16 Mac 2009

Nizar Fail Rayuan Terhadap Perintah Mahkamah Tinggi

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk merujukkan saman beliau terhadap Dr Zambry Abdul Kadir, kepada Mahkamah Persekutuan.

Beliau memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur manakala pihak peguam Dr Zambry juga memfailkan notis usul bagi menangguhkan prosiding untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi tadi.

Pada 6 Mac, Hakim Lau Bee Lan memutuskan terdapat isu berperlembagaan melibatkan tafsiran Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan pada 10 Mac menetapkan bahawa terdapat empat persoalan perlembagaan perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohammad Nizar, 52, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memfailkan semakan kehakiman pada 13 Feb, memohon pengisytiharan bahawa beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Dr Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Tiada ulasan: