20 Jun 2009

PAS UMNO : Kerjaaan Perpaduan Hanya Sekadar Diskusi Akademik?

Isu kerajaan perpaduan yang mengancam perpaduan PAS dan Pakatan Rakyat tiba-tiba disifatkan sebagai "diskusi-diskusi akademik" oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jenaka hitam ini menjadi begitu absurd berbanding dengan kritikan terbuka Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa mereka yang mempertahankan kerajaan perpaduan merupakan "boneka-boneka Umno".

Jelas sekali Tok Guru langsung tidak berminat untuk mengkarikaturkan isu ini yang dianggapnya amat serius.

Kemurkaan Tok guru diserang oleh Rais Yatim, ahli majlis tertinggi Umno, sebagai menyerlahkan "muka sebenar" sebagian besar pemimpin Melayu pembangkang yang tidak jujur memperjuangkan Islam sebagai agama harmoni dan perpaduan, mereka umpama “menanam tebu di bibir”.

Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa sebaliknya dikategori sebagai pemimpin yang berpandangan jauh, sedang yang lain hanya mengamalkan politik populis, dan sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan disifatkan sebagai langkah negarawan yang layak diberi penghargaan.

Dengan pembelaan Rais itu, imej “boneka” mereka yang menyokong idea kerajaan perpaduan seolah-olah diserlahkan oleh jaguh propaganda Umno sendiri!

Dalam kemelut politik dan ekonomi negara kita, memang tidak masuk akal presiden PAS dan penyokong-penyokongnya masih bebas melibatkan diri mereka dalam “diskusi-diskusi akademik” yang tidak akan membawa hasil tetapi, malah, boleh memecahkan PAS menjadi dua kumpulan, yang pro- dan yang anti-kerajaan perpaduan menjelang dan selepas muktamar ke-55 baru-baru ini.

Abdul Hadi sepatutnya tidak begitu mudah lupa. Cuma pada 6 Jun lalu, beliau masih mengulangi keyakinannya bahawa gagasan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskannya itu tidak akan terkubur dan akan tiba masanya cadangan itu diterima oleh kepimpinan PAS sendiri dan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Sudah barang tentu kenyataannya itu suatu pendirian politik yang tegas, bukan retorik akademik.

Selepas menghadapi tentangan hebat dari dalam dan luar parti, kini Abdul Hadi mulai menyebut tentang prasyarat yang mahukan kerajaan membuat perubahan dahulu mengenai demokrasi, bidang kehakiman dan kebebasan media.

Gelagat ganjil ini memperlihatkan sikap kurang jujur dan tidak bertanggungjawab seorang tokoh Pakatan Rakyat yang hanya berani bikin tetapi tidak berani menghadapi kritikan dan memperbetulkan kesalahan yang telah dilakukan.

Di samping itu, beliau akui PAS belum lagi membincangkan isu kerajaan perpaduan semasak-masaknya, dan ia juga belum lagi menjadi satu cadangan Pakatan Rakyat.

Padahal isu kerajaan perpaduan telah jadi isu pokok yang memisah-misahkan calon-calon kepimpinan parti menjadi dua kumpulan, iaitu yang pro- dan yang anti-kerajaan perpaduan.

Sementara keputusan pemilihan pula membuktikan calon-calon kumpulan anti-kerajaan perpaduan memenangi kerusi majoriti di peringkat naib-naib presiden dan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS walaupun bagi jawatan timbalan presiden, perpecahan undi Husam Musa dan Mohamad Sabu menyebabkan Nasharudin, yang pro-kerajaan perpaduan, menang besar.

Jika belum dibincang semasak-masaknya di peringkat PAS, kenapa terburu-buru mengambil pendirian menyokong kerajaan perpaduan? Dan jika ia belum lagi menjadi satu cadangan Pakatan Rakyat, kenapa sebelum ini dikatakan pula DAP dan PKR telah setuju dengan cadangan tersebut?

Hanya selepas parti-parti terlibat menafikan dakwaan Abdul Hadi dan meminta beliau membuat penjelasan selanjutnya, barulah presiden PAS bertukar pendekatan terhadap isu terbabit.

Sebagai seorang tokoh agamawan dan pemimpin Pakatan Rakyat, tidakkah Abdul Hadi perlu bersikap lebih telus, konsisten dan jujur?

Beliau boleh cuba bersikap lepas tangan dengan menyifatkan saranannya sekadar “diskusi-diskusi akademik” tetapi kerosakan-kerosakan serius telah dilakukan, antaranya:

1.Oleh kerana cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan penukaran dasar yang akan mempengaruh halatuju PAS, Pakatan Rakyat dan kepentingan rakyat pada keseluruhannya, memulakan muzakarah dengan Umno sebelum dasar terbabit dibincangkan semasak-masaknya nyata sekali tidak mengikut proses demokratik penggubalan dasar yang wajar.

2.Muzakarah PAS-Umno tanpa dipersetujui PKR dan DAP terlebih dahulu boleh membawa makna negatif bahawa PAS mungkin ingin menarik diri daripada gabungan pembangkang dan cuba melompat kepada Barisan Nasional.

Atau ia menimbulkan syak wasangka teman-teman Pakatan Rakyat dan kepimpinan PAS sendiri sama ada cita-cita peribadi lebih diutamakan atau, lebih teruk lagi, adakah mereka berperanan sebagai “boneka-boneka Umno” seperti label Tok Guru Nik Aziz?

3.Gagasan kerajaan perpaduan yang menyerlahkan matlamat perpaduan orang Melayu-Islam seperti diuar-uarkan dalam media aliran perdana memberi gambaran seolah-olah PAS telah bergabung dengan dasar perkauman Umno, yang berasaskan ketuanan Melayu, yang kini menjadi dasar ketuanan Melayu-Islam yang lebih menakutkan bukan Melayu-Islam.

4.Sokongan pengundi kepada PAS pada pilihanraya umum ke-12 dan pilihanraya-pilihanraya kecil seterusnya, terutamanya pengundi bukan-Melayu bertujuan menentang kerajaan Umno-Barisan Nasional. Oleh itu, PAS sebenarnya tiada mandat untuk menyokong penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Dan saya percaya kebanyakan pengundi Melayu yang menyokong PAS, termasuk ahli-ahlinya sendiri juga tidak akan menyokong penubuhan kerajaan perpaduan untuk menyelamatkan Umno ingin ditumbangkan, pada akhirnya.

5.Di samping isu kerajaan perpaduan, penekanan kepimpinan ulama yang seolah-olah cuba meminggirkan peranan profesional dan usul mendesak kerajaan mengharamkan Sisters In Islam (SIS) memberi gambaran PAS kembali kepada pendiriannya yang lebih konservatif, eksklusif dan tidak toleran.

Jika persepsi negatif ini tidak dilenyapkan, ada kemungkinan ia akan mengakibatkan PAS kehilangan sokongan yang dimiliki dalam tsunami politik 8 Mac tahun lalu dan pilihanraya-pilihanraya kecil seterusnya.

6.Sokongan Presiden PAS dan timbalannya terhadap idea kerajaan perpaduan di muktamar ke-55 parti itu membuka peluang emas musuh-musuhnya politiknya sendiri, terutamanya MCA dan Gerakan yang berada dalam keadaan defensif selepas tsunami politik tersebut.

Peluang itu digunakan untuk melancarkan propaganda anti-PAS secara ofensif dan lantang, dan tidak dapat dinafikan, ada juga penganalisis politik yang dulu bersimpati dengan Pakatan Rakyat kini menganggap bukan Melayu sudah ditipu oleh PAS.

Saya amat bersetuju dengan Dr Dzulkefly Ahmad, ahli jawatankuasa pusat PAS yang menekankan kepentingan pilihan strategik. Umpamanya, jika hanya Husam atau Mohamad yang bertanding mencabar Nasharudin, maka kini yang kalah mungkin penyandangnya.


Alangkah baiknya jika polemik ulama-profesional dan pertikaian berhubung isu kerajaan perpaduan tidak ditimbulkan.

Segala tenaga PAS boleh ditumpukan untuk merencana dan menggerakkan suatu pelan induk untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu pengundi Melayu-Islam seperti cadangan Dr Dzulkefly! - Lee Ban Chen

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

yang menimbulkan isu ulama dan profesional adalah golongan ULAMA.