatan menjadi kerajaan; sebagai parti alternatif kepada BN. Hasrat mereka sama seperti dengan lebih 4 juta pengundi dalam tahun 2008 yang mahu memilih kerajaan baru di Putrajaya yang benar-benar adil, tidak gila kuasa dan tidak rasuah atau menyeleweng.
Walaupun akhbar UMNO telah berjaya membesar-besarkan masalah kecil dalam Pakatan, hakikatnya ialah apa pun masalah kecil itu, pemimpin dan ahli Pakatan berjaya bersatu untuk mengatasi permasalahan tersebut. Resilience atau pun tahan lasak Pakatan ini membuktikan ia akan terus bersatu dan berjaya bila saja pilihan raya diadakan.
Saya sedar ramai pengkritik Pakatan menuduh Pakatan tidak ada dasar yang konkrit dan tidak ada dasar bersama. Kononnya kerana ideologi berbeza, Pakatan tidak mungkin dapat bersatu seperti BN, kata mereka. Golongan skeptik atau penimbul keraguan ini, termasuk sesetengah profesor dan akademik, sebenarnya sedar tentang kekuatan Pakatan yang semakin mendapat sokongan rakyat.
Mereka tahu parti-parti dalam Pakatan serta pemimpin-pemimpinnya telah lama berkecimpung dalam politik. Para pemimpin dan ahli Pakatan telah merasai penat-lelah sebagai pembangkang. Mereka telah terbukti dapat bertahan dengan segala tekanan dari kerajaan diktator BN. Mereka telah diuji dan diuji berkali-kali. Mereka tekah masok penjara, masok tahanan ISA dan penyokong mereka berani dan kental.
Sebab itulah strategi utama BN ialah untuk memecahbelahkan Pakatan kerana takut untuk berdepan dan bertarung satu lawan satu. Maka berlakulah pertuduhan palsu terhadap Anwar Ibrahim, merampas kuasa kerajaan negeri di Perak, dan sedang berusaha untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan di Selangor, sehingga berlaku kematian Teoh Beng Hock.
Sebelum itu pula UMNO sibuk memecahbelahkan PAS sehingga hampir berjaya dalam pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan. Sehingga sekarang UMNO memainkan jarum perkauman untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu yang semakin ramai menyokong Pakatan kerana sudah jijik dengan politik kotor UMNO. Memang, UMNO dan BN sebenarnya takut kepada Pakatan.
Memanglah Pakatan ada kelemahannya dan banyak lagi perkara mesti diwujudkan untuk memperkukuhkannya. Ingatlah, Pakatan baru 18 bulan umor nya, dan perkongsian baru mesti lah ada tersilap dan tidak mudah dijalinkan. Tetapi saya yakin apa yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan. Dasar yang perlu diumumkan kepada orang ramai akan digubal. Tekad dan kesungguhan pucuk pimpinan Keadilan, PAS dan DAP tidak perlu diragui. Keikhlasan dan kebolehan mereka serta penyokong mereka tinggi.
Sekarang ini pun Pakatan sedang bersusaha ke arah mendaftarkan diri sebagai satu badan politik untuk mewujudkan perkongsian perjuangan parti-parti politik secara rasmi. Saya dari sekretariat Pakatan akan berusaha untok menrealisasikan hasrat ini. Rakyat akan diberi pilihan sebenar dalam pilihan raya akan datang; satu lawan satu.
Semua ahli parti gabungan Pakatan sudah bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat atas nama Pakatan. Malah, dalam tindak-tanduk seharian kita; kita seolah-olah sudah pun menjadi ahli Pakatan dan bukan sekadar ahli Keadilan, PAS atau PAS. Dan inilah yang rakyat mahukan. Dan inilah yang amat digeruni oleh Najib, UMNO dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan