29 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Inkues Ditangguh Rabu Depan

Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock yang bermula pagi ini ditangguhkan kepada 5 Ogos bagi membolehkan peguam pemerhati keluarga mangsa, kerajaan Selangor dan Majlis Peguam meneliti beberapa dokumen berkaitan.

Permohonan penangguhan itu dibenarkan Koroner, Azmil Muntapha Abad dan menetapkan pada tarikh itu sama ada membenarkan dokumen berkaitan saksi boleh diberikan.

Sebelum itu, peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock telah menggesa koroner dalam inkues kematian mendiang supaya menunda siasatan itu sehingga kabinet memutuskan sama ada untuk memberi kuasa tambahan kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah bahawa inkues itu tidak perlu dan tidak bermakna jika kabinet memutuskan untuk memperluaskan terma rujukan suruhanjaya itu bagi menjalankan siasatan yang lebih terperinci atas kematian Beng Hock.

Mendiang dijumpai mati 15-16 Julai lalu di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor di Shah Alam.

Permohonan penangguhan tersebut dibuat mengikut Arahan Amalan No1/2007 Garispanduan Inkues - Seksyen C mengenai notis inkues.

Ia menyatakan majistret perlu memberi pemakluman kepada ahli dan waris si mati mengenai tarikh, waktu dan tempat inkues diadakan - dengan memberi notis dalam tempoh minimum dua minggu.

Bagi sebutan tarikh pula, tempoh maksimum untuk hadir di inkues, dikira dari tarikh menerima laporan dari pegawai perubatan kerajaan. (Gobind merujuk kepada laporan bedah siasat).

Gobind seterusnya berkata, peguam negara perlu mengkaji laporan siasatan dan hanya memanggil inkues apabila punca kematian tidak dapat ditentukan.

Peguam Malik Imtiaz yang mewakili kerajaan Selangor, menyokong permohonan Gobind, begitu juga Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Majlis Peguam.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik oleh peguam negara untuk membantu inkues tersebut, berkata beliau tidak ada bantahan terhadap permohonan penangguhan sekejap itu, tetapi menegaskan, mengikut amalan, inkues mesti dijalankan segera.

Gobind seterusnya meminta laporan DNA dan laporan forensik, serta kenyataan dua pegawai SPRM yang menyoal siasat Teoh kerana mereka merupakan orang terakhir melihatnya hidup.

Tan menjawab, set lengkap dokumen telah disediakan untuk tujuan prosiding tersebut, untuk diberikan kepada peguam keluarga Teoh, Majlis Peguam dan kerajaan Selangor.

Tetapi beliau enggan memberi kenyataan saksi kerana menurutnya, Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah tidak menyatakan perlunya berbuat demikian.

Azmil bersetuju bahawa semua laporan tersebut hendak diberikan, kecuali kenyataan saksi, buat masa ini.

Tan kemudiannya memberi kepada pihak peguam, laporan bedahsiasat, laporan toksikologi, laporan forensik, laporan CCTV dan laporan DNA.

Gobind berkata beliau memerlukan 10 hari untuk meneliti dokumen tersebut secara terperinci.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan itu selama seminggu sehingga 5 Ogos depan.

Tiada ulasan: