3 Mac 2009

Saiful Buat Laporan Polis Terhadap PahangDaily

Bekas pembantu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini membuat laporan di Balai Polis Damansara berhubung 6 artikel berunsur fitnah dan berniat jahat yang telah disiarkan sebuah blog yang mendakwa beliau kononnya sakit tenat akibat sumpah laknat yang dibuatnya tahun lalu.

Mohd Saiful tiba di balai polis tersebut kira-kira pukul 11 pagi diiringi bapanya, Azlan Mohd Lazim serta peguam, Zamri Idrus,selesai membuat laporan tersebut 45 minit kemudian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai berkata laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat penulis blog dan pengendali laman web berkenaan yang memfitnahnya dengan mengatakan bahawa beliau kini terpaksa menggunakan tiub bagi membolehkannya membuang air besar serta alat sulitnya bernanah.

"Saya juga dengan ini menafikan sekali lagi bahawa kononnya sedang sakit tenat kerana termakan sumpah laknat. Tahap kesihatan saya adalah amat baik," katanya.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut adalah satu pembohongan besar yang bersifat jahat sama sekali.

“Saya memohon agar pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan dengan segera ke atas penulis dan pengendali laman web tersebut.

“Saya berharap blogger yang lain supaya lebih beretika dan bertanggungjawab di atas penulisan masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengesahkan sedang meniliti segala maklumat yang diperoleh sebelum memfailkan saman ke atas pengendali dan penulis laman web yang dipercayai beroperasi di Pahang.

Katanya, beliau juga sedang meniliti untuk menyaman bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang didakwa telah memutarbelitkan fakta mengenai sumpah laknatnya yang dibuatnya tahun lalu.

Jelas Mohd Saiful, saman ke atas Ramlang dibuat ekoran kenyataan bercanggah yang pernah dikeluarkannya sebelum ini yang mendakwa pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Khairil Anas mengatur sumpah tersebut.

Namun dalam satu wawancara bersama portal berita, Malaysiakini awal Februari lalu, Ramlang telah menyatakan bahawa Pengarah Jawi pula yang mengatur sumpah tersebut.

“Saya yakin bahawa Ramlang sedar bahawa beliau telah melakukan kesilapan. Saya percaya beliau telah dihasut oleh pihak-pihak tertentu supaya melakukan pembohongan besar dan fitnah jahat,” katanya.

Ramlang merupakan saksi pada majlis mengangkat sumpah Mohd Saiful yang dilakukan mengikut syariat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 15 Ogos lepas bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Anwar.

Sementara itu, Mohd Saiful berkata beliau sedia menerima apa jua keputusan mahkamah yang akan diputuskan pada 5 Mac ini.

“Saya reda dengan apa jua keputusan kerana saya yakin bahawa Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui, dan setiap yang berlaku ada pasti hikmah disebaliknya. Saya hanya mampu bersabar, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.

“Sebagai mangsa, saya hanya mohon untuk diberikan keadilan dan peluang menunaikan tanggungjawab saya iaitu memberi keterangan ketika perbicaraan penuh kelak,” katanya selepas membuat laporan polis itu.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi saksi pada hari perbicaraan kelak, Saiful berkata dia sentiasa bersedia untuk memberikan kenyataannya.

KENYATAAN PAHANGDAILY ONLINE:

[Kami menyeru kepada semua pembaca Pahang Daily Online untuk mendoakan semoga kes saman ini akan memperkuatkan lagi perjuangan kami. Sesungguhnya Saiful boleh mengatakan beliau difitnah dalam kes ini, tetapi beliau langsung tidak pernah memikirkan bahawa seluruh rakyat Malaysia sebenarnya menyumpah dan melaknati beliau kerana beliau juga telah melakukan fitnah yang lebih besar terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal dirinya diliwat. Jika ini tindakan beliau terhadap PDO, maka kami akan lawan tetap lawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Andai berlaku apa-apa masalah kepada PDO selepas ini, kami memohon ribuan ampun dan maaf atas segalanya. tentang kes yang berlaku kepada Saiful, kami tetap mempertahankan laporan berkenaan dan bukannya "fitnah" semata-mata. Ini kerana segala info dan maklumat diberikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat terdekat dengan diri beliau. Justeru itu, kami tidak takut menghadapai kebenaran. Saiful boleh kata dia difitnah, dia tidak sakit..tetapi pernahkah kita tahu memang dia tidak sakit. Mungkin selepas berubat beberapa ketika beliau sihat sekejap kemudia kembali terlantar semula. Ini kerana beliau dikatakan masih menerima rawatan oleh pakar-pakar yang terpilih. Usah melatah dalam hal ini. Begitu juga dalam kes Anwar, dia kata Anwar liwat dia..tetapi pemeriksaan doktor mengatakan tidak?. Jika benar beliau tidak sakit, kenapa tidak kemukakan laporan doktor? Sihat sekejap dan buat laporan polis, atau sidang media itu adalah perkara biasa sebenarnya].



Tiada ulasan: