29 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Keluarga Teoh Mahu Suruhanjaya Diraja, Bukan Inkues

Sekalipun telah mendengar penjelasan perdana menteri, keluarga Teoh Beng Hock tetap menuntut sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang, demikian lapor malaysiakini.

"Kami tetap dengan pendirian meminta sebuah suruhanjaya yang bebas dan adil untuk menyiasat punca kematian abang saya," kata adik perempuannya Teoh Lee Lan.

Beliau menceritakan hasil pertemuan keluarganya dengan Datuk Seri Najib Razak di pejabat perdana menteri di Putrajaya yang dilaporkan selama setengah jam awal malam tadi.

Ditemui pemberita selepas inkues hari pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini, kenyataan ringkas Lee Lan dalam bahasa Cina itu diterjemahkan pemimpin popular DAP Lim Kit Siang.

"Mereka telah dengar penjelasan kenapa suruhanraya diraja tidak ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh, tetapi hanya melibatkan teknik siastan SPRM.

"Keluarganya berkata, mereka mempertimbangkan penjelasan perdana menteri, bagaimanapun mereka tetap dengan pendirian supaya suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan (bagi menyiasat punca kematian Beng Hock)," kata ahli parlimen Ipoh Timur.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi dilaporkan menyampaikan takziah kepada bapa mendiang Teoh Leong Hwee, emaknya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan juga tunangnya Soh Cher Wei.

Lim menggesa Najib dan kabinetnya menghormati hasrat keluarga si mati supaya inkues ditangguhkan dan diwujudkan suruhanya diraja untuk mencari punca kematian Beng Hock.

Lim berpendapat, tidak perlu dua badan bagi menyiasat kes berhubung kematian itu.

Bekas ketua pembangkang itu membandingkan kes berkenaan dengan kematian seorang ahli sains di kementerian pertahanan Britain selepas dituduh membocorkan maklumat rasmi negara kepada media pada 2003.

Tambahnya, kes kematian saintis itu disiasat sebuah inkues dan siasatan kehakiman Hutton.

Setelah tamat proses inkuiri, tambahnya, koronernya memutuskan tidak perlu lagi inkues diteruskan.

"Persoalannya sekarang, yang mana satu?" kata Lim.

Semalam, Najib dilaporkan menjelaskan kepada keluarga Teoh bahawa suruhanjaya diraja dan inkues merupakan pendekatan serentak bagi mengenal pasti punca kematian tersebut.

Najib berkata, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.

Katanya, hasil penemuan siasatan itu akan dianggap sebagai input kepada suruhanjaya diraja itu.

Sementara itu, sejak jam 7 pagi, kompleks Mahkamah Shah Alam di Seksyen 5 mula dibanjiri puluhan wartawan.

Selain kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat dan saksi-saksi inkues, tiada kelibat penyokong Pakatan Rakyat kelihatan.

Cuma kelihatan seorang lelaki Cina memegang poster gambar Beng Hock di lobi kompleks tersebut.

Kehadiran seramai 77 orang saksi menyebabkan bilik menunggu untuk saksi, berdekatan tempat prosiding berjalan, sesak sehingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menunggu di bangku luarnya.

Suasana di tempat tersebut sesak apabila jurugambar dan juruvideo berasak-asak bagi mendapatkan gambar mereka dalam posisi yang terbaik.


Tiada ulasan: