Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang, Ahmad Nizam Hamid, dalam ulasannya tentang keputusan kabinet ini menyifatkan ianya sebagai petunjuk tentang selera parti pemerintah, Umno dan BN terhadap keadilan.
Bagi Nizam, Suruhanjaya Siasatan DiRaja itu adalah resipi ciptaan Umno dan BN, dengan ramuannya adalah “terms of reference” yang sangat berbeza dengan apa yang diperkirakan oleh rakyat terbanyak.
Pandangan beliau ini turut dikongsi bersama oleh rakan-rakan peguam beliau dari Johor Bar dalam perbualannya dengan mereka.
Kabinet, dalam keputusannya bersetuju menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan SiRaja bagi menyiasat dan meneliti kaedah soal-siasat SPRM terhadap Teoh.
Teoh ditemui mati pada tengahari Julai 16 lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan Ibu Pejabat SPRM Selangor, setelah sehari sebelumnya mendiang dibawa ke sana untuk disoal-siasat berkaitan tuduhan salahguna wang peruntukan oleh ADUN Pakatan Rakyat Selangor.
Sedangkan, menurut Nizam lagi, juga pendapat rakan-rakan peguamnya dari Johor, pengwujudan suruhanjaya ini dengan sengaja telah meminggirkan terma rujukan siasatan paling penting iaitu bagaimana dan apa sebab kematian Teoh.
Nizam percaya, pandangan undang-undang ini bukan sekadar berlegar di fikiran para peguam, tetapi juga turut dikongsi oleh majoriti rakyat, khususnya dari ahli keluarga mendiang Teoh.
Mereka tegas Nizam, mahukan penjelasan sebenar dan konkrit tentang punca dan sebab kematian Teoh.
Jika “terms of reference” Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini tidak diubah dan diluaskan, nyatalah usul Nizam, Suruhanjaya ini hanyalah satu bentuk pengaburan dan cubaan cuci tangan.
Kerajaan Umno dan BN, pimpinan Najib Tun Razak kelihatannya sedang cuba mencabar intelektualiti rakyat, seperti mahu memberitahu, “kamu semua minta, kerajaan dah buat, sudahlah!” Seolah-olah seperti mengandaikan rakyat adalah golongan yang tidak pandai dan tidak tahu berfikir.
Padahal rakyat, bila mendepani isu kematian Teoh ini, mempunyai “terms of reference” mereka sendiri, resipi mereka sendiri, resipi yang universal dan sejagat.
Amatlah mengejutkan bila tiba-tiba mesyuarat kabinet keluar dengan resipi Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang kurang manis dan kurang masinnya. Langsung bertentangan dengan selera rakyat.
Jelaslah, Kerajaan Umno dan BN tidak boleh makan sedulang dengan rakyat, selera tidak sama! Jika dipaksa juga, tentu akan ada yang patah selera. -Zukri Aksah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan