30 Apr 2009

Isu Kerajaan Nizar : BN Usulkan Lucut Sivakumar Sebagai Speaker

Bernama hari ini melaporkan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, Rabu mengesahkan pejabat Setiausaha DUN Perak telah menerima satu usul pada minggu lepas untuk melucutkan V. Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN Perak pada persidangan DUN 7 Mei ini.

Beliau juga mengesahkan telah menghantar melalui pos, surat kepada semua Anggota DUN (ADUN) Perak mengenai perkara itu yang turut mengepilkan bersama borang pencalonan Speaker baru.

Walaupun Abdullah berkata perkara itu tidak sepatutnya dihebahkan sebelum persidangan DUN itu dilangsungkan, beberapa portal berita internet hari ini melaporkan Abdullah di dalam suratnya menyatakan bahawa borang pencalonan Speaker baru itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran DUN selewat-lewatnya esok.

"Surat itu dihantar secara pentadbiran. Ia sepatutnya adalah untuk makluman dan tindakan daripada semua ADUN yang berkenaan," kata Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco kanan Datuk Hamidah Osman ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau adalah penyokong usul untuk melucutkan Sivakumar yang dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihantar ke pejabat Setiausaha DUN Perak pada Khamis lepas.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ia adalah insiden pertama dalam sejarah Malaysia untuk melucutkan seorang Speaker

Beliau yang juga ADUN Sungai Remis dan ahli Parlimen Taiping merasa terkejut dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang luar biasa.

Sehubungan itu, Nga mengecam BN kerana menggunakan Abdullah yang telah dipecat oleh Speaker sebelum ini, utnuk mengeluarkan surat tersebut.

Katanya, semua itu menunjukkan bahawa BN telah bertindak sewenang-sewenangnya.

Katanya, menurut peraturan tetap DUN Perak, Speaker (Sivakumar) mempunyak hak untuk menerima atau menolak sebarang usul, termasuk usul untuk memecatnya.

Nga menyamakannya dengan tindakan Speaker DUN Melaka menolak usul tidak percaya yang dibentangkan oleh wakil DAP terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Beliau mendakwa tindakan Zambry itu menghina mahkamah, kerana prosiding kes sama ada beliau merupakan menteri besar Perak yang sah. masih belum selesai.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa nak jadi nie,
jangan sampai melayu menumpang di tanah air sendiri dek kerana terlebih pandai politiknya.