4 Mei 2009

PENANTI : PAS Jangan Kacau, Perak : SPR Ikut Telunjuk UMNO BN

Mursyidul am PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihanraya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya.

BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini.

Di dalam satu perkembangan lain, Naib presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pembubaran DUN Perak perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan amalan demokrasi.

Beliau menegaskan sidang Dun yang dijangka akan diadakan pada 7 Mei nanti bakal menghadapi banyak kerumitan.

"Sidang Dun Perak 7 Mei nanti akan ada dua Menteri Besar, Dua Speaker dan Dua kerajaan jadi kita amat khuatir kerumitan dan kesulitan yang sudah ada ini akan bertambah.

"Oleh yang demikian kita mendesak agar Dun Perak dibubarkan dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka," tegas Mohamad Sabu dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, dekat sini tengah hari tadi.

Sehubungan dengan itu PAS akan mengadakan program solat hajat, doa munajat dan solat subuh pada 7 Mei ini jam 5.00 pagi di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru, Manjoi, Ipoh, Perak.

Program tersebut telah dipersetujui oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam sidang media yang sama beliau juga menegaskan Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat mengambil pendirian menolak peraturan baru yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tegas beliau, peraturan yang dibuat oleh SPR ini semata-mata mengikut kehendak Umno tanpa mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang turut berdaftar di bawah suruhanjaya tersebut.



Tiada ulasan: