Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.
"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.
"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," katanya ketika ditemui wartawan di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, hari ini.
Beliau mengulas desakan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin, supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon Pas bertanding di DUN Penanti, selepas kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 32, berkuat kuasa 16 April lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Isnin lalu, menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan sekiranya ada pertandingan, hari pengundian pada 31 Mei.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR, Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR sudah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu dan memenanginya.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil DUN Penanti ini. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan