30 Jul 2009

Era Najib Altantuya : ISA Tetap Haram

Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 1960 lagi.

Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa.

Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri.

Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA


(i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah
(ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya
(iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri
(iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan.

Kami ingin utarakan hukum syarak mengenai akta gubalan tangan manusia ini yang mana para penggubal dan pengamalnya langsung tidak memikirkan hukuman dan azab Allah yang bakal menimpa mereka satu hari nanti dek kezaliman yang mereka lakukan.

Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam

Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya.

Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty).

Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaq alaih].

Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, ms 153].

Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah.

Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi, “Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi].

Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mengatakan hal ini dalam kapasiti baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut pembalasan yang serupa.

Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau memenjara) orang lain tanpa hak.

Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an.

Namun Rasulullah bersabda, “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani].

Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas (walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!

Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad.

Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, “Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian.

Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.

Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti.

“Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”.

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah.

Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’.

Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau (hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak pertama” [HR Ahmad].

Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus dikategorikan sebagai pesalah.

Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?

Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti.

ISA bukan berasal dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini dengan Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi.

Tiada ulasan: