Kemelut politik UMNO yang bergegar di Terengganu turut terasa bahangnya di Kuala Lumpur kerana jika ianya tidak berjaya diselesaikan, negara akan berdepan dengan satu lagi pilihanraya, kali ini untuk satu negeri - Terengganu.
Muhyiddin telah dilaporkan akan memanggil Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berhubung tindakan 10 Adun Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting kerana beliau mahu mendapatkan gambaran lebih jelas daripada Menteri Besar berhubung isu terbaru itu.
BN menguasai DUN Terengganu dengan mempunyai 24 wakil sementara 8 kerusi dikuasai oleh PAS.
Seandainya 10 orang ADUN BN yang dikatakan memboikot mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan disokong oleh 8 wakil dari pembangkang dengan sendirinya Ahmad Said akan terpaksa mengosongkan kerusi Menteri Besarnya dan ini tentulah akan menjadikan kemelut politik Terengganu semakin runcing.
Ini berkemungkinan mendesak Speaker DUN Terengganu untuk memohon Sultan Terengganu membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya diadakan untuk seluruh Terengganu.
Hal tersebut sepastinya amat digeruni oleh UMNO Pusat yang kini belum henti dari dikejar igauan ngeri tentang kekalahan yang dialami oleh UMNO-BN di Bukit Gantang, Bukit Selambau malah di Kuala Terengganu juga.
Justeru itu tidak dapat tidak, Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO kini berdepan dengan ujian getir untuk "mendamaikan" dua kumpulan yang bertelagah di dalam UMNO Terengganu.
Daripada jawapan Muhyiddin kepada wartawan sudah menampakkan riak bahawa UMNO Pusat sudah bersedia untuk menggantikan Menteri Besar Terengganu tersebut dengan orang lain.
Muhyiddin dilaporkan berkata sewaktu ditanya oleh wartawan mengenai prestasi Ahmad Said setelah setahun berkuasa:
“Beliau seorang MB. Dia telah melakukan apa yang patut beliau lakukan. Selain dari MB, terdapat isu-isu lain yang perlu diberikan perhatian.”
Namun ia tidak semestinya menerima perkenan dari Sultan Terengganu yang mengulangi episod pada bulan April 2008 dimana Idris Jusoh gagal dinobatkan sebagai Menteri Besar Terengganu.
Najib dan Muhyiddin tentunya kepanasan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan