18 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 18 Feb 2009

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mendesak Elizabeth Wong untuk menimbang semula keputusannya meletakkan jawatannya sebagai ADUN dan EXCO kerajaan Negeri Selangor.

Wong menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan itu setelah beliau menjadi mangsa penyebaran gambar bogel yang diambil tanpa kebenarannya, ketika dia tidur.

Wong memberitahu sidang akhbar pagi tadi bahawa keputusan itu berpaksi kepada pendirian bahawa isu peribadinya tidak harus mendatangkan sebarang kekusutan kepada PKR.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong supaya bercuti bagi menenangkan fikiran berikutan insiden gambar bogelnya yang kini tersebar.

Anwar berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan kepada beliau bahawa Wong telah diminta bercuti berikutan tekanan yang diterima oleh exco Selangor itu terutama daripada beberapa laman web berhubung insiden tersebut.

Beliau mengecam taktik keji yang digunakan oleh pihak tertentu ke atas Elizabeth Wong sehingga memaksa beliau meletak jawatan sebagai EXCO kerajaan negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik keji yang digunakan ke atas beliau. Kita tertanya-tanya sekeji mana dalang ini sanggup menggunakan taktik tersebut,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia mengadakan pilihan raya kecil serentak di kerusi bernama "Bukit" - termasuk Bukit Lanjan di Selangor jika ada kekosongan.

Sambil tidak menolak kemungkinan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya boleh mempertimbangkan pilihan raya kecil di ketiga-tiga kerusi Bukit Lanjan, Bukit Selambau dan Bukit Gantang serentak awal April ini.

"Kemungkinan itu ada jika wujud kekosongan... tetapi sehingga kini belum ada kekosongan (secara rasmi),"

BAHASA INGGERIS: GMP SERAH MEMORANDUM KEPADA HALI PARLIMEN

Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

Dalam sidang medianya, Hassan berkata, masalah PPSMI kini menjadi semakin serius sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

NAJIB: UNJURAN EKONOMI MALAYSIA DIKAJI SEMULA

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2009 akan disemak semula berikutan kelembapan ekonomi dunia.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pakej rangsangan kedua yang bertujuan mengatasi masalah kelembapan ekonomi itu yang akan diumumkan pada 10 Mac ini akan menyediakan peruntukan lebih besar dan menyeluruh.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

TIGA TERMASUK DUA BERANAK MATI DITIKAM

Tiga termasuk dua beranak ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat beberapa kesan tikaman di rumah di Taman Tasik Permai, Ampang di sini, hari ini.

Lebih menyayat hati apabila mayat wanita itu ditemui dengan anak bongsunya yang berusia setahun, menangis sambil menggoncang tubuh ibunya yang tidak bernyawa itu.

Mereka yang terbunuh itu dikenali sebagai Nurhajahan, 39, dan anaknya Nurazizah, 7, serta saudara mereka Nasir, 22. Kesemua mereka adalah rakyat Myanmar dan pemegang status pelarian Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, berkata ketiga-tiga mayat itu ditemui oleh suami wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mohamad Ali, berusia dalam lingkungan 40-an.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

minah tu namanya Elizabeth atau wong ?

kenapa SPR laju saja nak buat pilihanraya bukit lanjan ?