30 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Kenyataan Khir Toyo Malukan Polis Selangor

Mana-mana pihak yang mempunyai bukti dan maklumat penglibatan individu atau kumpulan yang dikatakan mendalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan haram seperti perjudian, spa dan pelacuran, diminta tampil memberikan maklumat dan bukti-bukti tersebut, demikian lapor Bernama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin berkata maklumat itu diperlukan polis bagi menjalankan siasatan terperinci setiap dakwaan yang dikemukakan itu.

"Kita tidak boleh menyiasat jika ia hanya cakap-cakap kosong tanpa memberikan maklumat dan bukti yang kukuh. Mereka harus tampil membuat laporan agar kita siasat perkara itu," katanya di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

Dr Mohamad Khir turut mendakwa kumpulan tersebut yang aktif membantu memenangkan calon pada pilihan raya lepas di negeri itu diberikan akses untuk meneruskan kegiatan haram tersebut tanpa sekatan sebagai habuan dan dianggarkan Selangor kini mempunyai 4,000 premis seumpama itu beroperasi secara haram termasuk di kawasan-kawasan luar bandar.

Mohd Bakri berkata polis sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan operasi di premis-premis yang menjalankan perniagaan haram seperti pelacuran dan judi namun maklumat-maklumat baru diperlukan terutama bagi mengenalpasti lokasi-lokasi baru kegiatan tersebut.

"Polis sentiasa memerlukan maklumat orang ramai dan daripada maklumat itu kita akan jalankan siasatan sebaik mungkin bagi mengenalpasti kumpulan-kumpulan yang terbabit yang mendalangi mana-mana kegiatan haram itu," katanya.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Pengerusi Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew mempersoalkan bagaimana Khir boleh mengetahui terdapat 4,000 pusat hiburan haram beroperasi di negeri Selangor.

Beliau mendakwa adakah pusat hiburan haram dibuka oleh kroni Khir, jika tidak bagaimana beliau boleh mengetahui banyak pusat hiburan haram wujud di Selangor.

Ini kerana katanya, semua permit pusat hiburan haram dikeluarkan oleh kerajaan Pusat dan tidak ada satu pun yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Pihak Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) tambah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram.

"Semua kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram terletak di tangan pihak polis malangnya pihak polis tidak melakukannya," dakwa beliau.

Tambah beliau kuasa PBT hanya boleh menyita pusat hiburan tersebut tetapi kebanyakan selepas disita pemilik hiburan itu akan membuka semula dan beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, polis memang mempunyai kuasa untuk menghalang pusat hiburan haram daripada beroperasi tetapi polis negeri Selangor tidak memberi kerjasama yang baik dalam masalah ini.

Katanya, mereka lebih mendengar arahan daripada pihak kerajaan Pusat bukan daripada kerajaan negeri.



1 ulasan:

aljo berkata...

puak-puak ni memang bodoh. dia orang ingat rakyat sekarang macam orang umno dulu-dulu. ntv7 pernah buat soal siasat dalam edisi siasat dulu. terang-terang bapak ayam tu kata "nak takut apa? sebelum serbuan dibuat, polis dah bagi info dulu".

bodoh betul dia orang ni. macam mana boleh jadi doktor gigi kalau perkara macam ni pun tak reti-reti lagi?